Carian
5 Kaedah Membuat Kopi Bagi Mereka Yang Baru Mendalami Dunia Kopi
September 3, 2024 Farooq

Jika anda seorang penggemar air kopi, semestinya anda boleh membezakan diantara kualiti kopi yang dibuat menggunakan kopi segera, kopi sedia ada dalam tin dan yang dibuat segar di depan mata anda. Apabila kopi yang dibancuh menggunakan biji kopi yang masih baru dipanggang, biasanya akan memberi rasa yang terbaik dan lebih menyeluruh jika dibandingkan dengan yang lain.

Ada banyak cara untuk membancuh kopi dan setiap satunya ada kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Malah, sesetengah pemanggang kopi mungkin akan syorkan menggunakan teknik tertentu untuk mendapatkan hasil yang terbaik dari kopi mereka. Di sini adalah (secara ringkas dan am) beberapa teknik yang biasa orang gunakan untuk membuat kopi di rumah.

1. Pour Over/Drip

Close up photo of barista standing at counter and preparing pour over coffee in cafe

Teknik ini boleh dikatakan antara teknik yang klasik dan biasa orang gunakan dirumah. Ianya adalah antara cara yang murah, senang untuk dipelajari dan jika dibuat dengan baik, boleh menyerlahkan nota rasa halus yang berada di dalam kopi. Konsepnya juga sangat senang: ambil kon kopi dan letakkan atas teko. Letakkan kertas penapis kopi dalam kon, masukkan biji kopi yang sudah dikisar, curahkan air panas dan keluarlah air kopi anda. Kaedah ini biasanya akan menghasilkan kopi yang tidak terlalu pekat dengan rasa kopi yang lebih jelas.

Peralatan: Kon Kopi, Kertas Penapis Kopi, Teko

Kos: Rendah

Kelebihan: Sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak di dunia kopi.

Kekurangan: Tiada teknik standard. Perlu pelajari teknik yang sesuai untuk cita rasa diri sendiri.

2. Mesin Espresso (Elektrik)

Close up image of a man preparing cappuccino in a coffee machine.

Antara sebab orang selalu mengunjungi kedai kopi adalah pelbagai jenis kopi yang boleh diperolehi di sana. Tidak sah suatu kedai tersebut jika mereka tidak menggunakan mesin espresso. Mesin komersil yang digunakan boleh cecah beribuan ringgit sebuah tetapi sekarang terdapat mesin espresso yang lebih kecil dan boleh digunakan di rumah. Kosnya masih tinggi jika dibandingkan dengan banyak cara lain, tetapi jika anda lebih serius untuk membuat kopi di rumah, ataupun peminat tegar espresso, ini mungkin cara terbaik untuk anda.

  • Peralatan: Mesin Kopi, Mesin Pengisar Kopi, penimbang berat, Aksesori seperti tamper, tamper mat, WDT
  • Kos: Tinggi
  • Kelebihan: Boleh membuat espresso, mempelajari latte artKekurangan: Lebih teknikal, lebih masa untuk menggunakan mesin dan perlu menyelidik peralatan yang terbaik untuk bajet anda

3. Pot Moka

Ramai melihat penggunaan pot moka sebagai cara bajet untuk mendapat kopi seakan-akan espresso. Hasil kopinya selalunya lebih pekat kerana ia menggunakan tekanan aliran daripada air yang sedang mendidih. Ia juga sesuai untuk situasi dimana anda tidak ingin menggunakan elektrik, sebaliknya hanya ada ingin menggunakan dapur api sahaja.

  • Peralatan: Pot Moka
  • Kos: Medium
  • Kelebihan: Boleh bancuh kopi yang lebih pekat.
  • Kekurangan: Perlukan api untuk membancuh.

4. Aeropress

Antara teknik yang agak baru dalam dunia kopi adalah membancuh menggunakan aeropress. Bentuknya dan fungsinya seakan-akan picagari yang besar. Caranya sangat senang dimana anda masukkan kopi dikisar dan air panas dalam alatnya, tunggu beberapa minit, tekankannya seperti picagari untuk mengeluarkan air kopi. Ia juga dikatakan boleh membuat kopi seakan espresso juga (tetapi secara peribadi, saya tidak rasa kepekatannya dan rasanya sedekat espresso seperti menggunakan pot moka). Terdapat beberapa “copy ori” yang dijual pada tanda harga yang murah tetapi kualiti sememangnya jauh beza dengan yang asli.

  • Peralatan: Aeropress
  • Kos: Medium
  • Kelebihan: Senang dan menjimat masa untuk digunakan
  • Kekurangan: Ada beberapa cara menggunakan Aeropress dan mengambil sedikit masa untuk belajar teknik yang anda sukakan.

5. French Press

Kaedah French Press adalah antara cara penggemar kopi mendapat dos kafein dengan cara sangat mudah dan tanpa memikir banyak. Ia seperti Aeropess dimana anda masukkan biji kopi dengan air panas dalam alatnya, tekan “plunger” ke bawah untuk pisahkan serbuk kopi dari air dan sedia untuk minum.

  • Peralatan: French Press
  • Kos: Murah/Medium
  • Kelebihan: Antara cara paling senang
  • Kekurangan: Cara paling bosan

Semestinya ada lagi cara seperti menggunakan Siphon, mesin espresso manual dan sebagainya tetapi senarai diatas adalah antara yang paling biasa orang gunakan di rumah. Jadi bagaimana? Adakah anda menggunakan salah satu kaedah diatas? Mana satu cara yang anda paling suka gunakan?

Komen