10 Barang Yang Tidak Patut Disimpan Dalam Kereta Anda

January 23, 2025
Tips

Lina Rosli

Kereta sering dianggap sebagai ruang penyimpanan tambahan yang mudah, terutama bagi mereka yang selalu sibuk atau banyak bergerak. Namun tahukah anda bahawa tidak semua barang sesuai ditinggalkan dalam kenderaan anda?

Faktor seperti suhu panas yang melampau, keselamatan dan risiko kerosakan boleh menjadikan tindakan ini berbahaya – malah ada kalanya mendatangkan kos tambahan yang tidak dijangka.

Sebagai contoh, cuaca panas boleh menyebabkan beberapa jenis barang menjadi rosak, mencair atau dalam kes yang lebih berbahaya – meletup. Selain itu, menyimpan barang tertentu juga boleh menarik perhatian pencuri, sekaligus meningkatkan risiko kecurian dan samun.

Sama ada anda seorang pemandu harian atau hanya menggunakan kereta sekali-sekala, adalah penting untuk tahu apa yang sebaiknya dielakkan daripada disimpan dalam kereta.

Jadi, sebelum anda jadikan kereta sebagai stor bergerak, pastikan anda tidak meninggalkan barang-barang berikut yang boleh merosakkan kereta, menjejaskan kesihatan atau membahayakan keselamatan anda. Berikut adalah 10 jenis barang yang patut anda elakkan daripada menyimpan dalam kereta, menurut pakar.

#1 Baucar Dan Resit

Menyimpan resit atau baucar yang telah tamat tempoh hanya akan menambah kekotoran sekaligus menjadikan kereta tampak bersepah dan tidak kemas. Untuk mengurangkan perkara ini, anda boleh simpan dokumen penting dalam dompet kecil atau pouch lutsinar yang diletakkan di ruang konsol tengah untuk kekemasan.

#2 Botol Air Plastik

Botol air plastik mudah memenuhi ruang pemegang cawan atau jika terlalu banyak dan tidak disimpan dengan baik, ia mungkin akan dibiarkan bergolek di lantai.

Oleh itu, lebih baik untuk gunakan botol air yang boleh diisi semula dan elakkan pembaziran. Selain itu juga, botol air plastik yang terdedah kepada suhu panas dalam kereta boleh menyebabkan bahan kimia berbahaya seperti BPA meresap ke dalam air, menjadikannya kurang selamat untuk diminum.

Oleh itu, menggunakan botol air tahan panas atau berbahan keluli tahan karat adalah pilihan yang lebih baik dan mesra alam. Selain mengurangkan pencemaran plastik, ia juga lebih tahan lama dan menjimatkan.

Jika anda sering membawa minuman dalam kereta, pastikan ia disimpan dengan rapi di tempat yang stabil seperti pemegang cawan. Langkah ini bukan sahaja memastikan kebersihan kenderaan anda tetapi juga mengelakkan risiko tumpahan yang boleh merosakkan bahagian dalaman kereta.

#3 Duit Syiling

Selain menjadi tempat pembiakan bakteria, syiling yang dibiarkan berselerak dalam kereta juga boleh menimbulkan kesukaran jika anda memerlukan ruang untuk barang lain. Tambahan pula, syiling yang bertaburan di tempat yang mudah terlihat mungkin menarik perhatian pencuri, walaupun nilainya kecil.

Daripada membiarkannya terkumpul, gunakan syiling tersebut untuk hal-hal praktikal lain atau tukarkannya terus di mesin pertukaran wang yang tersedia di kawasan anda. Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan selerak tetapi juga menjadikan perjalanan anda lebih teratur dan bebas bakteria.

#4 Kosmetik Dan Losyen

Barang seperti losyen dan pelembap bibir mudah rosak apabila terdedah kepada suhu melampau. Ini boleh mengurangkan keberkesanan produk atau menyebabkannya berbau kurang menyenangkan.

Selain itu, haba dalam kereta yang tertutup boleh menyebabkan tekstur losyen atau pelembap bibir berubah, seperti mencair atau menjadi terlalu pekat, sekaligus menjadikannya sukar digunakan. Produk ini juga mungkin kehilangan nutrisi atau bahan aktif penting, menjadikannya kurang berkesan dalam melindungi dan melembapkan kulit anda.

Untuk mengelakkan kerosakan, pastikan anda menyimpan produk kecantikan ini di tempat yang sejuk dan jauh daripada pendedahan langsung cahaya matahari. Sebaiknya, bawa ia bersama anda atau simpan di dalam beg tangan supaya ia sentiasa dalam keadaan baik dan selamat digunakan bila-bila masa diperlukan.

#5 Peralatan Aktiviti Luar

Meninggalkan peralatan lasak seperti khemah atau beg hiking di dalam trunk kereta bukan sahaja memakan ruang tetapi juga boleh menyebabkan ia cepat rosak akibat haba dan kelembapan. Selain itu, beban berlebihan di trunk boleh meningkatkan penggunaan bahan api – menjadikan pemanduan anda kurang efisien.

