Carian
Ulasan Makanan – Avocado Burger Dari Shake Shack
December 17, 2024 Lina Rosli

Jika anda peminat burger dan sering mencari sesuatu yang lebih segar dan unik, Avocado Burger daripada Shake Shack semestinya perlu ada di dalam senarai hidangan yang perlu anda cuba. Ini kerana gabungan antara avocado (alpukat) yang lembut berkrim dengan patti daging lembu premium menghasilkan satu hidangan yang bukan sahaja memuaskan tetapi juga seimbang dari segi rasa dan tekstur.

Sebelum saya menceritakan pengalaman menikmati hidangan lazat dari Shake Shack ini, tahukah anda bahawa jenama burger popular ini telah membuka sebuah cawangan baharu di sekitar Petaling Jaya? Pada 16 Disember lepas, saya telah berkunjung ke lokasi kedai baharu Shake Shack yang terletak di Oasis Boulevard, Sunway Pyramid.

Sekiranya anda berminat untuk berkunjung ke cawangan ini, Shake Shack ini terletak betul-betul di pintu utama Sunway Pyramid berdekatan dengan K-Fry dan juga butik Coach di ras tanah (Level G).

Avocado Burger: Rasa Segar Dalam Setiap Gigitan

Kebiasaannya, orang ramai akan menggabungan avocado dengan roti sourdough yang merupakan menu hidangan sihat sewaktu sarapan. Dan nampaknya, Shake Shack Malaysia turut tidak ingin ketinggalan dalam menampilkan pilihan yang seakan sama.

Cuma apa yang menjadikan menu Avocado Burger ini menarik adalah sentuhan istimewa yang ditawarkan oleh Shake Shack yang mana – patti daging lembu yang digunakan dipanggang sehingga sempurna dengan bahagian luar sedikit garing namun masih mengekalkan jus semula jadi daging. Di atasnya, hirisan avocado segar menambahkan kelembutan yang menyelaputi setiap gigitan.

Jika dilihat secara dekat, warna hijau pastel dari avocado memberikan kontras menarik dengan warna keemasan daging hiris panggang, keju cair yang meleleh dan selada (salad) segar yang rangup.

Sewaktu gigitan pertama, saya menyangkakan bahawa rasa daging akan menenggelamkan rasa avocado kerana jika dibandingkan antara keduanya, daging semestinya mempunyai aroma dan rasa yang lebih kuat.

Namun hakikatnya, rasa berkrim dari avocado sebenarnya menyatukan rasa masin pada daging – yang mana ia memberikan rasa umami dalam gigitan. Bukan itu sahaja, turut melengkapkan rasa adalah sos putih yang dicampurkan dengan bawang panggang yang memberikan perisa tambahan.

Berbeza dengan burger lain yang sarat dengan sos atau perisa tambahan, Avocado Burger ini tampil lebih ‘ringkas’ tetapi penuh karakter. Rasa segar, berkrim dan sedikit lemak dari avocado memberikan keseimbangan kepada kelemakan daging lembu, menjadikannya hidangan yang tidak terlalu berat walaupun dimakan pada waktu tengah hari.

Dari segi saiznya pula, secara peribadinya, saya selesa dengan ketinggian lapisan burger ini – tidak terlalu tebal dan terlalu nipis. Yang mana ia mudah untuk digigit tanpa menyebabkan susunan lapisan berterabur atau lari sewaktu menikmatinya.

Alternatif Untuk Peminat Ayam – Avocado Chicken Burger

Bagi anda yang mungkin ingin menikmati sesuatu yang lebih ringan, Avocado Chicken Burger juga tersedia sebagai pilihan. Jika patti daging lembu menampilkan rasa yang lebih berlemak dan kaya, versi ayam ini pula menawarkan rasa yang lebih segar dengan ayam yang disalut dengan tepung yang rangup.

Tekstur ayam yang lembut dan berjus ini memberikan perbezaan di dalam gigitan yang mana masih mengekalkan elemen berkrim yang menjadi tarikan utama untuk burger baharu dari Shake Shack ini.

Walaupun tidak seberat burger daging lembu, Avocado Chicken Burger ini tetap memberikan kepuasan yang, terutama dengan tambahan sayuran seperti selada rangup dan jeruk timun yang melengkapkan keseluruhan hidangan.

Burger ini mungkin lebih sesuai bagi mereka yang mencari pilihan yang tidak terlalu padat tetapi masih ingin menikmati kelazatan gabungan avocado dan patti premium.

Bunga Raya Shake: Kelainan Dalam Setiap Hirupan

Untuk melengkapkan pengalaman menikmati Avocado Burger, Shake Shack turut memperkenalkan minuman istimewa yang diinspirasikan daripada bunga kebangsaan Malaysia – Bunga Raya Shake.

Minuman ini bukan sahaja menarik dari segi nama, tetapi juga rasa dan persembahannya. Dengan kombinasi rasa manis dan sedikit masam dari bunga raya, ia memberikan kesegaran yang sempurna untuk dinikmati bersama burger.

Tekstur minuman ini yang manis dan berkrim tetapi tidak terlalu pekat membolehkan ia menjadi pilihan yang tepat untuk menyeimbangkan rasa burger. Ini menjadikannya minuman yang cukup istimewa untuk dicuba, terutama bagi mereka yang gemarkan sesuatu yang berbeza daripada milkshake biasa.

Harga Dan Pengalaman Premium

Bagi anda yang berminat untuk mencubanya, Shake Shack menawarkan harga RM34 untuk Avocado Burger dan juga Avocado Chicken Burger. Sementara Bunga Raya Shake pula ditawarkan pada harga RM23 secawan.

Menarik bukan, khusus untuk anda yang menggemari burger yang tidak sarat dengan sos atau topping yang kompleks, mungkin menu baharu dari Shake Shack Malaysia ini boleh menarik minat anda.

Ini kerana setiap elemen di dalam Avocado Burger daripada patti daging yang berjus, keju cair hinggalah kelembutan avocado, kesemuanya mempunyai peranannya tersendiri dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Komen