Carian
Tahun Melawat Malaysia 2026 Hadir Dengan Logo Baharu Dan Maskot Rasmi Wira & Manja
January 8, 2025 Lina Rosli

Bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Tourism Malaysia baru-baru ini memperkenalkan logo rasmi dan juga maskot baharu yang membawa mesej kesepaduan budaya, keindahan alam semula jadi dan daya tarikan Malaysia kepada global.

Sewaktu pengenalan wajah baharu ini, maskot rasmi yang digunakan pada kempen ini telah menarik perhatian ramai – iaitu dua beruang matahari yang bernama Wira (beruang jantan) dan Manja (beruang betina).

Untuk pengetahuan anda, beruang matahari ini merupakan spesies beruang terkecil di dunia – selain turut merupakan spesies yang unik serta asli di kawasan tropika Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Beruang matahari, Wira dan Manja, dipilih untuk menyerlahkan mesej penting tentang pemuliharaan alam sekitar, seiring dengan usaha menjadikan Visit Malaysia 2026 sebagai kempen yang memberi kegembiraan kepada lapisan generasi.

Jika anda lihat, reka bentuk logo Visit Malaysia 2026 memperlihatkan gabungan harmoni antara warna yang ceria dan ilustrasi batik. Penampilan bunga kebangsaan Malaysia, Bunga Raya, sebagai ganti huruf ‘i’ turut menyerlahkan lagi identiti negara.

Dengan ini, marilah kita bersama-sama memeriahkan lagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 – dengan mula menikmati dan menerokai keindahan negara kita sambil terus menghargai nilai pemuliharaan alam sekitar.

Komen