Carian
Langham Hospitality Group Bakal Buka Sebuah Hotel Mewah Di Kuala Lumpur – Menjelang Tahun 2027
November 18, 2024 Lina Rosli

Baru-baru ini, Langham Hospitality Group (LHG) bersama dengan Artisan Hospitality dan Oxley Holdings, sebuah anak syarikat dari Singapura, mengumumkan bahawa mereka akan membuka The Langham Kuala Lumpur pada tahun 2027.

Terletak di kawasan eksklusif Segitiga Emas, hotel mewah ini akan berada dalam kompleks Oxley Towers KLCC yang merupakan salah satu pembangunan hartanah premium yang paling dinanti di Kuala Lumpur.

Dari segi lokasi, ia terletak di lokasi yang sangat strategik di pusat perniagaan ibu kota, yang memberi akses mudah ke ikon terkenal seperti Menara Berkembar Petronas, Taman KLCC, pusat membeli-belah, dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur – menjadikan hotel ini destinasi utama bagi pelancong perniagaan dan rekreasi.

Menampilkan sekitar 198 bilik tamu dan suite yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan mewah, The Langham Kuala Lumpur bakal menyajikan pengalaman penginapan yang tiada tandingannya. Salah satu daya tarik utamanya adalah kolam renang berpemandangan langit (sky pool) yang memukau, serta kolam bar yang terletak di salah satu tingkat tertinggi di bandar.

Tidak hanya itu, The Langham juga memperkenalkan restoran T’ang Court, restoran Kantonis dengan tiga bintang Michelin dari The Langham Hong Kong, yang akan menjadi tumpuan bagi pencinta masakan Kantonis di Malaysia. Tidak ketinggalan, Palm Court, restoran ikonik dari The Langham London turut akan dibuka di sini yang mana akan menawarkan set minum petang yang premium.

Bagi mereka yang ingin menikmati pengalaman relaksasi, The Langham Kuala Lumpur turut menawarkan Chuan Spa – sebuah pusat kesihatan dan kesejahteraan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan spa dan pusat kecergasan. Pengunjung boleh menikmati tawaran kesihatan terbaik dan pengalaman santai selepas seharian beraktiviti.

Hotel ini juga menawarkan ruang acara yang sangat sesuai untuk mesyuarat dan acara bertaraf dunia, termasuk dewan bankuet yang besar dan bilik mesyuarat yang eksklusif. Dengan kemudahan mewah ini, The Langham Kuala Lumpur diharapkan akan menjadi pilihan utama untuk pelbagai jenis acara korporat dan sosial di ibu kota.

Jadi, bagi yang ingin merasai pengalaman penginapan mewah di tengah-tengah Kuala Lumpur pada 2027, The Langham bakal menjadi destinasi pilihan yang tidak boleh dilepaskan.

Komen