Tealive Menggalakkan Pilihan Tanpa Gula Bagi Setiap Pesanan Minuman – Menyokong Kempen Jom Kosong
Lina Rosli
Bagi menyokong Kempen Perangi Gula yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada September lalu, Tealive, yang merupakan antara jenama penyedia minuman popular di Malaysia turut komited dalam menggalakkan pengambilan sugar yang lebih rendah dalam kalangan rakyat.
Berdasarkan perkongsian Tealive di media sosial mereka baru-baru ini, mulai 1 Disember 2024, setiap pembeli minuman Tealive yang memilih ‘None’ untuk pilihan tahap gula bagi minuman mereka, Tealive akan menyumbangkan sebanyak 20 sen bagi setiap cawan kepada kanak-kanak B40 di dalam negara.

Inisiatif ini adalah kerjasama Tealive bersama Yayasan Didik Negara yang mana ia bertujuan untuk menyumbangkan sebanyak 1 juta hidangan bernutrisi kepada kanak-kanak ini.
Menurut Tealive juga, dengan langkah ini, ia bukan sahaja mengajak lebih ramai individu untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan cara mengehadkan pengambilan gula, tetapi juga turut membantu kanak-kanak di Malaysia yang memerlukan bagi mendapatkan hidangan yang bermanfaat kepada tubuh.

Untuk pengetahuan anda, kempen ‘Jom Kosong’ ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya pengambilan gula berlebihan terhadap kesihatan.
Selain daripada usaha ini, individu juga perlu mula mengamalkan gaya hidup sihat melalui senaman yang konsisten dan pemakanan seimbang. Dengan usaha yang berterusan dan sokongan daripada semua pihak, ia sedikit sebanyak memberi kesan yang positif dalam memerangi masalah obesiti dan penyakit berkaitan gula.