Baru-baru ini, dua produk makanan popular Khairul Aming iaitu Sambal Nyet Berapi dan juga Dendeng Nyet Berapi telahpun mendapat pengiktirafan Halal daripada JAKIM.
Dengan adanya sijil Halal ini, ia bukan sahaja menambah nilai kepada jenama tempatan ini, malah memberikan kepercayaan penuh kepada pengguna Muslim yang mahu menikmati hidangan dengan keyakinan.

Untuk pengetahuan anda, pengiktirafan Halal ini sebenarnya melibatkan beberapa aspek di dalam proses penyediaan makanan. Ia bermula dengan proses pemilihan bahan, proses pembuatan hingga ke pembungkusan – yang mana perlulah mematuhi standard yang ditetapkan oleh JAKIM.
Setakat ini, berdasarkan perkongsian syarikat pengeluar Sambal Nyet Berapi dan juga Dendeng Nyet Berapi, Rasapop (M) Sdn Bhd, jenama mereka telahpun memperoleh dua sijil penting untuk pengeluaran makanan. Selain menerima pensijilan Halal JAKIM, produk ini kini turut mendapat pengiktirafan MESTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pensijilan MESTI menandakan bahawa kilang dan proses pembuatan produk ini memenuhi standard kebersihan serta keselamatan makanan yang ditetapkan. Dan akan datang, mereka turut komited dalam mendapatkan pensijilan HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Points) bagi kilang mereka di Kelantan.
Bagi anda yang belum pernah mencuba kedua-dua produk ini, Sambal Nyet Berapi dan juga Dendeng Nyet Berapi boleh didapati melalui pembelian di platform edagang seperti TikTok Shop dan Shopee.