Airbnb Berkongsi Lokasi Penginapan Di Sekitar Lembah Klang Untuk Percutian Akhir Tahun – Dari Ala Bali Hingga Ke Rumah Kampung

December 20, 2024
Hotel & Pelancongan

Lina Rosli

Semakin menghampiri penghujung tahun 2024, ditambah juga dengan musim cuti persekolahan, sudah tentu ini masa yang sesuai untuk anda meluangkan sedikit masa bersama keluarga dengan merancang percutian yang ringkas di lokasi sekitar tempat anda.

Khusus buat anda yang mahukan percutian yang tenang atau retreat yang bergaya, Airbnb sekitar Lembah Klang ini menawarkan pengalaman unik yang tidak memerlukan perjalanan jauh. Dari rumah ala Bali hingga rekaan minimalis moden, setiap penginapan menjanjikan memori indah bersama keluarga dan rakan-rakan.

Kampung Gaya Bandar

Nikmati ketenangan hidup kampung tanpa perlu meninggalkan bandar dengan rumah kayu gaya tradisional yang menggabungkan elemen klasik dan kemudahan moden.

Authentic Melaka Village ialah pilihan terbaik, dilengkapi kolam renang dan taman yang indah, sesuai untuk percutian keluarga. Dengan lokasi berhampiran Bukit Gasing di Petaling Jaya, retreat ini memberikan peluang menikmati kehijauan alam semula jadi.

Pesona Pantai Tanjung Sepat

Rasai suasana rumah nenek anda di Shoreline Sanctuary, sebuah penginapan yang membawa kenangan nostalgia. Dengan bilik yang luas dan ruang tamu yang mesra, ia sesuai untuk menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan.

Terletak di Tanjung Sepat, lokasi ini memberikan percutian damai hanya beberapa jam dari Kuala Lumpur. Serene dan selesa, ini adalah tempat ideal untuk mencipta memori abadi.

Retreat Keluarga Di Alam Hijau

Untuk pencinta seni bina dan rekaan minimalis, Nature-Inspired House adalah pilihan tepat. Rumah ini menggabungkan gaya reka bentuk sederhana dengan keindahan alam sekitarnya.

Ruang makan terbuka dan kawasan santai di tepi kolam menjadikan percutian ringkas ini destinasi sempurna untuk bersantai sambil menikmati masa bersama yang tersayang. Terletak di tengah bandar, ia sangat sesuai untuk percutian hujung minggu yang singkat.

Suite Bali Di Bukit Tabur

Jika anda impikan percutian ala Bali tanpa perlu meninggalkan Malaysia, Balinese Suite adalah pilihan unggul. Nikmati kolam infiniti peribadi sambil mengagumi keindahan Bukit Tabur di kawasan Ampang, atau bersantai bersama rakan-rakan dengan sesi BBQ di luar.

Dengan bilik yang terus menghadap kolam, setiap pagi anda akan disambut dengan kesegaran alam dan ketenangan.

Jadi, tunggu apa lagi? Akhiri tahun anda dengan percutian ringkas menerusi penginapan Airbnb yang pasti memberikan pengalaman luar biasa dan kenangan manis.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd