Carian
3 Sebab Mengapa Anda Perlu Mencuci Baju Baharu Sebelum Memakainya
April 4, 2024 Lina Rosli

Siapa sahaja yang tidak teruja untuk menggayakan pakaian baharu selepas membelinya – tidak kira di kedai mahupun secara atas-talian.

Sama ada baju, seluar, tudung atau stokin, pastinya anda berasa tidak sabar untuk memperagakannya pada keesokan hari, bukan? Namun tahukah anda, sebelum memakai pakaian baharu, anda perlu membasuhnya dahulu?

Kajian menunjukkan bahawa pakaian tersebut adalah lebih kotor dan tidak bersih seperti yang anda lihat. Oleh itu, anda perlu mencuci pakaian tersebut sekurang-kurangnya sekali sebelum memakainya.

3 Sebab Mengapa Anda Perlu Membasuh Baju Baharu Sebelum Memakainya

Terdapat beberapa faktor dan juga sebab yang baik untuk mencuci pakaian baru, terutamanya pakaian yang dipakai secara langsung dengan kulit seperti baju, seluar atau pakaian dalam.

Hal ini bagi mengelakkan kulit menjadi kemerahan dan berasa gatal-gatal selepas memakainya.

  • Menghilangkan Pewarna Tambahan Pada Baju

    Salah satu sebab untuk mencuci pakaian baru ialah untuk menghilangkan pewarna tambahan yang boleh menyebabkan kerosakan kepada pakaian lain apabila bercampur dan juga mengelakkan daripada warna baju melekat pada kulit. 

    Kebanyakan kain yang diperbuat daripada serat sintetik (poliester, akrilik) berwarna dengan pewarna azo-aniline.

    Pewarna ini boleh menyebabkan reaksi kulit yang teruk bagi sesetengah individu, terutamanya kanak-kanak kecil, yang alah kepada kimia. Jika anda mengalami alahan yang teruk, ia akan menjadi ruam yang seakan racun.

    Sementara untuk tindak balas alahan yang kurang teruk, ia hanya mengakibatkan kulit menjadi kering, gatal-gatal serta keradangan kulit.

    • Membasmi Bakteria, Kulat Dan Serangga

    Bukan itu sahaja, pakaian baharu juga boleh hadir dengan pelbagai serangga dan bakteria seperti kutu, kudis dan kulat dari satu orang ke orang lain apabila pakaian dicuba.

    Dan kebiasaannya, bilik persalinan di pusat membeli-belah boleh menjadi tempat pembiakan untuk segala jenis virus dan bakteria.

    • Membersihkan Kimia Pada Baju

    Selain itu, pakaian baru perlu dibasuh untuk mengeluarkan bahan kimia seperti urea-formaldehid. Kimia ini digunakan oleh para pengeluar pakaian untuk meningkatkan warna atau tekstur. Jika anda mempunyai kulit yang sensitif, anda boleh mengalami ruam terutamanya di kawasan kulit seperti ketiak, leher, pinggang dan paha.

    Urea-formaldehid merupakan bahan kimia yang digunakan untuk mencegah cendawan daripada terbentuk pada pakaian yang perlu dihantar untuk jarak yang jauh dalam bekas panas dan lembap. Ia mempunyai bau yang sangat kuat yang akan kekal di kain sehingga pakaian dicuci.

    Bagaimana Pula Dengan Pakaian Secondhand, Adakah Anda Perlu Mencucinya Juga?

    Pakaian dari kedai bundle atau secondhand hendaklah sentiasa dibasuh dan dibersihkan sebelum memakainya – untuk tujuan kebersihan dan mengelakkan keradangan kulit.

    Walaupun baju-baju ini mungkin telah dibersihkan sebelum diletakkan untuk jualan, membasuh menggunakan sabun pencuci biasa yang anda gunakan adalah lebih baik. Ini sangat penting jika seseorang di rumah anda sensitif terhadap wangian sabun pencuci dan pelembut.

    Kesimpulannya, anda perlu membersihkan semua pakaian baru sama ada sebelum menggayakannya. Hal ini bagi mengelakkan kulit anda mendapat ruam dan gatal-gatal selain mengelakkan daripada virus dan bakteria pada pakaian tersebut merebak ke kawasan lain. Selamat mencuba!

    Komen