Carian
Balai Seni Negara Anjurkan Pameran Sunyi Dan Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 Di Langkawi
November 13, 2024 Lina Rosli

Pada 15 hingga 24 November 2024, Balai Seni Negara bakal hadir dengan pameran seni kontemporari bertajuk Pameran Sunyi di Hospital Lama Kuah dan juga Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 di Hotel Grand Continental Langkawi.

Acara ini adalah sebahagian daripada Program Residensi Bakat Muda Sezaman 2024 yang bertujuan memperkasa dan memperkenalkan bakat-bakat muda dalam bidang seni kontemporari.

Pameran Sunyi – Menyusuri Tema “Sunyi” Dalam Seni Visual

Untuk pengetahuan anda, Pameran Sunyi mengangkat tema “sunyi” dari perspektif seni visual, terinspirasi oleh persekitaran sosial dan alam semula jadi Langkawi pasca-pandemik COVID-19.

Pameran ini menampilkan “sunyi” sebagai elemen positif – lambang ketenangan dan kedamaian yang tercermin dalam keindahan alam Langkawi. Bukan itu sahaja, konsep “sunyi” ini dipersembahkan sebagai ruang refleksi dan penghargaan terhadap nilai kehidupan yang luhur, menyerupai perayaan rohaniah Nyepi di Bali yang diraikan dalam suasana senyap dan penuh makna.

Sebanyak 11 artis muda mengambil bahagian dalam menghasilkan seni instalasi khusus lokasi dengan karya mereka diatur untuk berinteraksi secara langsung dengan persekitaran pameran.

Antara artis yang akan menampilkan karya mereka adalah Alvin Lau, Arikwibowo Amril, Azam Aris, Fauzan Fuad, Hannah Moujing, Khabir Roslan, Ng Yi Kee, Ryan Tang, Sim Hoi Ling, Teo Wey Yinn dan Ahmad Rajaie.

Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 – Pembentukan Pemikiran dan Hala Tuju Seniman Muda

Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 pula menghimpunkan beberapa tokoh seni dan kurator terkemuka seperti Azzad Diah Ahmad Zabidi, Wong Hoy Cheong, Moelyono, Dr. Tisna Sanjaya serta Muhammad Hazrin Abdul Malek @ Moktar yang juga merupakan Pengarah Balai Seni Negara Langkawi.

Di dalam simposium ini, para peserta akan dibimbing mengenai konsep seni di lokasi dan seni komuniti, memberikan inspirasi kepada seniman muda untuk menghasilkan karya yang relevan dan berlandaskan tema.

Selain itu, ia juga berfungsi sebagai persiapan bagi seniman muda dalam menghadapi Pertandingan Bakat Muda Sezaman yang akan datang sekaligus mengukuhkan pemahaman mereka tentang kepentingan konteks dan impak sosial dalam berkarya.

Komitmen Balai Seni Negara – Membangun Bakat dan Komuniti Seni

Pameran Sunyi dan Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 bukan sahaja menjadi wadah pengembangan bakat muda, tetapi juga memperkukuh komitmen Balai Seni Negara untuk menyediakan platform yang berharga kepada artis muda Malaysia.

Dengan kehadiran acara seperti ini, ia diharapkan dapat menggalakkan interaksi dan kolaborasi dalam kalangan seniman dan memberi impak positif kepada perkembangan seni tempatan serta membawa seni kontemporari Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Bagi yang berminat, anda semua dijemput untuk melawat Pameran Sunyi dan menyertai Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 mulai 15 November 2024. Untuk maklumat lanjut, anda layari laman rasmi di www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial Balai Seni Negara dan Balai Seni Negara Langkawi.

Komen