Carian
Sekitar 2024 – 10 Jenama Fesyen Global Yang Buka Butik Pertama Di Malaysia Pada Tahun Ini
December 19, 2024 Lina Rosli

Tahun 2024 menyaksikan Malaysia menjadi destinasi utama bagi jenama fesyen global yang membuka butik pertama mereka di negara ini – yang mana ia mungkin berkait rapat dengan pembukaan salah satu pusat beli-belah terbesar di Malaysia iaitu The Exchange TRX.

Dengan kehadiran jenama-jenama terkenal dari pelbagai sudut dunia, peminat fesyen di Malaysia kini lebih banyak pilihan untuk mengakses koleksi-koleksi eksklusif – bermula daripada pakaian mewah sehingga ke pakaian sukan.

Berikut adalah 10 jenama fesyen global yang memulakan perjalanan mereka di Malaysia pada tahun 2024:

#1 Urban Revivo

Jenama fesyen cepat yang terkenal dengan gaya moden dan harga berpatutan, Urban Revivo, membuka butik pertamanya di 1 Utama Shopping Centre. Menawarkan koleksi pakaian yang versatil, dari kerja hingga santai, Urban Revivo kini menjadi pilihan utama bagi mereka yang ingin tampil bergaya dengan bajet yang sederhana.

#2 Undefeated

Jenama pakaian jalanan (streetwear) ikonik dari Amerika Syarikat, Undefeated membuka butik pertama mereka di Pavilion Kuala Lumpur. Butik ini menjadi tumpuan para peminat sneakers dan gaya jalanan dengan koleksi eksklusif yang merangkumi termasuk koleksi kolaborasi, pakaian sukan dan sneakers edisi terhad yang popular.

#3 A-Store

A-Store, sebuah jenama fesyen yang memfokuskan gaya, kelestarian alam dan kehalusan kerja tangan, kini telah tiba di Malaysia dengan pembukaan kedai utamanya di The Gardens Mall.

Merangkumi 7 jenama yang popular daripada pelbagai negara seperti Autry, gaya klasik Cariuma yang berteraskan kelestarian alam, dan juga gaya vintaj SAYE yang direka dengan beretika, setiap pasang kasut dari A Store mempunyai kisah unik mengenai kehalusan kerja tangan dan bakat reka cipta moden untuk ketengahkan.

#4 Maison Kitsuné

Jenama Perancis-Jepun yang menggabungkan fesyen dan muzik, Maison Kitsuné, membuka butik pertama mereka di The Exchange TRX. Butik ini menawarkan koleksi fesyen bergaya dan kafe berkonsepkan Parisian-Japanese, memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih daripada sekadar membeli pakaian.

Kehadiran butik dan kafe Maison Kitsuné ini menandakan langkah besar jenama ini dalam mengukuhkan kedudukannya di Malaysia, menawarkan sesuatu yang berbeza kepada pencinta fesyen yang ingin merasai gabungan antara gaya dan santapan di satu tempat.

#5 DESCENTE

DESCENTE, merupakan antara jenama pakaian sukan yang popular dalam kalangan penggemar aktiviti lasak. Dan pada Julai 2024, DESCENTE membuka butik pertama mereka di The Exchange TRX. Dengan fokus pada teknologi fabrik dan reka bentuk moden, DESCENTE menawarkan pakaian sukan dan peralatan aktif yang bergaya dan berprestasi tinggi, sesuai untuk golongan yang mengutamakan keselesaan dan kualiti.

#6 Salomon

Salomon melancarkan kedai pertamanya di Malaysia di The Exchange TRX pada Julai 2024. Bagi yang tidak begitu mengenali jenama ini, Salomon merupakan jenama yang menawarkan kelengkapan yang sesuai untuk penggemar aktiviti luar dan peminat fesyen pakaian siar (street wear).

Sekiranya anda berkunjung ke Salomon di The Exchange TRX, anda sama ada boleh mendapatkan pelbagai pilihan kasut sukan dan kasut mendaki, peralatan berprestasi tinggi yang direka untuk marathon atau larian bandar dan bermacam-macam lagi.

#7 Alo Yoga

Alo Yoga hadir dengan butik mercu pertama di Malaysia yang terletak di The Exchange TRX. Jenama gaya hidup premium yang berpusat di Los Angeles ini, yang terkenal dengan pakaian aktif mewah, telah mencapai satu pencapaian penting dengan pengembangan ke Asia. Pembukaan butik ini juga menandakan acara bersejarah yang menyaksikan pembukaan serentak butik mercu di Thailand dan Indonesia, membawa gabungan kemewahan dan fungsi dari Alo Yoga ke pasaran baru di seluruh landskap dinamik Asia Tenggara.

Alo Yoga, yang merupakan akronim untuk “Air, Land, and Ocean”, yang memfokuskan kepada koleksi pakaian dari studio-to-street.

#8 Levi’s

Selain daripada pelancaran butik pertama, ada juga jenama lain yang menampilkan penawaran yang lebih besar untuk pasaran Malaysia. Sebagai contoh, Levi’s dengan bangganya membuka butik terbesar mereka di Asia Tenggara yang terletak di pusat membeli-belah Suria KLCC di Kuala Lumpur.

Dengan keluasan 4,239 kaki persegi, butik ini menawarkan pelbagai produk yang meliputi Levi’s Vintage Clothing, Made in Japan, WellThread, Selvedge dan banyak lagi. Ini adalah langkah besar bagi jenama denim ikonik ini untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pasaran di Malaysia dan Asia Tenggara.

#9 ANTA Superstore

Seterusnya, ANTA Malaysia memperlihatkan kedai ANTA SUPERSTORE pertamanya di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya. Apa yang membezakan kedai mercu ini dengan cawangannya yang lain adalah penawaran produk berprestasi tinggi dan satu ruang khas untuk penggemar kecergasan, para atlet dan pengguna yang mementingkan gaya.

#10 Our Second Nature

OUR Second Nature (OSN) Buka Butik Pertama Di Malaysia

Jenama pakaian dan gaya hidup dari Singapura, OUR Second Nature (OSN), kini meluaskan sayapnya ke Malaysia dengan pembukaan butik pertama mereka di Bangsar Village II. Dikenali dengan penawaran koleksi pakaian yang menggabungkan cerita yang penuh makna dengan cetakan bermusim dan keselesaan seharian, OSN telah berkembang pesat sejak penubuhannya pada tahun 2016. Jenama ini telah menjadi pilihan utama bagi gaya hidup keluarga, diterima oleh komuniti yang setia kerana nilai-nilai yang dipegangnya.

Dengan ini, kita dapat lihat yang mana kehadiran jenama-jenama fesyen global ini bukan sahaja memeriahkan pasaran fesyen Malaysia, tetapi juga memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia yang menghargai gaya, kualiti dan inovasi.

Dengan pembukaan butik-butik ini, Malaysia semakin mendapat tempat sebagai pusat fesyen terkemuka di Asia Tenggara.

Komen