Di dalam perbentangan Belanjawan Selangor untuk tahun 2025, kerajaan negeri ini dilihat komited dalam membawa industri kopi ke peringkat yang lebih tinggi. Ini rentetan daripada perkembangan industri kopi setempat yang dijangka akan menjadi lebih besar dalam masa akan datang.
Oleh yang demikian, pada tahun 2025 ini, Selangor Coffee Festival (SELCOF) bakal dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor. Menerusi SELCOF, ia akan menjadi platform untuk para pemain industri termasuk peniaga dan juga barista menerokai perkembangan teknologi melibatkan kopi.

Bukan itu sahaja, pemain industri juga turut boleh meneliti pergerakan dan perkembangan teknologi kopi dari negara-negara serantau seperti Indonesia, Vietnam, Singapura dan banyak lagi.
Selangor juga turut akan hadir dengan acara ASEAN Barista Championships sebagai peluang untuk barista-barista di Selangor untuk membangun dan bersaing dengan pakar-pakar dunia kopi di seluruh Asia Tenggara. Bagi menjayakan acara ini, sebanyak RM1 juta akan diperuntukkan untuk penganjuran SELCOF.
Untuk pengetahuan anda, sebelum ini, terdapat beberapa acara kopi telahpun diadakan di dalam negara – ini termasuk Malaysia Coffee Week, Pesta Kopi negeri dan banyak lagi.