Sepanjang tahun 2024, landskap fesyen di Malaysia telah menyaksikan pelbagai trend yang menarik perhatian, yang mana rata-ratanya dipengaruhi oleh platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan Twitter.
Anda boleh melihat beberapa “turun dan naik” yang berlaku di setiap suku tahun 2024. Berikut adalah beberapa trend fesyen yang mendominasi tahun ini:
#1 Gaya ‘Demure’
Trend fesyen ‘demure’, yang menekankan penampilan sopan dan tidak berlebihan, telah menjadi popular di kalangan rakyat Malaysia di TikTok. Frasa “very demure, very mindful” menjadi inspirasi kepada ramai pencinta fesyen tempatan, dengan penekanan kepada cara berpakaian yang elegan dengan warna lembut dan rekaan minimalis.
Untuk gaya ini juga, antara koleksi yang menjadi popular termasuklah penggunaan baju luar seperti jaket, blazer dan lain-lain baju tebal. Selain itu, penambahan beberapa aksesori yang tidak terlalu ketara turut menjadi pilihan para gadis demure.


#2 Fesyen ‘Old Money’
Fesyen ‘old money‘, antara yang menjadi sebutan pada suku keempat 2024 di Malaysia. Gaya ini menonjolkan penampilan yang tampak mewah dan sofistikated dengan menggunakan pakaian klasik seperti kemeja, vest dan juga tshirt polo yang dipadankan dengan seluar slack.
Untuk gaya ini, ia biasanya menggunakan warna yang tidak terlalu menonjol – seperti warna neutral seperti beige, navy dan putih yang mana ia menjadi pilihan utama dalam gaya ini, sesuai untuk memberikan aura mewah tanpa kelihatan terlalu mencuba.


#3 Item Fesyen Popular – Beg Tangan
Beg tangan bukan sekadar aksesori, tetapi juga simbol gaya dan identiti. Pada tahun 2024, kebangkitan jenama tempatan telah membawa dimensi baharu kepada pemilihan beg tangan di Malaysia. Dari rekaan minimalis hingga gaya yang lebih berani, jenama seperti Brïk dan Nazifi Nasri telah menarik perhatian ramai dengan koleksi mereka yang unik dan berkualiti tinggi.


Populariti ini membuktikan bahawa beg tangan tempatan kini mampu bersaing dengan jenama antarabangsa, sekali gus mengangkat martabat fesyen Malaysia di persada dunia.
#4 Fesyen Pejabat Yang Minimalis Tetapi Bergaya
Pakaian ke pejabat yang lebih versatil kini menjadi pilihan utama, mencerminkan keperluan untuk gaya yang profesional tetapi tetap selesa. Blazer oversized, seluar palazzo, dan juga knitted outerwear menjadi item popular yang sering dipadankan untuk mencipta penampilan yang boleh disesuaikan dari pejabat ke acara santai.


#5 Keychain atau Charm Sebagai Aksesori
Penggunaan keychain atau charm sebagai aksesori dalam fesyen menjadi trend besar di Malaysia tahun ini. Banyak orang menghiasi beg tangan mereka dengan gantungan seperti anak patung, beads atau pelbagai bentuk keychain unik lain.


#6 Pengaruh Fesyen Vintaj Dan Bundle
Trend fesyen vintaj dan pakaian bundle terus mendapat tempat di Malaysia – yang menampilkan pelbagai pakaian dan aksesori dari era terdahulu. Fenomena ini bukan sahaja mengimbau nostalgia tetapi juga menggalakkan fesyen lestari di kalangan rakyat Malaysia.
#7 Pakaian Dengan Rona Warna Mewah
Trend warna pada tahun ini juga memperlihatkan warna-warna yang mewah seperti warna coklat gelap, brick orange, maroon dan burgundy telah menjadi fenomena di Malaysia, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Warna-warna ini bukan sahaja memberikan sentuhan elegan tetapi juga menyerlahkan keperibadian pemakai dalam pelbagai acara dan suasana.


Dengan ini, kita dapat lihat beberapa trend baharu yang mencerminkan kepelbagaian dan kreativiti dalam dunia fesyen Malaysia sepanjang tahun 2024. Adakah anda salah seorang yang telah mencuba beberapa trend ini untuk tahun 2024?