Hipertensi, atau lebih umum disebut sebagai tekanan darah tinggi, adalah keadaan kronik di mana kekuatan tekanan darah pada dinding arteri adalah tinggi secara berterusan. Ia juga dikenali sebagai “pembunuh senyap” kerana kebiasaannya ia hadir bersama sedikit atau tanpa simptom, menjadikan pemantauan berkala adalah penting.
Hipertensi ditakrifkan sebagai peningkatan berterusan tekanan darah pada atau melebihi 140/90mmHg dan disahkan melalui bacaan yang diambil pada sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali pengukuran secara berasingan.
Walau bagaimanapun, bacaan tekanan darah dalam julat 130 hingga 139mmHg sistolik dan 85 hingga 89mmHg diastolik sudah dianggap “berisiko”. Individu yang mempunyai tekanan darah dalam julat ini perlu memantau tekanan darah mereka dengan teliti dan membuat perubahan gaya hidup bagi membantu menurunkan tekanan darah.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, hipertensi menjejaskan 29.2 peratus atau hampir satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia. Daripada angka ini, 11.9 peratus sebenarnya tidak tahu bahawa mereka menghidap hipertensi.
Lebih merisaukan apabila kebanyakan mereka berumur dalam lingkungan 18 hingga 39 tahun, sekali gus menunjukkan pertambahan yang membimbangkan dalam kalangan orang muda. Walaupun berdepan dengan risiko yang ketara ini, namun masih ramai rakyat Malaysia yang tidak menyedari status tekanan darah mereka, biasanya kerana ia tidak bergejala pada peringkat awal.
Dr Jolene See Su Chen, Pakar Perunding Am (Perubatan Dalaman) di Pusat Kesihatan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, merungkai mitos dan fakta penting mengenai hipertensi. Beliau menekankan kepentingan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mengekalkan gaya hidup sihat, sambil menjelaskan bahawa setelah disahkan menghidap hipertensi, ia merupakan keadaan kronik yang memerlukan pengurusan dan penjagaan berterusan sepanjang hayat. Beliau berkongsi kepakarannya dengan menjelaskan tentang peningkatan kes hipertensi yang semakin membimbangkan kini, terutamanya dalam kalangan populasi lebih muda.
Menurut pakar juga, hipertensi di Malaysia telah menyaksikan pertambahan kes, terutamanya dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 40 tahun, malah ada sebahagian pesakit yang berumur dua puluhan.

Beliau menjelaskan bahawa peralihan ini disebabkan oleh interaksi kompleks kecenderungan genetik, faktor gaya hidup, dan tabiat pemakanan. Dr Jolene juga mengetengahkan mitos lazim bahawa hipertensi hanya melibatkan golongan berusia.
Gejala Ringan, Tetapi Komplikasi Serius
Biasanya hipertensi berlaku tanpa sebarang petanda atau gejala. Oeh itu, pemeriksaan secara berkala adalah penting. Apabila mula menunjukkan gejala, ia mungkin menandakan hipertensi telah dihidapi untuk beberapa ketika.
Antara gejala hipertensi termasuklah:
- sakit kepala
- pening
- sesak nafas
- sakit dada
- hidung berdarah
Jika tidak dirawat, hipertensi boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk dan berpotensi mengancam nyawa, termasuk serangan jantung, kegagalan jantung, degupan jantung yang tidak teratur, strok, kegagalan buah pinggang dan kehilangan penglihatan.
Oleh itu, orang ramai harus menjalani pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya sekali setahun sebagai sebahagian daripada pemeriksaan kesihatan tahunan mereka. Tekanan darah juga perlu diperiksa sewaktu berjumpa doktor di klinik biarpun bagi masalah kesihatan yang lain. Mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap hipertensi atau penyakit jantung harus memantau tekanan darah mereka dengan kerap di rumah kerana pengesanan awal adalah kunci untuk menguruskan keadaan dengan berkesan.
Ancaman Akibat Tabiat Gaya Hidup dan Pemakanan
Kebanyakan rakyat Malaysia mengambil diet yang tinggi dengan kandungan garam dan lemak, serta rendah nutrien penting. Kekurangan aktiviti fizikal dan stres yang tinggi dalam persekitaran kerja lebih menambahkan risiko mendapat tekanan darah tinggi.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengawal pengambilan natrium harian mereka di bawah 2,000 miligram sehari, iaitu bersamaan dengan kira-kira 1 sudu teh. Kita juga boleh mengetahui lebih lanjut mengenai Pendekatan Pemakanan untuk Hentikan Hipertensi (DASH) yang direka untuk membantu mencegah atau merawat hipertensi serta membantu menurunkan paras kolesterol LDL yang dikaitkan dengan penyakit jantung.

Diet DASH tertumpu kepada melebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan protein tanpa lemak (daripada daging, ayam atau ikan tanpa lemak). Adalah penting untuk memilih makanan rendah lemak tepu dan trans, yang biasanya terdapat dalam makanan yang diproses.
Perubahan Gaya Hidup Dan Ubat-ubatan
Pendekatan yang proaktif perlu diambil bagi mengurus dan mencegah hipertensi. Jadinya, anda digalakkan untuk:
- makan makanan seimbang yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran
- kurangkan pengambilan garam dan alkohol
- tidak merokok
- kekal aktif dengan senaman yang kerap
- mengekalkan berat badan yang ideal
Dr Jolene turut menambah beberapa garis panduan am untuk mengekalkan berat badan yang sihat, iaitu:
- Indeks Jisim Badan (BMI): Sasarkan BMI antara 18.5 dan 22.9, berdasarkan Pengurusan Obesiti CPG Malaysia 2023
- Ukur lilit pinggang: Sasaran ukur lilit pinggang bagi lelaki ialah kurang daripada 90 sentimeter (cm), manakala kurang daripada 80 cm bagi wanita, berdasarkan Pengurusan Obesiti CPG Malaysia 2023
- Penurunan berat badan: Penurunan berat badan yang sederhana sebanyak 5 hingga 10 peratus daripada berat semasa anda boleh menambahbaik tekanan darah dan kesihatan keseluruhan dengan ketara.
Bukan itu sahaja, beliau juga menolak mitos yang mendakwa bahawa pengambilan ubat untuk tempoh jangka panjang mungkin membahayakan buah pinggang pesakit dan boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang.