Ulasan Pemanduan Honda HR-V Di Jalan Bandar Dan Juga Luar Bandar – Kini Saya Faham Mengapa SUV Ini Banyak Di Atas Jalan Raya
Lina Rosli
Di Kuala Lumpur, dengan kepadatan jumlah penduduk dan kesesakan lalu lintas yang tiada henti, sering kali mencabar sesiapa sahaja yang memandu di mana-mana kawasan sekitarnya.
Untuk saya sendiri, hampir setiap hari saya akan memandu dari rumah ke tempat kerja – iaitu dari Cheras ke KLCC, yang mana perjalanan dalam bandar ini menguji keupayaan kenderaan untuk melalui lorong-lorong sempit dan trafik yang sibuk.

Oleh sebab itu, adalah penting untuk saya memiliki kenderaan yang praktikal, selesa dan bergaya. Dan dengan ini, saya ingin menceritakan pengalaman saya sewaktu memandu kereta SUV kegemaran ramai iaitu Honda HR-V selama beberapa hari di kawasan sekitar Kuala Lumpur.
Menerusi artikel ini, anda sedikit sebanyak boleh menilai sejauh mana Honda HR-V ini sesuai untuk pelbagai jenis pemanduan, sama ada dalam bandar atau luar bandar.


Pemanduan Di Dalam Bandar – Cheras Ke KLCC
Jika anda tanya, berapa jauh perjalanan harian saya ke tempat kerja? Jawapannya adalah sekitar 10 kilometer untuk perjalanan sehala yang mengambil masa kira-kira 40 minit di atas jalan raya (jika memandu ketika waktu puncak) atau 15 hingga 20 minit untuk pemanduan luar waktu puncak.
Untuk perjalanan dari Cheras ke KLCC, saya akan menggunakan jalan utama seperti Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Jalan Loke Yew dan Jalan Tun Razak yang mana untuk ketiga-tiga jalan ini, ia menampilkan laluan yang besar dengan bilangan lorong yang banyak. Walau bagaimanapun, kesemua laluan ini juga sinonim dengan kesesakan lalu lintas yang mencabar kesabaran pemandu.

Apa yang menarik perhatian saya sepanjang perjalanan dari rumah ke tempat kerja sewaktu memandu Honda HR-V ini adalah penggunaan Honda SENSING iaitu sistem bantuan pemanduan yang merangkumi fungsi Lane Keep Assist System (LKAS) dan Traffic Jam Assist.
Sewaktu mengaktifkan fungsi LKAS, ia membantu memastikan kenderaan kekal di lorong walaupun dalam trafik perlahan, yang sangat berguna terutamanya di kawasan seperti Jalan Loke Yew dan juga Jalan Sultan Ismail. Dan jika memandu kenderaan yang tidak menawarkan fungsi ini, pengalaman memandu di dalam trafik sesak semestinya akan memberikan lebih banyak tekanan.


Bukan itu sahaja, sebagai seorang pemandu wanita juga, keselesaan adalah salah satu aspek utama yang saya perhatikan. Reka bentuk stereng dengan kemasan lembut dan susunan butang kawalan yang ergonomik memudahkan saya menukar mod pemanduan atau menjawab panggilan telefon tanpa perlu melepaskan tangan dari stereng.
Untuk ketinggian saya atau pemandu sekitar 167 sentimeter, saiz ruang kaki masih lagi selesa. Tidak kira sama ada anda duduk di tempat pemandu mahupun apabila berada di ruang penumpang.

Seterusnya, Honda HR-V ini menampilkan sistem inforia yang menyokong Apple CarPlay. Dengan ini, saya boleh mengakses navigasi Waze atau Google Maps dengan mudah, selain mendengar senarai main kegemaran saya terus dari aplikasi penstriman muzik Youtube.
Ini mungkin kelihatan seperti perkara kecil, tetapi ia benar-benar memudahkan kehidupan pemandu moden, terutamanya mereka yang sering dalam perjalanan seperti saya.
Reka Bentuk Mesra Wanita
Selain teknologi, SUV ini juga menawarkan reka bentuk yang amat sesuai untuk pemandu wanita. Dari segi estetik, warna badan kenderaan yang moden seperti Pearl White ini memberikan sentuhan elegan yang tidak berlebihan.
Untuk wanita yang sering membawa banyak barang seperti beg tangan, dokumen kerja atau barangan runcit, ruang simpanan yang luas di bahagian belakang juga sangat praktikal. Honda HR-V ini menyediakan ruang bagasi yang cukup besar untuk memuatkan segala keperluan tanpa perlu mengorbankan keselesaan penumpang.
Tambahan pula, butang pembukaan automatik untuk ruang bagasi sangat memudahkan apabila tangan penuh dengan barang.


