Minuman Panas Atau Sejuk? Mana Lebih Baik Untuk Badan Anda Ketika Cuaca Panas?
Lina Rosli
Secara umumnya, berada di dalam cuaca panas sering membuatkan kita rasa cepat letih dan dahaga. Kebanyakan daripada kita pasti lebih cenderung memilih minuman sejuk untuk menyejukkan badan. Namun, tahukah anda bahawa minuman panas juga boleh memberikan manfaat tersendiri, walaupun ketika suhu di luar mencecah 35°C?
Menurut kajian, keputusan untuk memilih minuman panas atau sejuk sebenarnya bergantung kepada bagaimana badan anda bertindak balas terhadap suhu tersebut. Hal ini kerana, kedua-duanya menawarkan kebaikan yang tersendiri, bergantung kepada situasi dan keperluan yang mana ia sesuai untuk diminum.

Kebaikan Minuman Sejuk Ketika Cuaca Panas
Sekiranya anda memilih untuk mendapatkan minuman sejuk dan berais ketika cuaca panas, ini sememangnya membantu memberikan rasa lega yang cepat, terutama selepas terdedah kepada suhu yang tinggi di luar bangunan.
Malah, ia turut memberikan beberapa kebaikan yang lain, termasuk:
#1 Memberikan Kelegaan Segera
Minuman sejuk jelas memberikan rasa segar yang segera, terutama jika anda baru selesai melakukan aktiviti luar seperti bersenam atau bekerja di bawah matahari. Ia membantu menurunkan suhu dalaman badan dengan lebih cepat.

#2 Membantu Mengurangkan Keletihan
Apabila badan kita panas, minuman sejuk seperti jus buah atau air kosong boleh membantu mengembalikan tenaga yang hilang. Tambahan pula, air sejuk lebih mudah diterima badan kerana ia membantu menstabilkan suhu dalaman yang meningkat.
#3 Menghidrat Badan Dengan Efektif
Air sejuk biasanya lebih menggoda untuk diminum berbanding air suam, jadi kita lebih cenderung minum dalam kuantiti yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi.
Kebaikan Minuman Panas Ketika Cuaca Panas
Namun, sekiranya anda menikmati air suam ketika cuaca panas pula, ia akan:
- Meningkatkan Proses Penyejukan Badan – Walaupun kelihatan bertentangan, minuman panas sebenarnya boleh membantu badan menyejukkan diri dengan lebih baik. Apabila anda minum sesuatu yang panas, ia merangsang peluh yang kemudian akan menyejukkan kulit apabila ia tersejat.
- Mengelakkan ‘Shock‘ Suhu – Bagi sesetengah orang, minuman sejuk boleh menyebabkan kejutan suhu pada badan, terutama jika mereka berada di dalam ruang yang terlalu panas. Oleh itu, ramai dalam kalangan individu yang akan mengambil minuman panas kerana ia lebih lembut untuk sistem tubuh di dalam situasi ini.
- Menenangkan Sistem Pencernaan – Minuman panas, seperti teh atau air herba, juga membantu melancarkan pencernaan dan memberikan kesan menenangkan. Ini berguna jika anda berasa kembung akibat cuaca panas.

Mana Satu Pilihan Terbaik?
Keputusan sama ada untuk memilih minuman panas atau sejuk bergantung kepada keperluan badan anda. Jika anda ingin rasa segar dengan segera, minuman sejuk adalah pilihan terbaik. Namun, jika anda berada di tempat yang terlalu panas dan memerlukan badan menyesuaikan suhu secara perlahan-lahan, minuman panas mungkin lebih sesuai.
Apa pun pilihan anda, pastikan anda terus kekal hidrasi sepanjang hari, terutamanya ketika cuaca panas. Minum air kosong adalah yang terbaik untuk memastikan badan anda mendapat cecair yang mencukupi tanpa tambahan gula atau kalori.