Sebagai alternatif, simpan peralatan tersebut di rumah atau di tempat penyimpanan khas yang lebih sesuai. Trunk kereta sebaiknya digunakan untuk barang keperluan kecemasan seperti kit kecemasan, atau peralatan asas kenderaan. Dengan cara ini, ruang dalam kereta anda akan lebih teratur, dan peralatan lasak anda juga dapat bertahan lebih lama untuk pengembaraan seterusnya.

#6 Beg Kitar Semula Berlebihan

Tote bag sememangnya sangat praktikal untuk pelbagai kegunaan, terutamanya ketika membeli-belah. Namun, membawa terlalu banyak dalam kereta boleh menyebabkan ruang menjadi sempit dan kelihatan bersepah. Selain itu, tote bag yang dibiarkan terlalu lama dalam kereta, terutamanya dalam suhu panas, boleh menyebabkan bahan seperti kain atau plastik menjadi rosak dan lusuh lebih cepat.

Sebaliknya, simpan satu atau dua tote bag di kereta untuk kegunaan harian, dan selebihnya boleh disimpan di rumah.

Jika anda mendapati ada tote bag yang jarang digunakan, pertimbangkan untuk menyumbangkannya kepada badan kebajikan atau komuniti setempat yang memerlukan.

#7 Pakaian Gim Dan Kasut Sukan

Meninggalkan pakaian dan kasut berpeluh dalam kereta selepas bersenam bukan sahaja boleh menyebabkan bau busuk yang sukar dihilangkan, tetapi juga meningkatkan risiko pertumbuhan bakteria dan kulat akibat kelembapan. Keadaan ini bukan sahaja tidak menyenangkan tetapi juga boleh memberi kesan kepada kesihatan anda, terutamanya jika spora kulat tersebar di udara dalam kereta.

Sebagai langkah pencegahan, segera keluarkan pakaian dan kasut berpeluh selepas bersenam. Basuh pakaian tersebut secepat mungkin dan biarkan kasut anda kering di tempat yang mempunyai pengudaraan baik. Jika perlu, sediakan beg khas untuk menyimpan pakaian dan kasut yang digunakan agar bau dan kelembapan tidak tersebar ke bahagian lain dalam kereta. Dengan ini, kereta anda akan kekal bersih dan bebas bau tidak menyenangkan.

#8 Komputer Riba

Menyimpan laptop dalam kereta bukan sahaja meningkatkan risiko kecurian, tetapi juga boleh merosakkan komponen dalaman peranti akibat suhu melampau. Suhu yang terlalu panas boleh menyebabkan kerosakan kepada bateri, skrin, atau memori, sementara suhu yang terlalu sejuk pula boleh menyebabkan sistem menjadi tidak stabil.

Jika anda terpaksa meninggalkan laptop dalam kereta, pastikan ia disimpan dalam beg berpenebat yang dapat melindungi peranti daripada suhu ekstrem. Elakkan meletakkannya di tempat yang terdedah kepada cahaya matahari langsung, seperti di atas kerusi atau dashboard. Lebih baik jika laptop dibawa bersama anda atau disimpan di tempat yang lebih selamat dan sejuk untuk mengelakkan kerosakan yang tidak diingini.

#9 Barang Kecemasan Berlebihan

Walaupun bersedia dengan peralatan kecemasan adalah langkah yang bijak, membawa terlalu banyak barang dalam kereta boleh menyebabkan ruang menjadi sempit dan sukar diurus.

Sebagai alternatif, simpan hanya peralatan yang benar-benar diperlukan mengikut keperluan perjalanan anda. Contohnya, jika perjalanan anda adalah di sekitar jalan yang berbukit dan banyak lubang, pastikan anda mempunyai kit pertolongan cemas dan alatan untuk mengendalikan masalah kecil seperti tayar bocor. Dengan cara ini, kereta anda lebih teratur dan ruang dalamnya lebih efisien.

#10 Payung Yang Berlebihan

Menyimpan payung yang berlebihan dalam kereta mungkin tampak seperti langkah berjaga-jaga, tetapi ia sebenarnya boleh mengganggu ruang dan menyebabkan kereta kelihatan tidak kemas.

Selain itu, payung yang dibiarkan dalam kereta terlalu lama boleh rosak akibat pendedahan kepada suhu tinggi atau kelembapan, menjadikannya mudah berkarat atau mudah pecah.

Jadinya, lebih baik anda simpan satu atau dua payung sahaja dalam kereta untuk kegunaan kecemasan, terutamanya apabila cuaca sukar diramal. Pastikan ia disimpan di tempat yang mudah diakses, seperti dalam ruang penyimpanan yang sesuai atau pemegang payung di pintu.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd