Carian
SHARP Electronics Malaysia Meraikan Ulang Tahun Yang Ke-40 – Menelusuri Detik-Detik Bermakna Sejak Tahun 1985
December 23, 2024 Lina Rosli

Jika disebut tentang jenama SHARP, pastinya ramai dalam kalangan anda yang membesar dengan barangan-barangan elektronik daripada jenama ini – ini termasuk barangan seperti peti sejuk, televisyen, kipas angin dan pelbagai yang lain.

Pada tahun 2024 ini, SHARP Electronics (Malaysia) Sdn Bhd menyambut ulang tahunnya yang ke-40 dengan penuh bangga, menandakan perjalanan luar biasa sejak penubuhannya pada tahun 1985.

Dalam tempoh empat dekad, SHARP telah menjadi salah satu jenama elektronik yang paling dipercayai di Malaysia, memberikan pelbagai inovasi dan produk berkualiti kepada rakyat negara ini.

Sejak tahun 1985, SHARP telah memperkenalkan pelbagai teknologi yang mengubah cara hidup masyarakat. Dari televisyen ikonik mereka hingga penyaman udara cekap tenaga dan produk elektronik rumah tangga lain, SHARP sentiasa komited untuk meningkatkan keselesaan dan kemudahan pengguna. Tidak hanya itu, syarikat ini juga menonjol dengan usaha lestari melalui penyelidikan dan pembangunan teknologi hijau.

Sambutan ulang tahun ini bukan sahaja meraikan kejayaan lalu tetapi juga menyoroti visi SHARP iaitu “40 years, Live Mighty“. Menurut SHARP, bergerak ke hadapan, tumpuan mereka kekal teguh dalam menawarkan kemudahan teknologi pintar dan keperluan pengguna moden sama ada untuk pasaran Malaysia dan global.

Melalui acara-acara yang dirancang, seperti promosi istimewa, pameran produk, dan perkongsian komuniti, SHARP Malaysia berharap dapat berkongsi detik-detik bermakna ini dengan para pelanggannya yang telah menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan selama 40 tahun.

Menelusuri 40 Tahun Detik Manis Bersama SHARP – Sejak Tahun 1985

Sebagai salah satu peneraju dalam industri elektronik, SHARP telah memainkan peranan penting dalam membawa teknologi inovatif yang bukan sahaja memudahkan kehidupan harian tetapi juga meningkatkan standard hidup pengguna.

Dalam perjalanan selama hampir empat dekad ini, SHARP telah memperkenalkan pelbagai produk dan teknologi yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

1985: Penubuhan SHARP Electronics Malaysia

Pada tahun 1985, SHARP Corporation dari Jepun menubuhkan SHARP Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd., atau lebih dikenali sebagai SEM di Malaysia. Penubuhan ini merupakan langkah strategik SHARP untuk memperluaskan operasinya di Asia Tenggara.

Malaysia dipilih sebagai hab penting untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembekalan komponen elektronik.

Tidak hanya berfungsi sebagai pusat operasi, SEM turut menjalin kerjasama erat dengan pengedar tempatan untuk memastikan akses yang lebih luas kepada produk SHARP. Dengan kepercayaan terhadap nilai inovasi dan keunggulan teknologi, SHARP mula membina asas kukuh di Malaysia.

Berikut adalah beberapa pengedar dan lokasi terawal pengenalan SHARP di Malaysia termasuklah Syarikat Elektronik Masai Jaya di Johor.

1990-an: Pengembangan Produk Elektronik Untuk Rumah

Pada era 1990-an, SEM memperluaskan portfolio produknya dengan memperkenalkan pelbagai peralatan elektronik rumah tangga yang direka khas untuk memenuhi keperluan pengguna Malaysia. Antara produk popular yang diperkenalkan termasuk:

  • Televisyen
  • Peti sejuk
  • Radio
  • Ketuhar Gelombang Mikro

Produk-produk ini mendapat sambutan hangat kerana ketahanan, reka bentuk yang praktikal, serta harga yang berpatutan. Kehadiran SHARP di kediaman rakyat Malaysia semakin kukuh, menjadikan jenama ini sinonim dengan kualiti dan kepercayaan.

2000-an: Revolusi Teknologi Paparan

Masuk ke era 2000-an, SHARP mencipta nama dengan memperkenalkan siri televisyen LCD AQUOS. Teknologi ini membawa pengalaman visual ke tahap baru dengan kualiti gambar yang terang dan tajam, menjadikan SHARP salah satu peneraju dalam pasaran televisyen moden.

Untuk pengetahuan anda, televisyen ini juga bukan sahaja popular dalam kalangan pengguna rumah tetapi juga digunakan secara meluas dalam sektor komersial seperti restoran dan hotel.

2010-an: Komitmen Dalam Memastikan Kesejahteraan Pengguna

Pada era 2010-an, SHARP menunjukkan komitmen terhadap kesihatan dan kesejahteraan pengguna dengan memperkenalkan teknologi Plasmacluster dalam produk penulen udara mereka. Teknologi ini terbukti membantu meningkatkan kualiti udara dalam ruang tertutup dengan mengurangkan bahan pencemar seperti debu, alergen dan bakteria.

Selain itu, teknologi Plasmacluster turut diaplikasikan dalam produk lain seperti penghawa dingin dan peti sejuk, memperluaskan manfaatnya kepada lebih ramai pengguna. Langkah ini menunjukkan bagaimana SHARP sentiasa mencari peluang untuk menambah nilai kepada kehidupan pelanggan mereka.

2020-an: Inovasi Terkini Dan Kelestarian

Dalam dekad ini, SHARP terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju teknologi dengan memperkenalkan pelbagai produk inovatif. Pada tahun 2021, SHARP melancarkan siri televisyen AQUOS The Scenes 4K dan 8K, menawarkan pengalaman visual yang luar biasa dengan resolusi ultra tinggi. Memasuki tahun 2023 pula, SHARP melancarkan siri AQUOS XLED 4K di Malaysia. Ini membolehkan pengguna menikmati kandungan hiburan dengan tahap kejelasan dan warna yang lebih realistik.

Selain itu, SHARP turut menunjukkan komitmen terhadap kelestarian dengan menggunakan bahan mesra alam dalam proses pengeluaran mereka. Usaha ini selaras dengan matlamat global untuk mengurangkan kesan karbon dan menjaga alam sekitar.

Empat Dekad Komitmen SHARP Kepada Rakyat Malaysia

Sepanjang hampir empat dekad, SHARP Electronics Malaysia telah berjaya mengikuti perkembangan teknologi global sambil memastikan produk mereka sesuai dengan keperluan tempatan. Dari televisyen hingga penulen udara, SHARP sentiasa berusaha untuk menawarkan penyelesaian elektronik yang relevan, berkualiti tinggi dan mesra pengguna.

Kejayaan SHARP bukan sahaja terletak pada produk yang inovatif tetapi juga pada hubungan erat dengan pengguna dan pengedar tempatan. Dengan mengutamakan nilai seperti kualiti, inovasi, dan kelestarian, SHARP terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.

Adakah anda mempunyai kenangan istimewa bersama produk SHARP di rumah? Kongsi pengalaman anda bersama kami dan mari raikan detik-detik bermakna ini bersama SHARP.

Komen