Bufet Ramadan 2025 Di WTCKL – Menampilkan Gerai Istimewa Nasi Kandar Saddam, Turut Menyediakan Kemudahan Solat Tarawih
Lina Rosli
Tinggal kurang dari 2 bulan lagi sebelum kita memasuki bulan Ramadan, iaitu bulan yang penuh keberkatan untuk semua individu yang beragama Islam. Dan terdapat beberapa jenama penyedia makanan dan minuman yang sudah mula mengumumkan penawaran mereka di sepanjang bulan puasa ini.
Baru-baru ini, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) memperlihatkan pakej bufet istimewa bertemakan ‘Laman Tradisi’, yang akan berlangsung dari 7 hingga 28 Mac 2025, setiap hari dari 6 petang hingga 10 malam.

Untuk pengetahuan anda, setiap tahun WTCKL menampilkan pelbagai pilihan tema yang berbeza bagi memastikan setiap hidangan yang ditawarkan kelihatan lebih istimewa kepada setiap pelanggan mereka. Antara tema yang pernah diperkenalkan termasuklah Aneka Selera Desa (2022), Nostalgia Senja (2023), Selera Warisan Kampung (2024) dan yang terbaru Laman Tradisi (2025).
Setiap hidangan yang disajikan diutamakan dengan kualiti dan cita rasa yang sinonim dengan rakyat Malaysia. Untuk Bufet Ramadan 2025, WTCKL menyediakan lebih 300 jenis hidangan istimewa dengan 5 rotasi menu berkonsepkan juadah tradisi kampung dengan keunikan kepelbagaian citarasa Malaysia.





Seleksi menu menampilkan ikan patin tempoyak, gulai udang, daging rendang minang, kambing goreng berempah, ketam masak kam heong, gulai kawah daging, lala dan kerang masak sambal, kupang goreng lada hitam dan sotong sambal petai.
Selain itu, terdapat 16 gerai yang menghidangkan aneka juadah berbuka puasa merangkumi aneka sup berempah, aneka kerabu, kambing panggang, masakan western, rojak, apam balik, kudapan dan pelbagai jenis minuman.

Tidak dilupakan hidangan paling popular kami yang sentiasa menjadi pilihan tetamu setia iaitu bubur lambuk istimewa WTCKL.
Bukan itu sahaja, WTCKL turut menampilkan gerai istimewa di Laman Tradisi iaitu penawaran Nasi Kandar Saddam yang cukup popular di Kuala Lumpur. Ia menjadi sebahagian daripada hidangan istimewa Ramadan dengan ayam goreng bawang dan daging masak hitam yang menyelerakan dihidang bersama telur rebus dan sayur pilihan.
Selain itu, terdapat juga menu istimewa lain seperti Nasi Mandy dan Kunafa dari restoran Mandy Al Yemen.


Berapakah Harga Bufet Ramadan WTCKL?
Harga bufet Ramadan dengan promosi Early Bird akan dijual pada harga RM118 untuk setiap seorang, manakala harga asal bagi bufet ramadan Laman Tradisi pula adalah RM148 seorang. Bagi warga emas dan kanak-kanak harga yang ditawarkan adalah RM85 setiap seorang.
Bukan itu sahaja, jika anda merancang untuk berbuka puasa dalam kumpulan yang besar, WTCKL turut menawarkan pilihan pakej berbuka puasa korporat untuk dewan banquet. Pakej ini termasuk penggunaan dewan, bilik VIP, tempat letak kereta VIP, pentas, PA system dan skrin LED. Harga yang ditawarkan adalah bermula RM158 dengan minimum jumlah tempahan seramai 200 orang.

Bagi yang berminat, baucar pembelian awal boleh dibeli secara langsung dari Restoran Riverside, atau anda boleh menghubungi pihak WTCKL di talian +603 2614 6701 atau +603 26146702. Anda juga boleh membuat tempahan di atas talian dengan hanya klik pada pautan berikut https://riverside.wtckl.com/.
Fasiliti Ketika Di Bufet Ramadan WTCKL 2025
Apa yang menarik lagi, WTCKL turut menyediakan kemudahan ruang solat yang besar dan selesa di Surau Ar-Rahman, lengkap dengan sejadah, kemudahan wuduk serta Imam yang mengetuai solat Jemaah bagi waktu Maghrib, Isyak dan Tarawih.
Sebagai kemudahan tambahan, caj tempat letak kereta semasa bulan Ramadan dikenakan pada kadar rata RM5 (flat rate) untuk kemasukan selepas jam 5 petang.

Anda yang memandu kereta elektrik atau EV, di WTCKL turut menampilkan dua port pengecasan di tempat letak kereta di aras 1.
Komitmen ESG WTCKL
Eksklusif pada Ramadan ini, WTCKL turut komited dalam melaksanakan kempen ESG dengan menyediakan ‘Tiffin Carrier’ WTCKL berharga RM59 untuk tiffin 3 tingkat dengan saiz dimensi 12cm manakala saiz besar berdimensi 16cm pada harga RM79 – terdapat tiga pilihan corak eksklusif yang disediakan, iaitu Generic series, Ramadan series dan Batik series.
Dan pada tahun ini, mereka turut memperkenalkan koleksi edisi terhad yang direka yang juga bersaiz 12cm pada harga RM79 sahaja.
Dengan pembelian tiffin, tetamu boleh membawa pulang makanan di bufet ramadan kami selepas waktu berbuka puasa, dan menikmati hidangan makan malam bufet Ramadan yang lazat di rumah untuk bersahur.