Carian
Volvo Car Malaysia Kini Buka Tempahan Untuk Volvo EX30 Yang Dipasang Di Malaysia (CKD)
January 6, 2025 Lina Rosli

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan Volvo EX30, kini Volvo Car Malaysia membuka tempahan untuk Volvo EX30 yang dipasang secara tempatan (CKD), selepas kejayaan besar model import sepenuhnya (CBU) yang dilancarkan pada September 2024.

Sebagai model elektrik penuh ketiga yang dipasang tempatan, Volvo EX30 terus mencerminkan komitmen Volvo terhadap mobiliti peribadi yang mampan dan selamat.

Untuk pengetahuan anda, Volvo EX30 ini diperkenalkan sebagai model tahun 2025 – hadir dalam dua varian iaitu Ultra dan Ultra Twin Performance, dengan harga bermula daripada RM208,888 hingga RM228,888. Pelanggan boleh memilih tiga warna elegan iaitu Cloud Blue, Vapour Grey dan Crystal White.

Menurut Volvo Cars Malaysia, penghantaran pertama dijangka bermula pada minggu kedua Januari 2025.

Volvo EX30 – Canggih dari Segi Teknologi dan Keselamatan

EX30 menggabungkan teknologi terkini dengan ciri keselamatan maju – menampilkan ciri Pilot Assist dengan fungsi separa autonomi, serta kamera dan sensor untuk pandangan 360°. Selain itu, Volvo turut hadir dengan ciri Park Pilot Assist yang menawarkan bantuan parkir secara automatik.

Varian Ultra dilengkapi dengan motor tunggal yang menawarkan kelajuan mencapai 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat. Sementara itu, varian Ultra Twin Performance pula hadir dengan prestasi hebat -membolehkan 0-100 km/j hanya dalam 3.6 saat.

Kedua-dua varian menggunakan bateri NMC 69 kWh, memberikan jarak pemanduan sehingga 476 km (WLTP) untuk motor tunggal dan 450 km untuk motor berkembar. Proses pengecasan pantas 175 kW DC membolehkan bateri dicas dari 10% ke 80% dalam hanya 28 minit.

Bukan itu sahaja, Volvo Car Malaysia turut menawarkan pengalaman pemilikan bebas risau dengan pelbagai sokongan selepas jualan. Rancangan Perkhidmatan Volvo (VSP) merangkumi penyelenggaraan seperti penggantian penapis udara kabin, pemeriksaan cecair brek, serta kemas kini perisian sehingga 5 tahun atau 100,000 km.

Pelanggan juga dilindungi dengan waranti kenderaan selama 5 tahun tanpa had perbatuan dan waranti bateri voltan tinggi selama 8 tahun atau 160,000 km.

Bagi yang berminat, tempahan boleh dibuat secara dalam talian di laman web Volvo Malaysia atau kunjungi bilik pameran Volvo terdekat.

Komen