Bersiap Sedia Untuk Melangkah Ke Tahun Baharu Bersama UNIQLO x JW Anderson
Lina Rosli
Mulakan tahun 2025 anda dengan penuh gayamelalui koleksi terbaru dari UNIQLO dengan kerjasama JW Anderson.
Berbeza dengan koleksi kolaborasi UNIQLO X JW Anderson pada tahun sebelum ini, koleksi ini hadir dengan nafas baharu kepada penggemar fesyen dengan sentuhan moden yang segar.
Menampilkan praktikaliti yang digabungkan dengan bahan premium, koleksi ini menghidupkan semula gaya klasik melalui reka bentuk kontemporari dan warna-warna ceria. Hasilnya, ia berjaya menggabungkan tradisi yang tidak lapuk dek zaman dengan trend moden yang dinamik.

Koleksi ini turut meraikan kemahiran seni reka Jonathan Anderson, seorang pereka terkenal yang pakar dalam menghasilkan keseimbangan antara elemen klasik dan inovasi moden. Setiap item direka untuk memberikan kombinasi elegan dan praktikal, sesuai untuk tenaga musim bunga dan musim panas yang penuh semangat.
Untuk pilihan pakaian, kemeja oxford wanita ditawarkan dalam warna klasik seperti putih, biru dan corak berjalur, sesuai untuk pelbagai gaya formal dan kasual. Bagi yang mencari pakaian luar, Miracle Air blazer adalah tumpuan utama. Blazer ini bukan sahaja memberikan gaya yang elegan, tetapi juga diperbuat daripada material kain berprestasi tinggi – sesuai untuk mereka yang sentiasa bergerak aktif.


Koleksi ini turut menampilkan pelbagai aksesori berwarna ceria, termasuk beg, stokin dan tali leher, yang menambahkan elemen vibrant kepada keseluruhan gaya.
Untuk kesemua koleksi ini, ia akan mula tersedia di cawangan terpilih UNIQLO, selain turut akan ditawarkan secara atas-talian mulai 3 Januari 2025.