Dalam tahun kebelangkangan ini, boleh dikatakan nama CHAGEE sudah tidak asing lagi dalam kalangan penggemar teh di Malaysia.
Menyajikan variasi pilihan teh – merangkumi teh bunga dan juga teh daun, CHAGEE hadir dengan standard mereka yang tersendiri dalam menawarkan segelas cawan kepada pelanggannya. Dan baru-baru ini, CHAGEE telah meraikan ulang tahun mereka yang ke-7 bersama penggemarnya di Malaysia.

Untuk pengetahuan anda, sebelum CHAGEE bertapak di Malaysia, jenama ini memulakan perjalanan mereka di Yunnan, China. Menggunakan nama BaWangChaJi pada asalnya, mereka membuka tirai bagi cawangan pertama mereka pada November 2017 di Wuyi Road di kota Kumming.
Berbeza dengan jenama teh tradisional yang lebih mengutamakan cara penyediaan yang klasik, BaWangChaJi (nama asal CHAGEE) menggabungkan teknik pembuatan teh moden dengan sentuhan tradisional untuk mencipta minuman teh yang unik. Keistimewaan jenama ini terletak pada penggunaan bahan-bahan segar dan pilihan, serta pemprosesan teh yang teliti bagi memastikan rasa yang kaya dan memuaskan.

Jenama ini berkembang pesat, dan pada 2019, BaWangChaJi mula mengembangkan sayap mereka ke luar China. Malaysia menjadi negara pertama di luar China yang menerima cawangan BaWangChaJi, yang kemudian dikenali sebagai CHAGEE di pasaran tempatan.
Dan sewaktu pengenalan nama baharu ini, CHAGEE hadir dengan satu cawangan mercu untuk penggemar mereka di tengah kota Kuala Lumpur – iaitu di Pavilion Kuala Lumpur.
CHAGEE pada ketika itu memperkenalkan pelbagai teh susu, teh buah dan pilihan minuman lain yang sesuai dengan citarasa tempatan, serta mengekalkan standard tinggi dalam setiap penyediaan minuman.

Dengan reka bentuk kedai yang moden dan mesra pelanggan, CHAGEE bukan sekadar tempat untuk menikmati minuman teh, tetapi juga menjadi destinasi santai yang popular di kalangan generasi muda.
Kejayaan mereka di Malaysia terbukti dengan pembukaan lebih daripada 130 cawangan di seluruh negara dalam tempoh tujuh tahun.
Dan salah satu langkah besar dalam perjalanan mereka adalah pada tahun September 2023, apabila CHAGEE secara rasmi memperoleh sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk kebanyakan cawangan mereka.
Pencapaian ini sangat penting, kerana ia membuktikan komitmen CHAGEE dalam memenuhi keperluan pelanggan Muslim di Malaysia, yang mementingkan status halal dalam setiap produk yang mereka konsumsi. Sehingga kini, CHAGEE masih aktif dalam proses mendapatkan pengiktirafan halal untuk setiap lokasi baru mereka – sebagai jaminan bahawa mereka terus berusaha untuk menyediakan pilihan minuman yang selamat dan memenuhi piawaian agama.

Tidak berhenti di situ, kini, CHAGEE terus memperluaskan pengaruhnya, memberi pengalaman teh yang lebih segar dan inovatif kepada pelanggan di seluruh negara. Pada September 2024, CHAGEE Modern Tea House diperkenalkan di tiga lokasi strategik iaitu di Sunway Pyramid, Sunway Velocity Mall dan juga CHAGEE Sri Petaling.
Berbeza dengan kedai CHAGEE biasa, CHAGEE Modern Tea House ini direka dengan konsep kedai fizikal yang lebih besar dan menawarkan suasana santai untuk pelanggan menikmati teh terus di kedai. Ia juga menampilkan stesen teh yang membolehkan anda mempelajari lebih banyak tentang dunia teh serta mencuba sendiri membuat teh yang anda gemari.
Dengan ini, kita boleh lihat di mana dari perjalanan kecil CHAGEE di Yunnan hingga mencapai cawangan-cawangan di seluruh negara, jenama ini telah membuktikan bahawa mereka bukan hanya menyajikan teh, tetapi juga membawa pengalaman dan budaya teh yang segar ke dalam kehidupan seharian pelanggan mereka.