Ini 5 Ciri Menarik Yang Ada Pada Siri Samsung Galaxy S25

January 23, 2025
Gajet Dan Teknologi

Lina Rosli

Samsung baru-baru ini melancarkan siri Galaxy S25, yang dilengkapi dengan teknologi terkini untuk memberikan pengalaman yang lebih canggih dan disesuaikan kepada penggunanya.

Dari prestasi AI yang mengagumkan hingga kamera yang mengubah cara anda mengambil gambar, berikut adalah lima ciri menarik yang ada pada siri Samsung Galaxy S25 yang pasti akan memikat hati anda.

#1 Kamera 200MP Untuk Fotografi Profesional

Jika anda seorang peminat fotografi, Samsung Galaxy S25 pasti akan memikat anda dengan keupayaan kameranya. Samsung Galaxy S25 Ultra, khususnya, dilengkapi dengan kamera utama 200MP yang menyediakan kualiti imej yang luar biasa.

Dilengkapi dengan teknologi ProVisual Engine dan HDR 10-bit, Galaxy S25 memastikan setiap gambar yang diambil kelihatan jelas, tajam dan terang. Tidak kira dalam pencahayaan yang rendah sekalipun, kualiti gambar yang dihasilkan tetap memukau. Selain itu, video yang diambil menggunakan Galaxy S25 juga lebih jelas dan stabil, walaupun dalam pergerakan pantas.

#2 Galaxy AI Lebih Pintar

Salah satu ciri utama pada siri Galaxy S25 ialah kemampuan kecerdasan buatan (AI) yang lebih cerdas dan bijak.

Menurut Samsung, untuk siri kali ini, teknologi kecerdasan buatan yang ditawarkan bukan sahaja memahami konteks dan keperluan pengguna, tetapi juga mengendalikan pelbagai jenis input seperti teks, suara, imej dan video.

Dengan ini, ia membolehkan pengguna berinteraksi dengan peranti mereka secara lebih semula jadi dan intuitif. Contohnya, dengan ciri Circle to Search, pengguna boleh mencari maklumat dengan pantas, selain terdapat juga ciri pintar lain seperti Photo Assist, Drawing Assist, Audio Eraser dan banyak lagi.

#3 Prestasi Luar Biasa dengan Snapdragon 8 Elite for Galaxy

Galaxy S25 menggunakan cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy yang direka khas untuk memberikan prestasi yang lebih tinggi. Cip ini menawarkan peningkatan prestasi yang ketara iaitu 40% lebih pantas dalam NPU (Unit Pemprosesan Neural), 37% lebih pantas dalam CPU, dan 30% lebih pantas dalam GPU berbanding generasi sebelumnya.

Ini membolehkan pengguna menikmati pengalaman yang lebih lancar, terutamanya dalam permainan mudah alih, pengeditan foto, dan pengendalian aplikasi berintensifkan AI.

#4 Reka Bentuk Mewah Dan Tahan Lasak

Tidak hanya fokus kepada prestasi, Samsung Galaxy S25 juga menawarkan reka bentuk yang elegan dan premium. Galaxy S25 Ultra dilengkapi dengan bahan titanium yang tahan lasak dan kaca Corning Gorilla Armor 2, menjadikannya lebih tahan terhadap calar dan kejutan.

Reka bentuk yang nipis dan ringan memberikan rasa selesa ketika digenggam, sementara penampilan premium memberikan nilai estetika yang tinggi. Selain itu, setiap model dalam siri Galaxy S25 menggunakan sekurang-kurangnya 50% kobalt yang dikitar semula dalam baterinya, menjadikannya lebih mesra alam.

#5 Ciri Privasi Dan Keselamatan yang Dipertingkatkan

Selepas memfokuskan kepada privasi dan keselamatan pada Samsung Galaxy A, kali ini Samsung menampilkannya pada Samsung Galaxy S25 – memperkenalkan sistem keselamatan yang dipertingkatkan melalui Knox Vault dan Personal Data Engine.

Dengan ini, semua data peribadi pengguna diproses dan disimpan dengan selamat dalam peranti, memastikan maklumat anda kekal terjamin. Tambahan pula, perlindungan kriptografi pasca-kuantum memberikan jaminan keselamatan terhadap ancaman yang mungkin timbul seiring dengan perkembangan pengkomputeran kuantum di masa hadapan.

Secara keseluruhan, siri Samsung Galaxy S25 bukan sahaja mengubah cara kita berinteraksi dengan teknologi, tetapi juga membawa pengalaman pengguna ke tahap yang lebih tinggi dengan prestasi yang baik, ciri keselamatan yang dipertingkatkan dan reka bentuk yang bergaya.

Jika anda mencari telefon pintar yang boleh memenuhi keperluan harian anda dengan lebih pintar, Galaxy S25 pasti pilihan yang tepat.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd