Fesyen sering dikatakan sebagai roda yang berputar – apa yang pernah dianggap ketinggalan zaman akan kembali menjadi trend. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita melihat kebangkitan beberapa gaya yang pernah popular satu ketika dahulu, menjadi sohor kini pada tahun 2025.
Dan antara gaya yang mula popular pada tahun ini adalah kembalinya trend tudung dengan manik dan juga warna ombre. Dengan kehadiran dan kebangkitan semula gaya ini, adakah ini menunjukkan dunia fesyen terlalu bergantung pada nostalgia?
Persoalannya, Benarkah Dunia Fesyen Terlalu Bergantung Pada Nostalgia?
Satu perkara yang pasti, nostalgia menawarkan satu perasaan familiar yang selesa, terutama dalam dunia yang semakin tidak menentu. Dan semestinya, dengan mengembalikan semula fesyen lama, ia menjadi satu cara untuk menghidupkan semula memori gembira atau identiti yang pernah mereka miliki.
Misalnya, gaya mom jeans, kemeja flanel dan kasut platform bukan sahaja membangkitkan kenangan tetapi juga memberikan peluang kepada generasi baru untuk merasai semangat era terdahulu.


Namun, adakah ini bermakna dunia fesyen kekurangan idea baharu? Bagi sesetengah pihak, kebergantungan kepada fesyen lama mungkin menunjukkan kurangnya inovasi. Trend seperti ‘Y2K’, ‘IT Girl’ dan ‘vintage revival’ menjadi bukti bagaimana jenama-jenama besar mengambil jalan selamat dengan mengitar semula apa yang sudah terbukti berjaya.

Namun, ada juga sisi positifnya yang mana fesyen nostalgia memberi peluang kepada kitar semula dan kelestarian, terutama dengan trend membeli pakaian terpakai atau ‘thrift’. Ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran, tetapi juga menggalakkan pengguna menjadi lebih bijak dalam memilih pakaian berkualiti yang mampu bertahan lama.
Tetapi sebenarnya, masih ada jenama fesyen yang tidak terlalu bergantung pada nostalgia dan lebih menumpukan pada inovasi serta gaya moden yang segar. Jenama-jenama ini sering kali berfokus pada eksperimen dengan reka bentuk baru, teknologi bahan dan pendekatan yang lebih futuristik.

Mereka cenderung untuk menetapkan trend daripada mengikutinya, serta mencari cara baru untuk menarik perhatian pengguna, tanpa perlu merujuk atau menghidupkan kembali elemen fesyen dari era sebelumnya.
Jenama seperti UNIQLO, H&M dan MUJI juga memilih untuk berfokus pada reka bentuk minimalis dan keberlanjutan, tanpa terlalu memberi tumpuan kepada elemen-elemen fesyen masa lalu. Mereka cenderung untuk merancang pakaian yang praktikal dan mudah digayakan untuk kehidupan seharian.

Kesan Fesyen Nostalgia Terhadap Industri
Bergantung pada nostalgia boleh membawa beberapa kesan penting kepada industri fesyen. Dari satu sudut, ia membuka peluang besar bagi jenama untuk menarik perhatian pembeli yang menyukai “keaslian” atau “keunikan” gaya tertentu.
Jenama mewah seperti Gucci dan Chanel telah menggunakan unsur-unsur fesyen retro dalam koleksi mereka, dengan harapan untuk mencipta ‘cult following’ atau memanfaatkan kesan sentimental terhadap pembeli mereka.
Dan harus diingatkan, ketika jenama-jenama besar lebih suka mengulang apa yang sudah dikenali dan selamat, ia mungkin akan merugikan mereka yang mencari kelainan atau inovasi dalam pasaran fesyen.

Kesan Jangka Panjang Dan Tempoh Kebangkitan Trend
Memandangkan dunia fesyen kini lebih pantas bergerak dan sering dipengaruhi oleh media sosial, kita mungkin akan melihat trend fesyen nostalgia terus berkembang dengan lebih cepat. Ia bukan hanya tentang kembali kepada pakaian lama, tetapi juga bagaimana ia ditambahbaik dalam bentuk baru – melalui kolaborasi dengan budaya pop dan generasi pempengaruh.
Namun, kita juga mungkin akan melihat suatu peralihan di mana generasi akan mula mencari sesuatu yang lebih autentik atau asli – yang mungkin untuk melepaskan diri dari kebergantungan terhadap masa lalu dan mencipta sesuatu yang benar-benar unik.

Untuk pengetahuan anda juga, trend fesyen biasanya berulang mengikut kitaran tertentu. Secara umumnya, sesuatu fesyen mula muncul semula sekitar 10 hingga 20 tahun selepas era tertentu. Jadi, jika kita melihat pada trend fesyen 90-an yang popular sekitar tahun 2020-an, kita dapat mengaitkan masa kebangkitan trend dengan waktu yang lebih kurang sama dalam kitaran fesyen.
- Awal Tanda Kebangkitan (1-2 tahun sebelum kemunculan utama): Trend muncul secara perlahan melalui media sosial dan dalam kalangan kumpulan kecil (kebiasaanya dipopularkan oleh pempengaruh).
- Fasa Kebangkitan (2-3 tahun): Trend mula diperkenalkan oleh jenama utama dan digunakan oleh selebriti. Ini adalah waktu di mana jenama besar melancarkan koleksi berdasarkan gaya tersebut.
- Konsolidasi (3-5 tahun): Trend mencapai puncaknya apabila diterima secara luas di pasaran, dengan banyak jenama utama mengeluarkan produk yang berasaskan trend tersebut.
Jadi, walaupun nostalgia mempunyai pengaruh yang kuat, dunia fesyen perlu terus menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan keperluan pengguna yang sentiasa berubah. Tanpa inovasi yang berterusan, fesyen mungkin akan menjadi stagnan dan kehilangan daya tarikannya.