Ediya Coffee, salah satu rangkaian kopi terkemuka dari Korea Selatan, kini semakin mendekati peminat kopi di Malaysia selepas pembukaan cawangan pertama mereka di pusat beli-belah, Elmina Lake Side.
Dengan kejayaan besar ini, Ediya Coffee merancang pengembangan pesat di seluruh negara, membawa citarasa kopi khas Korea ke lebih banyak lokasi di Malaysia.

Apa yang menarik untuk pembukaan pertama Ediya Coffee di Malaysia, jenama ini memperkenalkan konsep kedai dengan kemudahan pandu lalu (drive-thru) selain turut hadir dengan menu “K-specialised” yang menawarkan pengalaman unik kepada para peminat kopi tempatan.
Antara menu istimewa yang ditawarkan adalah Sweet Potato Lattes dan minuman infusi barli yang berasal dari Korea. Selain itu, mereka turut menawarkan pelbagai pilihan makanan popular Korea seperti croissant cruongji dan corn dog kentang.
Setakat ini, Ediya Coffee ini masih belum menerima pengiktirafan Halal dan dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Untuk pengetahuan anda, pada Jun 2024 yang lepas, Ediya Coffee menandatangani perjanjian francais induk untuk meluaskan pasaran mereka di Asia Tenggara, dengan sasaran membuka 200 cawangan di Malaysia dengan kerjasama konsortium syarikat makanan tempatan dan pengedar.
Tidak lama lagi, dua lagi cawangan Ediya Coffee akan dibuka di Malaysia dalam masa sebulan. Di dalam laman web rasmi mereka, lokasi Ediya Coffee seterusnya akan dibuka di kawasan seperti pulau.

Bagi yang tidak mengetahui, Ediya Coffee ditubuhkan pada tahun 2001 dan kini merupakan rangkaian kopi terbesar di Korea Selatan dengan lebih 4,000 cawangan. Malaysia menjadi pasaran antarabangsa utama pertama bagi jenama ini selepas percubaan mereka yang kurang berjaya untuk memasuki pasaran China 15 tahun lalu.