Carian
Bersenam Sahaja Tidak Cukup Untuk Mengatasi Masalah Perut Buncit – Ini 5 Perkara Lain Yang Perlu Anda Lakukan
September 23, 2024 Aida Kamalia

Pernah atau tidak anda merasakan bahawa badan anda terasa berat dan tidak sihat? Jika ya, ini bermakna sudah tiba waktunya untuk anda menukar tabiat buruk anda kepada amalan gaya hidup yang lebih sihat.

Untuk pengetahuan anda, bersenam sahaja tidak cukup untuk mengurangkan lemak sekaligus menurunkan berat badan. Ini kerana pengambilan kalori yang berlebihan sedikit sebanyak mempengaruhi berat badan dan juga pembentukan lemak pada bahagian perut dan peha.

OIeh itu, salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan masalah perut buncit adalah dengan cara mengurangkan kalori – terutamanya gula dalam diet pemakanan anda. Dan bukan itu sahaja, untuk mengurangkan lemak di perut, anda perlu menurunkan berat badan terlebih dahulu, sebelum mula mendapat bentuk badan yang ideal.

Jadinya, berikut adalah lima perkara atau lima amalan baharu yang perlu anda lakukan bagi menurunkan berat badan sekaligus mengatasi masalah perut buncit.

#1 Berhenti Dan Elakkan Pengambilan Air Manis

Gula adalah pembunuh dalam senyap bagi setiap individu. Minuman manis yang diambil setiap hari seperti kopi susu, teh susu, air berkarbonat dan lain-lain adalah punca utama perut buncit. Ini kerana, di setiap minuman bergula ini mengandungi kandungan kalori yang terlalu tinggi.

Oleh itu, untuk mula menurunkan berat badan, perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah dengan mula mengawal pengambilan gula harian – dengan mengurangkan minuman manis dalam diet. Sewaktu sarapan pagi, anda boleh mengamalkan pengambilan teh atau kopi tanpa gula, sementara pada waktu makan tengahari pula, anda boleh memadankan hidangan anda dengan air mineral.

#2 Amalkan Pengambilan Suku-Suku Separuh Sewaktu Makan

Selain itu, adalah penting untuk anda mengawal pemakanan setiap kali makan. Jadinya, apa yang boleh anda praktikkan adalah konsep suku-suku separuh sewaktu makan: suku untuk karbohidrat (nasi, mi, bihun), suku untuk protein (ayam, daging), dan separuh untuk serat (sayur, buah).

Untuk lebih mudah, anda boleh menggunakan pinggan yang terbahagi kepada tiga bahagian semasa makan. Jika hendak mengurangkan rasa bosan makan hidangan yang sama setiap hari, anda boleh pelbagaikan menu dengan cara menyediakan jadual lauk yang berbeza.

Ingat, 80% kejayaan penurunan berat badan bergantung kepada pemakanan, dan hanya 20% pada senaman.

#3 Tinggalkan Pencuci Mulut

Pencuci mulut, terutamanya pastri, roti dan kek merupakan hidangan yang sering menjadi pilihan ketika individu mengalami tekanan atau melangkau makan. Dan apa yang membimbangkan, tabiat ini menyumbang kepada lemak badan yang berlebihan tanpa memberi khasiat.

Oleh itu, ,mulakan perubahan dengan menggantikan pencuci mulut dengan kekacang seperti badam panggang. Perhatikan waktu yang paling kerap anda menginginkan snek. Jika anda kerap makan pencuci mulut sewaktu berada di meja kerja, anda boleh menyediakan satu bekas kekacang sebagai kudapan yang lebih sihat di tempat kerja.

#4 Berjalan Kaki 10,000 Langkah Setiap Hari

Bagi anda yang sukar untuk melakukan senaman ringkas sama ada sebelum atau selepas bekerja, cara paling mudah untuk membakar kalori yang diambil adalah dengan melakukan brisk walk. Aktiviti berjalan kaki sehingga 10,000 langkah sehari membantu membakar kalori.

Dan sekiranya anda datang ke tempat kerja dengan menaiki LRT atau MRT, tukarkan amalan menggunakan lif atau eskalator kepada aktiviti naik turun tangga. Walaupun senaman ini kelihatan mudah, sekurang-kurangnya ia boleh memberi impak besar untuk kesihatan.

#5 Kira Jumlah Kalori Harian Kerana Anda Perlu Bakar Kalori Sama Dengan Jumlah Yang Anda Ambil

Akhir sekali, untuk menurunkan berat badan, penting untuk memahami konsep asas kalori. Setiap hari, badan memerlukan sejumlah kalori untuk berfungsi, dan jika anda mengambil lebih kalori daripada yang diperlukan, lebihan kalori itu akan disimpan sebagai lemak.

Sebaliknya, jika anda makan kurang daripada yang dibakar, badan akan mula menggunakan simpanan lemak untuk tenaga.

Langkah pertama untuk mengira jumlah kalori harian adalah dengan mengenalpasti berat dan tahap aktiviti anda. Selepas itu, pastikan kalori yang dibakar melalui aktiviti harian atau senaman sama atau lebih daripada kalori yang diambil melalui makanan.

Contohnya, jika anda mengambil 2,000 kalori sehari, anda perlu membakar sekurang-kurangnya jumlah yang sama untuk mengekalkan berat badan anda. Jika matlamat anda adalah untuk menurunkan berat badan, kurangkan pengambilan kalori dan tingkatkan aktiviti fizikal untuk membakar lebih banyak kalori.

Harut diingatkan, diet sihat tanpa pil kurus memerlukan masa dan disiplin. Yang paling penting, kuatkan semangat dan jangan mudah mengalah. Ini kerana konsistensi adalah kunci utama untuk mengatasi menurunkan berat badan sekaligus mengatasi masalah perut buncit.

Komen