Honda Memperkenalkan Model Civic Baharu – Dijual Pada Harga Bermula RM133,900

January 9, 2025
Automotif

Lina Rosli

Pada Januari 2025 ini, Honda Malaysia melancarkan model baharu untuk Honda Civic – yang menampilkan fungsi dan rekaan baharu yang pastinya bersesuaian dengan keperluan pemandu di Malaysia.

Untuk Honda Civic serba baharu ini, Honda telah menambah baik beberapa rekaan dan juga teknologi yang tersedia pada kenderaan ini. Ini termasuk pengenalan Google Built In terus pada panel inforia Honda Civic, kemaskini antaramuka pada dashboard kenderaan dan juga penambahan empat lagi ciri baharu pada Honda Sensing.

Bercakap mengenai rekaan, Honda menyatakan yang mana untuk model baharu ini, mereka memfokuskan kepada keselesaan pemanduan di samping menjadikan prestasi kenderaan lebih baik – kini Honda Civic dikatakan mempunyai saiz yang lebih panjang iaitu 4,681mm berbanding 4,678mm berbanding model sebelumnya.

Manakala untuk rekaan dalaman pula, Honda Civic turut menampilkan corak fabrik serba baharu yang dijangka akan memberikan pengalaman yang lebih elegan. Selain itu, untuk varian e-HEV, Honda turut memperkenalkan mod pemanduan baharu iaitu mod pemanduan “Individual” yang mana membenarkan pemandu untuk memilih dan menerokai pengalaman pemanduan yang lebih peribadi. Pemandu boleh menggabungkan mana-mana mod pemanduan seperti “ECON” untuk prestasi enjin, sementara “SPORT” untuk pengendaliam stereng.

Mengenai panel inforia pula, Honda Civic hadir dengan saiz sebesar 9-inci dan rekaan antaramuka yang lebih kemas dan minimalis. Untuk pengetahuan anda juga, kereta ini turut membenarkan sambungan Apple Car Play secara nirwayar.

Untuk model baharu Honda Civic ini, ia menampilkan 4 pilihan varian iaitu model RS e-HEV, RS petrol, V petrol dan juga E petrol.

Selain itu, Honda Civic ini turut menampilkan warna baharu iaitu warna Canyon River Blue Metallic – menjadikan segala keseluruhan Civic ini mempunyai lima warna yang menarik. Sementara harga yang ditawarkan pula adalah bermula RM133,900 untuk model asas dan RM167,900 untuk model premium Civic RS e-HEV.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd