Malaysia merupakan sebuah negara dengan iklim tropika – maka keperluan untuk melindungi kulit anda daripada sinaran Ultraviolet (UV) yang berbahaya bukan sahaja dinasihatkan malah amat penting untuk mengekalkan kesihatan kulit untuk jangka masa panjang.
Dan apa yang lebih membimbangkan, kajian baru-baru ini mendedahkan bahawa hampir separuh daripada rakyat Malaysia tidak menggunakan pelindung matahari (sunscreen) dengan kerap dan ini boleh meningkatkan risiko kepada pelbagai masalah kulit seperti kulit terbakar, penuaan kulit pramatang (kulit menua sebelum usia sebenar) serta kanser kulit.
Jabatan Registri Kanser Kebangsaan (NCR) melaporkan terdapat peningkatan kadar insiden kanser kulit dan ini menunjukkan keperluan penting untuk menyebarkan lebih kesedaran dan langkah pencegahan yang lebih baik untuk menangani masalah ini.
Menurut Dr Nur Ashikin Ahmad, Pakar Perunding Dermatologi daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) berkongsi bahawa pelindung matahari harus menjadi sebahagian penting dalam rutin harian setiap individu tanpa mengira sama ada mereka berada di luar atau di dalam rumah. Ini kerana sinar UVA boleh menembusi tingkap lalu menembus ke dalam kulit – sekaligus menyumbang kepada penuaan kulit pramatang dan pigmentasi,
Selain UVA, sinaran UV juga termasuk sinaran UVB dan UVC. Walaupun sinaran UVC sebahagian besarnya ditapis oleh lapisan ozon, sinaran UVB kekal menjadi kebimbangan kerana ia merupakan punca utama masalah kulit terbakar dan kanser kulit berlaku.
Selain itu, pakar turut berkongsi mengenai bahaya blue light daripada peranti digital, yang mana kajian mengatakan bahawa cahaya ini boleh menembusi lebih dalam ke kulit berbanding sinaran UVB, seterusnya mempercepatkan penuaan kulit.
Memahami Peranan SPF Dan Kesannya Kepada Kulit
Salah satu cara paling berkesan untuk melindungi diri anda daripada sinaran UV yang berbahaya ialah dengan menggunakan pelindung matahari serta memahami bahawa SPF adalah kunci untuk membuat pilihan yang tepat untuk menjaga kesihatan kulit.
SPF, atau Faktor Perlindungan Matahari (Sun Protection Factor) mengukur keberkesanan pelindung matahari dalam menghalang kemerahan kulit yang disebabkan oleh UVB. Dalam iklim tropika Malaysia, SPF minimum yang disyorkan untuk kegunaan harian ialah SPF30.
Beliau menjelaskan bahawa penggunaan pelindung matahari disyorkan apabila indeks UV diramalkan mencapai 3 atau lebih. Di Malaysia, indeks UV akan menjadi yang tertinggi di antara jam 10 pagi dan 4 petang dengan paras UV sering diklasifikasikan sebagai “tinggi” hingga “sangat tinggi” pada waktu tengah hari.
Bagaimana Cara Untuk Menentukan Nilai SPF Yang Patut Digunakan?
Secara umumnya, SPF50+ lebih sesuai digunakan jika anda berada dalam di luar dan terdedah secara langsung kepada sinaran matahari seperti apabila berada di pantai, menyertai aktiviti sukan atau bersiar-siar untuk tempoh yang lama.
Anda dicadangkan untuk memakai pelindung matahari 15 hingga 30 minit sebelum mendapat pendedahan kepada sinaran matahari atau melakukan sebarang aktiviti. Walaupun begitu, umum perlu mengetahui bahawa tahap SPF yang lebih tinggi tidak bermakna anda tidak perlu menggunakan pelindung matahari dengan kerap.
Ini kerana pelindung matahari harus digunakan semula setiap 2 hingga 4 jam, terutamanya selepas berpeluh atau berenang. Ini kerana peluh, geseran, dan mencuci muka dengan air boleh mengganggu keberkesanan pelindung matahari dan mengurangkan SPF.
