Carian
Tips Raya – Kit Perjalanan yang Perlu Ada Untuk Semasa Beraya Kelak
April 5, 2024 Min Ahmad

Hari Raya bakal berkunjung tiba dan pastinya ramai yang menantikan raya kali ini setelah dua tahun beraya jauh dari keluarga dan sanak saudara. Ramai di luar sana yang tidak sabar-sabar lagi untuk pulang ke kampung halaman; bertemu dan berkunjung ke rumah sanak saudara dan teman-teman. Berikut adalah kit perjalanan yang boleh dibawa untuk hari raya ini:

Tisu Basah

Mungkin ramai yang membawa tisu muka ke mana-mana. Namun untuk hari raya ini, sertakan sekali tisu basah ke dalam tas tangan anda. Ada banyak kegunaan tisu basah berbanding tisu biasa: untuk membersihkan kesan kotoran makanan yang tertumpah, membersihkan tangan yang berminyak akibat tidak dibersihkan dengan betul, atau untuk membersihkan muka sebelum bersolat. Malah tisu basah juga senjata utama untuk ibu-ibu yang mempunyai anak kecil untuk memastikan mereka kekal bersih dan tidak comot.

Kipas Tangan

Ini adalah antara salah satu barang yang nampak remeh namun penting dan sangat berguna. Bayangkan di hari raya ini anda keluar beraya di kala cuaca panas terik, kipas tangan membantu anda untuk menyejukkan diri dengan cepat. Selain itu, ia boleh digunakan untuk menyejukkan anak kecil yang meragam akibat bahang panas. Lagi berbaloi kalau anda bawa kipas kecil mudah alih yang boleh dicaj atau menggunakan bateri, tidak perlulah anda bersusah-susah mengipas sehingga lenguh tangan.

Power Bank

Untuk anda yang merancang untuk beraya sakan ke sana sini dari rumah ke rumah hari raya ini, berselfie adalah kewajipan. Tambahan lagi dengan teman-teman dan sanak saudara yang lama tidak anda jumpa. Oleh yang sedemikian jangan lupakan power bank. Kalau kehabisan bateri telefon susah pula untuk anda bergambar raya nanti. Jangan lupakan kabel pengecasnya sekali!

Pin dan Peniti Ekstra

Sering kali terjadi ketika beraya untuk kaum wanita, jarum peniti tudung tercabut atau pin kerongsang rosak. Pastinya ini akan merosakkan gaya tudung anda. Oleh itu sediakan jarum peniti dan pin tambahan agar boleh digunakan untuk mengemaskan tudung atau baju di saat-saat anda atau insan lain memerlukan.

Kit Kecemasan Ringkas

Malang tidak bau dan boleh berlaku di saat kita tidak menjangkakannya. Oleh itu sediakan kit kecemasan ringkas yang boleh digunakan apabila anda keluar beraya. Anda boleh menyediakan kit yang mengandungi beberapa uncang Eno untuk isu ketidakhadaman sekiranya anda makan terlalu banyak, sepaket dua Gaviscon untuk masalah pedih ulu hati, plaster luka untuk kecederaan ringan, panadol untuk sakit pening biasa dan balm untuk gigitan serangga kecil.

Komen