Cara Penjagaan Pakaian Wul Supaya Kekal Cantik Dan Tahan Lama
Lina Rosli
Bagi anda yang gemar memakai jaket ataupun pakaian yang diperbuat daripada gentian wul, pasti sering mempunyai kesukaran dalam memastikan ia kekal dalam keadaan terbaik.
Ini kerana kaedah dan juga cara pencucian yang betul sangat penting. Jika anda mencuci pakaian wul menggunakan mesin basuh – mencucinya bersama pakaian lain menggunakan air panas, kemungkinan besar pakaian ini akan mengecut dan tidak boleh digunakan lagi.
Oleh itu, hari ini Tajria akan berkongsi kepada anda panduan atau tips bagaimana cara mencuci pakaian wul menggunakan mesin basuh – tanpa merosakkan kualiti pakaian.

Tips Mencuci Pakaian Wul Menggunakan Mesin Basuh
Langkah pertama ialah memeriksa label penjagaan pada pakaian. Pastikan ia selamat untuk dicuci menggunakan mesin basuh. Jika selamat, anda boleh ikuti langkah berikut:
- Bersihkan kotoran terlebih dahulu. Sapukan pencuci khas untuk kain wul pada bahagian yang terkena kotoran. Biarkan ia seketika sebelum membilas dengan kain lembap.
- Balikkan jaket bahagian dalam menghadap luar dan masukkan ke dalam beg mesh untuk melindunginya daripada rosak semasa proses pencucian.
- Pilih tetapan yang sesuai. Gunakan air sejuk dan pilih tetapan “wool” atau “gentle cycle” pada mesin basuh anda.
- Gunakan pembersih pakaian yang lembut. Tambahkan pencuci khas untuk kain wul yang digunakan tadi. Elakkan daripada menggunakan pembersih biasa yang mungkin merosakkan serat kain.
- Setelah pencucian selesai, keluarkan jaket dari beg mesh untuk mengelakkan kedutan.

Cara Mencuci Pakaian Wul Menggunakan Tangan:
Jika label penjagaan menunjukkan bahawa pakaian perlu dicuci tangan, berikut adalah caranya:
- Sama seperti pencucian mesin, gunakan pencuci wul khas dan bilasnya dengan kain lembap.
- Isikan baldi dengan air sejuk. Tambah sedikit pencuci khas untuk wul dan masukkan jaket yang kotor ke dalam baldi.
- Balikkan jaket dan rendam sepenuhnya ke dalam air. Gerakkan perlahan-lahan untuk mencuci tanpa merosakkan serat.
- Akhir sekali, bilas dengan air bersih – lakukan sehingga tiada sisa sabun.

Harus diingatkan, jangan sekali-kali anda mengeringkan pakaian jenis wul menggunakan pengering pakaian kerana haba yang panas akan menyebabkan ia mengecut. Sebaliknya, anda hanya perlu buang air lebihan tanpa memerah air pada pakaian. Kemudian, letakkan pakaian ini di atas rak pengering dalam posisi mendatar. Pastikan ia tidak tergantung untuk mengelakkan ia meregang.