Sephora Cafe Kini Dibuka Sehingga 31 Mei 2025 – Lokasinya Di Hadapan Sephora Fahrenheit88 Di Bukit Bintang
Lina Rosli
Sephora Malaysia kini membawa pengalaman baru kepada pelanggan dengan memperkenalkan Sephora Cafe yang pertama di Asia Tenggara, hasil kolaborasi bersama Trio Bakehouse yang terletak di ruang hadapan butik Sephora di Fahrenheit88 di Bukit Bintang.
Untuk pengetahuan anda, kafe telahpun dibuka sejak 1 Disember 2024 dan boleh dikunjungi sehingga 31 Mei 2025. Sephora hadir dengan kolaborasi bersama Trio Bakehouse, yang merupakan bahagian dalaman di dalam IF ONLY yang bertanggungjawab menyediakan hidangan pastri dan kek.

Antara kepakaran Trio Bakehouse termasuklah menyediakan kek, pastri choux, donat, petit gateaux, dan banyak lagi.
Menurut Sephora, dengan adanya kolaborasi ini, ia dijangka akan menjadikannya lokasi sempurna untuk bersantai selepas sesi membeli-belah produk kecantikan di Sephora.

Bagi yang berminat untuk berkunjung ke kafe ini, ia menawarkan variasi pilihan makanan, pastri dan juga minuman yang pastinya akan memikat selera anda. Salah satu hidangan utama adalah Flower Bloom (RM22), sebuah petit gateaux yang dirumus dengan campuran unik – iaitu lemongrass apple compote, mousse melati, jeli serai dan sable vanila.
Menarik bukan? Pastikan anda tidak ketinggalan untuk mengunjungi Sephora Cafe yang eksklusif ini sepanjang tempoh enam bulan sahaja. Jadikan kunjungan anda lebih bermakna dengan gabungan kecantikan dan gastronomi di bawah satu bumbung.