Kajian Dapati Bahawa Kopi Beri Kesan Positif Ke Atas Umur Individu
Lina Rosli
Tahukah anda bahawa tabiat menikmati kopi setiap hari boleh memanjangkan usia sihat anda? Kajian terkini yang disokong oleh Institute for Scientific Information on Coffee (ISIC) mendapati bahawa pengambilan kopi secara berkala dan sederhana mampu menambah purata 1.8 tahun usia sihat seseorang.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Ageing Research Reviews ini menekankan bahawa kopi boleh menjadi sebahagian penting gaya hidup sihat. Malah, ia mencadangkan agar pandangan lama yang mengatakan kopi kurang sesuai untuk warga emas perlu dipertimbangkan selari dengan bukti baharu dari kajian saintifik terkini.

Berapa Banyak Kopi Yang Sihat Untuk Diminum?
Menurut European Food Safety Authority, pengambilan kafein sehingga 400 miligram sehari (sekitar tiga hingga lima cawan kopi) adalah selamat untuk kebanyakan orang dewasa. Namun, bagi wanita hamil atau menyusukan anak, pengambilan ini harus dikurangkan kepada 200 miligram sehari. Penting juga untuk memilih kopi yang kurang gula atau tanpa gula bagi mengelakkan risiko kesihatan lain seperti diabetes.
Kesan Kopi Ke Atas Panjang Umur
Lebih 50 kajian menunjukkan bahawa kopi boleh mengurangkan risiko pelbagai penyakit termasuk:
- Penyakit kardiovaskular
- Kanser
- Penyakit pernafasan
- Kemerosotan kognitif
- Kerapuhan badan di usia tua
Selain itu, kajian menunjukkan bahawa pengambilan kopi turut membantu menurunkan risiko penyakit hati kronik, termasuk sirosis hati. Malah, kopi bukan sahaja memanjangkan jangka hayat tetapi juga meningkatkan kualiti hidup. Ini bermakna anda bukan sahaja hidup lebih lama tetapi juga lebih sihat dan aktif.

Apa Rahsia Kopi?
Kopi terkenal dengan kandungan kafeinnya, tetapi ia juga mempunyai lebih 2,000 sebatian bioaktif. Antaranya ialah polifenol, yang mempunyai sifat antioksidan dan anti-radang. Sebatian ini dipercayai membantu mengurangkan neuroinflamasi (keradangan otak) dan memperbaiki sensitiviti insulin.
Selain polifenol, kopi juga mengandungi trigonelline, yang memberikan aroma khas kopi serta dikaitkan dengan sifat antimikrob. Kehadiran sebatian ini membantu mengurangkan risiko jangkitan tertentu, sekaligus menyumbang kepada kesihatan yang lebih baik.

Kopi Dan Penuaan Sihat
Menurut Rodrigo Cunha, kajian yang dilakukan oleh pengarang dari Universiti Coimbra, populasi dunia sedang menua dengan cepat. Oleh itu, langkah pemakanan seperti pengambilan kopi boleh menjadi kunci untuk hidup lebih lama dan sihat.
Kajian ini turut berbeza dengan pandangan lama bahawa warga emas harus mengurangkan atau mengelak kopi. Sebaliknya, bukti kini menunjukkan bahawa kopi boleh membantu melawan mekanisme biologi yang melambat atau gagal berfungsi seiring usia.

Kajian tambahan juga menunjukkan bahawa pengambilan kopi secara sederhana boleh membantu mengekalkan fungsi otak dan melindungi daripada penyakit seperti Alzheimer dan Parkinson. Ini menjadikan kopi bukan sahaja sebagai minuman harian tetapi juga sebagai sebahagian daripada strategi kesihatan jangka panjang.
Jadi, jika anda seorang pencinta kopi, nikmatilah secawan kopi kegemaran anda setiap hari. Dengan syarat ia diambil secara sederhana, kopi bukan sahaja memberikan tenaga tetapi juga manfaat kesihatan yang tidak ternilai.