Carian
Beza Antara Telur Itik Dan Telur Ayam – Mana Satu Lebih Lazat?
June 14, 2024 Lina Rosli

Jika dilihat dari kulit luarnya, telur itik dan telur ayam mempunyai perbezaan yang ketara dari segi warna dan saiz. Yang mana telur itik hadir dengan 3 variasi warna iaitu biru kehijauan, putih dan hitam sementara telur ayam pula berwarna coklat. 

Dari segi saiz pula, telur itik mempunyai saiz yang lebih besar, iaitu sekitar 50 peratus besar berbanding saiz jumbo standard untuk telur ayam. Bukan itu sahaja, kelompang luar telur itik juga adalah lebih keras dan tebal yang menjadikannya lebih tahan lama daripada telur ayam.

Adakah Telur Itik Lebih Berkhasiat Daripada Telur Ayam?

Menurut kajian oleh Local Harvest, telur itik mempunyai dua kali ganda nutrien dari telur ayam. Walau bagaimanapun, ada juga yang berpendapat yang mana nutrien dalam telur ini bergantung kepada pemakanan itik itu sendiri. Sekiranya itik tersebut diberi makan unggas, nutriennya akan berkurangan dan telurnya tidak akan sihat seperti itik yang memakan tanaman seperti alga, bayam atau rumput. 

Hal ini sama seperti telur ayam juga, jika dibandingkan dengan telur ayam yang diternak di belakang rumah, ia adalah lebih sihat daripada telur yang dibeli di kedai.

Adakah Telur Itik Lebih Lazat Berbanding Telur Ayam?

Secara kasarnya, rasa telur itik adalah sama seperti telur ayam. Namun, telur itik mempunyai bau yang lebih kuat berbanding telur ayam. Hal ini disebabkan oleh diet pemakanan itik yang lebih gemar memakan serangga dan makhluk berprotein tinggi lain, dan diet itu mempengaruhi rasa telur mereka dengan ketara.

Manakala untuk ayam pula, kebiasaannya para penternak cenderung menggunakan dedak sebagai alternatif makanan harian.

Apakah Yang Terkandung Dalam Telur Itik?

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, telur itik mempunyai kulit yang lebih tebal, sekaligus menjadikannya lebih tahan lama. Ia juga kaya dengan albumin yang mana boleh menghasilkan kek atau omelet yang gebu.

Seterusnya, telur itik juga mempunyai asid lemak Omega-3 yang baik untuk kesihatan. Bagi anda yang mempunyai alahan pada terhadap telur ayam turut boleh konsum telur itik dalam menu makanan anda.

Setiap yang baik pasti ada buruknya, yang mana ada yang berpendapat telur itik mempunyai paras kolestrol yang tinggi. Pasti anda sudah tahu bahawa semua kuning telur mempunyai kolesterol. Untuk telur itik, ia mempunyai kolesterol tiga kali ganda daripada telur ayam.

Sekiranya anda suka telur itik namun masih mementingkan kesihatan anda, anda perlu mengehadkan pengambilan telur kuning dalam telur itik. Anda mungkin boleh mengambil bahagian putih untuk rutin anda.

Bagaimana Cara Memasak Telur Itik?

Cara memasak telur itik adalah sama seperti memasak telur ayam. Walau bagaimanapun, kandungan airnya lebih rendah daripada telur ayam. Jadi, anda harus berhati-hati ketika menggorengnya, kerana terlalu lama masak boleh menyebabkan telur menjadi getah. 

Tetapi disebabkan saiznya adalah lebih besar dan mempunyai kandungan lemak yang lebih tinggi, resipi yang direka untuk telur ayam tidak boleh sewenangnya digantikan dengan telur itik. Sekiranya anda ingin menggunakannya, anda perlu menyesuaikannya kandungannya sama seperti telur ayam.

Antara masakan lain yang boleh dilakukan menggunakan telur itik termasuk:

  • Kek dan pastri
  • Roti
  • Omelet

Disebabkan penghasilan telur itik yang agak terhad, kebanyakan pengeluar lebih cenderung untuk menjual telur ayam kerana kaedah penghasilan telur yang lebih laju untuk dipasarkan kepada umum.

Komen