Pilih Pelindung Matahari Bersesuaian Dengan Kulit Anda
Dengan pelbagai jenis pelindung matahari yang tersedia di pasaran, memahami perbezaannya adalah penting untuk mendapatkan perlindungan matahari yang berkesan. Pelindung matahari biasanya dikategorikan sebagai jenis fizikal atau kimia, dan selalunya boleh dikenal pasti melalui senarai ramuan pada pembungkusan produk.
Pelindung matahari jenis fizikal biasanya menyenaraikan zink atau titanium oksida sebagai bahan utama dan berfungsi dengan membentuk penghalang yang dapat memantulkan sinaran UV. Pelindung jenis ini sesuai untuk mereka dengan kulit sensitif tetapi mungkin meninggalkan kesan putih (white cast), terutamanya pada warna kulit yang lebih gelap.
Pelindung matahari jenis kimia pula selalunya mengandungi bahan seperti avobenzone, oxybenzone, octinoxate, dan berfungsi dengan menyerap sinaran UV dan menukarkannya kepada haba. Ia biasanya lebih ringan dan dan senang diratakan pada kulit, yang menawarkan daya tarikan estetik yang lebih baik tetapi boleh menyebabkan kerengsaan bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif.
Perlindungan Komprehensif Selain Dari Hanya Pada Kulit Muka
Walaupun ramai yang menumpukan pada pelindungan kulit muka, Dr Nur Ashikin menekankan kepentingan melindungi kawasan kulit lain yang sering terdedah seperti leher, tangan dan kaki yang juga berisiko kepada kerosakan matahari. Pendedahan yang berpanjangan kepada sinaran UV boleh menyebabkan masalah kulit seperti kedutan, hiperpigmentasi, dan juga kanser kulit di kawasan yang sering diabaikan ini.
Beliau menambah bahawa jika dibiarkan, kerosakan UV boleh menjadi bertambah teruk lalu menyumbang kepada risiko yang sama tanpa mengira bahagian badan. Kawasan bukan muka seperti lengan dan kaki juga merupakan antara kawasan biasa untuk pembentukan melanoma dan kanser kulit.
Selain itu, penggunaan pelindung matahari yang kerap pada kawasan ini juga dapat membantu mengekalkan tona kulit yang sekata serta keanjalan kulit.
Mengimbangi Perlindungan Matahari Dan Vitamin D
Walaupun cahaya matahari penting untuk pengeluaran Vitamin D, pendedahan berlebihan tanpa sebarang perlindungan atau perlindungan yang tidak mencukupi boleh membawa kepada kesan berbahaya.
Dr Nur Ashkin mencadangkan pendedahan matahari pada awal pagi atau lewat petang untuk sintesis Vitamin D yang optimum. Jumlah masa yang anda perlukan di bawah sinar matahari bergantung pada masa, hari, musim, lokasi dan warna kulit anda.
Individu berkulit cerah mungkin memerlukan pendedahan langsung kepada matahari selama 10 hingga 20 minit pada kulit yang tidak dilindungi, manakala bagi individu berkulit gelap mungkin memerlukan pendedahan matahari di antara 5 hingga 30 minit kerana melanin mengurangkan keupayaan kulit untuk menghasilkan Vitamin D.
Harus diingatkan, kepercayaan bahawa individu dengan warna kulit yang lebih gelap tidak memerlukan pelindung matahari kerana melanin mempunyai fungsi perlindungan kulit adalah tidak tepat sepenuhnya. Perlindung matahari masih diperlukan kerana fungsi perlindungan semula jadi melanin jauh di bawah SPF30+ yang disyorkan untuk perlindungan berkesan terhadap kerosakan matahari.
Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan perkara ini, anda boleh berkunjung ke laman rasmi Sunway Medical Centre Velocity dan layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my/ atau pergi ke akaun Facebook rasmi Sunway Medical Centre Velocity.