Kucing Tiba-Tiba Sakit? Mungkin Ini Tanda Dijangkiti Parvovirus

July 11, 2025
Haiwan

Lina Rosli

Pernahkah anda mengalami situasi di mana kucing kesayangan tiba-tiba jatuh sakit, tidak bermaya, muntah berulang kali atau cirit-birit berpanjangan? Jika ya, besar kemungkinan kucing anda mungkin dijangkiti Parvovirus, salah satu virus paling berbahaya dalam dunia haiwan peliharaan.

Walaupun saiznya kecil, virus ini cukup agresif dan pantas merebak – sehingga boleh membawa maut dalam tempoh yang singkat jika tidak dikesan awal.

Apa Itu Parvovirus?

Parvovirus atau lebih dikenali sebagai feline panleukopenia virus (FPV) adalah sejenis virus DNA yang menjangkiti haiwan dari keluarga kucing – termasuk kucing domestik, harimau, cheetah dan jaguar. Virus ini menyerang sistem imun dengan menurunkan bilangan sel darah putih, seterusnya melemahkan daya tahan badan.

Lebih membimbangkan, virus ini sangat mudah berjangkit dan boleh bertahan dalam persekitaran tercemar selama bertahun-tahun – sama ada dalam suhu panas atau sejuk, malah tidak mudah mati walaupun dibersihkan dengan pembasmi kuman biasa.

Bagaimana FPV Boleh Menjangkiti Kucing Anda?

Antara punca utama penularan FPV di rumah adalah melalui persekitaran yang tidak bersih. Virus ini boleh tersebar melalui najis kucing yang tercemar dan seterusnya melekat pada:

  • Permainan kucing
  • Tempat tidur
  • Bekas makanan dan minuman

Sebagai contoh, meletakkan kotak najis berdekatan dengan tempat makan boleh meningkatkan risiko jangkitan. Lebih mengejutkan, anjing juga boleh menjadi pembawa virus ini, walaupun mereka tidak menunjukkan simptom.

Tanda-Tanda Kucing Anda Dijangkiti FPV

Kucing yang dijangkiti biasanya akan mula menunjukkan gejala dalam tempoh beberapa hari. FPV menyerang sel-sel usus, sumsum tulang, dan dalam kes tertentu, boleh menjejaskan janin dan sistem saraf.

Antara simptom utama termasuk:

  • Demam ringan
  • Kelesuan dan kemurungan
  • Muntah berwarna kehijauan
  • Cirit-birit dan sakit perut
  • Kehilangan selera makan (anoreksia)
  • Dehidrasi dan kehausan berlebihan
  • Usus terasa tegang apabila disentuh

Kucing juga boleh terus mengeluarkan virus ini selama enam minggu selepas dijangkiti, menjadikan ia ancaman serius kepada kucing lain di sekeliling.

Adakah Terdapat Rawatan Untuk FPV?

Sehingga kini, tiada rawatan khusus untuk menyembuhkan FPV. Kebanyakan rawatan hanya bersifat sokongan bagi mengurangkan simptom dan memberi peluang kepada sistem imun kucing untuk pulih.

Rawatan yang biasanya diberikan termasuk:

  • Ubat anti-muntah (anti-emetik)
  • Terapi cecair untuk mengatasi dehidrasi
  • Makanan dalam kuantiti kecil selepas muntah reda
  • Kuarantin bagi mengelakkan jangkitan silang

Namun begitu, kadar kematian akibat FPV masih tinggi, terutamanya jika tidak dirawat dari awal.

Langkah Pencegahan FPV

Memandangkan tiada penawar khusus, pencegahan adalah langkah paling efektif dalam mengelakkan jangkitan. Antaranya:

  • Vaksinasi awal mengikut jadual oleh doktor haiwan
  • Membersihkan kotak najis setiap hari
  • Asingkan kucing yang dijangkiti daripada haiwan lain
  • Cuci tangan, pakaian dan peralatan selepas mengendalikan kucing sakit

Parvovirus bukan sahaja berbahaya, malah mampu meragut nyawa kucing dalam masa yang singkat. Sebagai pemilik, penting untuk peka terhadap tanda-tanda awal dan mengambil langkah pencegahan segera. Ingat, sedikit kelalaian boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan haiwan kesayangan anda.

Jika anda mengesyaki kucing anda menunjukkan simptom FPV, dapatkan rawatan veterinar segera dan pastikan langkah kuarantin diambil bagi melindungi haiwan lain di rumah.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd