Sosej adalah salah satu bentuk makanan olahan tertua, yang telah disebutkan di Homer’s Odyssey sejak abad ke-9 sebelum Masihi.
Asal usul sosej bermula dari zaman purba dan telah berkembang menjadi hidangan popular di seluruh dunia – diperkenalkan oleh tamadun Sumeria, yang kini dikenali sebagai Iraq. Pada masa itu, sosej dibuat dengan menggunakan daging yang dicincang halus, dicampur dengan rempah dan garam, kemudian dimasukkan ke dalam usus haiwan untuk diawetkan dan disimpan.
Dari Sumeria, amalan membuat sosej tersebar ke seluruh dunia, termasuk ke Yunani dan Rom purba. Orang Rom terkenal dengan pelbagai jenis sosej, termasuk “lucanica,” sejenis sosej yang dinamakan sempena wilayah Lucania di Itali. Sosej ini begitu digemari sehingga menjadi salah satu makanan yang dibawa oleh tentera Rom ke pelbagai pelosok empayar mereka.
Dalam bahasa Latin pula, sosej disebut salsus (salted), merujuk kepada kaedah pemprosesan makanan yang telah digunakan selama berabad-abad.
Beredar ke zaman pertengahan, negara-negara di Eropah hadir dengan sosej tempatan tersendiri, termasuk jenis seperti frankfurter (Frankfurt am Main), bologna (Itali), romano (Roma), bratwurst (Jerman), chorizo (Sepanyol) dan boudin (Perancis) yang diberi nama tempat asal mereka.
Dengan perkembangan teknologi dan perdagangan, sosej menjadi semakin popular dan pelbagai di seluruh dunia. Hari ini, sosej dihasilkan dalam pelbagai jenis dan gaya, dari sosej segar hingga yang dihasilkan secara industri, memenuhi pelbagai citarasa dan budaya.
Bagaimana terhasilnya sosej?
Sosej merupakan produk daging yang diperbuat dari daging cincang halus yang biasanya dimasukkan ke dalam bekas plastik bagi menghasilkan bentuk yang memanjang dan kecil.
Pada konsep asal sosej ini dihasilkan adalah bagi memastikan tiada bahan-bahan dalaman haiwan yang terbazir dan dibuang secara sia-sia. Sama ada anda memilih sosej daging lembu atau ayam, ia sememangnya mengandungi daging yang bukan bahan utama.
Menurut Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), sosej dihasilkan bukan daripada daging mentah, ia diperbuat daripada pemotongan otot bawah haiwan, tisu lemak, daging kepala, kaki haiwan, kulit haiwan, darah, hati dan produk sampingan lain yang boleh dimakan.
Walau bagaimanapun, ia tidak bermaksud sosej dihasilkan daripada sisa organ dalaman yang tidak digunakan. Ia masih menggunakan bahagian yang sama seperti yang anda buat menjadi daging lembu atau daging ayam yang mana menggunakan potongan daging yang tidak menghasilkan stik yang baik kerana ia mungkin tidak memiliki kelembutan, ukuran, bentuk atau berat yang tertentu.
Sosej Moden Yang Dijual Pada Masa Kini
Dalam pemprosesan makanan moden, kandungan daging sosej biasanya hadir dengan tiga pilihan iaitu daging lembu, ayam atau daging babi. Ia juga hadir dengan beberapa bahan tambahan lain termasuk air, bijirin, pati sayur, tepung soya, bahan pengawet dan pewarna tiruan.
Bukan itu sahaja, pelbagai rempah dan bumbu yang digunakan dalam pembuatan sosej termasuk garam, biji ketumbar, pala, cengkeh, bawang putih, cuka, kacang, lada atau kacang pistachio yang bergantung kepada pilihan etnik atau gaya hidup sesebuah negara.
Untuk pembungkusan pula diperbuat daripada bahan sintetik moden dari plastik atau kolagen yang dibentuk semula daripada protein haiwan yang tidak larut.
Manakala, sosej tanpa kulit pula dihasilkan dengan memasukkan bahan ke dalam selulosa sel dan kemudiannya direndam ke dalam air panas serta diselangi dengan air sejuk bagi membentuk protein tipis.
Sumber: Britannica , BestFoodFact