Bagi mereka yang mementingkan aspek keselamatan, Honda SENSING yang tersedia di Honda HR-V ini juga dilengkapi dengan banyak ciri perlindungan, termasuk Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert. Sistem ini memberikan amaran awal apabila ada kenderaan lain mendekati, menjadikannya lebih selamat untuk wanita yang mungkin memandu seorang diri di kawasan sibuk.
Perjalan Ke Luar Bandar – Kuala Lumpur ke Batu Pahat
Sempat juga saya menguji pemanduan ke luar bandar menggunakan Honda HR-V ini. Selepas mengharungi kesibukan kota, perjalanan ke Batu Pahat menawarkan pengalaman berbeza. Dengan jarak lebih 260 kilometer, laluan ini mengambil masa sekitar tiga jam melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Di lebuh raya, SUV ini benar-benar menyerlahkan keupayaannya sebagai kenderaan serbaguna.

Pada kelajuan tinggi, sistem Adaptive Cruise Control (ACC) sangat membantu. Ia secara automatik menyesuaikan kelajuan mengikut kenderaan hadapan, membuatkan perjalanan terasa lebih tenang, terutama di laluan lurus yang panjang. Di kawasan dengan jumlah trafik yang lebih tenang, mod elektrik SUV ini diaktifkan, memberikan penjimatan bahan api yang ketara dan membantu mengurangkan pencemaran.

Satu lagi ciri menarik adalah fungsi Auto High Beam. Dalam kawasan gelap seperti laluan selepas keluar dari plaza tol Pagoh, sistem ini secara automatik melaraskan lampu tinggi dan rendah mengikut keadaan, menjadikan pemanduan lebih selamat tanpa perlu mengganggu pemandu lain.
Kecekapan Dan Penjimatan Honda HR-V
Selain selesa, kenderaan ini juga direka untuk menjimatkan kos perjalanan. Dengan sistem Hybrid Electric Vehicle (e-HEV), enjin elektrik diaktifkan ketika kelajuan rendah atau ketika berhenti seketika, manakala enjin petrol digunakan untuk pemanduan jarak jauh.
Gabungan ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan bahan api tetapi juga mesra alam – satu ciri penting yang mula dititikberatkan oleh kebanyakan pemandu.


Dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat, saya hanya perlu mengisi petrol sekali sahaja iaitu sekitar RM80 yang membolehkan anda memandu secara keseluruhan kira-kira 800 kilmeter – dan ini menjadikan Honda HR-V antara SUV yang menawarkan penjimatan petrol yang agak baik. Bagi mereka yang sering bergerak ke luar bandar, ciri ini boleh membantu mengurangkan perbelanjaan jangka panjang.

Keselamatan Dan Keyakinan Menggunakan Honda SENSING
Sebagai wanita yang sering memandu seorang diri, aspek keselamatan juga antara ciri penting yang perlu anda pada setiap kereta. Untuk pengetahuan anda, Honda HR-V ini dilengkapi dengan kunci pintar dengan ciri walk-away auto lock memberikan ketenangan fikiran. Sebaik sahaja saya melangkah keluar dari kenderaan, pintu akan terkunci secara automatik tanpa perlu memeriksa semula.
Selain itu, Honda HR-V juga dilengkapi dengan fungsi Collision Mitigation Braking System (CMBS), yang memberikan amaran apabila terdapat potensi perlanggaran dan secara automatik mengaktifkan brek untuk mengurangkan impak. Sistem ini sangat berguna, terutamanya apabila memandu di kawasan luar bandar dengan lalu lintas yang tidak menentu.

Kini, Saya Faham Mengapa Honda HR-V Banyak Di Atas Jalan Raya
Secara keseluruhannya, pengalaman memandu Honda HR-V ini dari Cheras ke KLCC dan seterusnya ke Batu Pahat membuktikan bahawa ia adalah pilihan yang sempurna untuk wanita moden. Reka bentuknya yang elegan, teknologi canggih dan ciri keselamatan menjadikannya kenderaan yang sesuai untuk pelbagai situasi – sama ada dalam bandar atau luar bandar.

Bagi wanita yang mengutamakan keselesaan, keselamatan dan gaya, HR-V juga bukan sahaja memenuhi semua keperluan tersebut tetapi juga menambah nilai kepada pengalaman memandu harian.
Jika anda mencari kenderaan yang boleh hampir sempurna untuk pelbagai jenis perjalanan, ini mungkin pilihan terbaik untuk anda.