Artritis Reumatoid – Penyakit Ini Tidak Hanya Dialami Oleh Orang Tua

January 24, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Ramai yang beranggapan bahawa sakit sendi adalah sebahagian daripada proses penuaan. Namun, artritis reumatoid (RA) bukanlah sekadar masalah orang tua. Penyakit autoimun ini boleh menyerang sesiapa sahaja, tidak kira usia, dan memberi kesan mendalam kepada kehidupan harian.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 18 juta orang di seluruh dunia hidup dengan RA, menjadikannya isu kesihatan global yang memerlukan perhatian.

Apakah Itu Artritis Reumatoid (RA)?

Di Malaysia, Artritis Reumatoid (RA) menjejaskan 5 daripada setiap 1,000 orang yang mengalaminya. Walaupun prevalensinya agak tinggi, kesedaran tentang RA masih rendah.

Menurut Dr. Cheah Chee Ken, Pakar Perunding Rheumatologi di Pusat Perubatan Sunway (SMC), menjelaskan bahawa hanya 20% individu yang mengalami penyakit muskuloskeletal kronik mendapatkan bantuan perubatan.

Artritis Reumatoid berlaku apabila sistem imun tubuh menyerang sendi, menyebabkan keradangan pada lapisan sendi (sinovium). Gejala RA yang biasa dialami termasuklah sakit sendi, bengkak dan kekejangan terutamanya pada waktu pagi.

Siapa Yang Berisiko Mengalami Artritis Reumatoid?

Artritis Reumatoid sering berlaku dalam kalanagan wanita, dengan risiko dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki. Faktor risiko lain termasuk:

  • Genetik – Sejarah keluarga meningkatkan kemungkinan mendapat RA.
  • Gaya hidup – Merokok, obesiti dan kebersihan mulut yang buruk turut menyumbang kepada risiko.
  • Usia – Walaupun boleh menyerang pada semua peringkat umur, RA paling kerap berlaku dalam kalangan mereka yang berusia 30 hingga 50 tahun.

Kesan Artritis Reumatoid Terhadap Kehidupan Harian

Artritis Reumatoid bukan sahaja menjejaskan fizikal, tetapi juga emosi dan kewangan pesakit serta keluarga mereka.

Hal ini kerana pengurusan RA memerlukan rawatan berterusan, termasuk ubat-ubatan, terapi fizikal, dan dalam kes tertentu, pembedahan adalah salah satu penyelesaian yang mungkin perlu dipertimbangkan.

Untuk pengetahuan anda juga, ketidaktentuan penyakit ini turut boleh menyebabkan serangan secara tiba-tiba (flare-up) – yang akan membawa kepada kebimbangan atau kemurungan. Jadinya, sokongan emosi adalah penting dan kumpulan seperti Persatuan Artritis Malaysia (AFM) menyediakan ruang untuk pesakit berkongsi pengalaman dan mendapatkan nasihat.

Mitos Dan Fakta Mengenai Artritis Reumatoid

Terdapat banyak salah faham mengenai RA. Contohnya, ramai percaya bahawa cuaca sejuk boleh memburukkan keadaan RA, walaupun tiada bukti saintifik menyokong dakwaan ini.

Ada juga pesakit yang beralih kepada perubatan alternatif kerana khuatir tentang kesan sampingan ubat moden, yang akhirnya melambatkan rawatan yang sepatutnya.

Dr. Cheah menekankan bahawa rawatan awal sangat penting. Pesakit yang didiagnosis dalam tempoh kritikal tiga hingga enam bulan selepas gejala bermula berpotensi mencapai remisi.

Langkah Diagnosis Dan Rawatan

Diagnosis Artritis Reumatoid adalah mencabar kerana gejalanya menyerupai banyak penyakit lain. Untuk memastikan ketepatan, doktor akan menggabungkan sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal dan ujian pengimejan seperti ultrasound.

Untuk pengetahuan anda juga, rawatan RA bergantung kepada peringkat penyakit. Ubat-ubatan seperti DMARDs (Disease-Modifying Anti-Rheumatic Drugs) sering digunakan untuk mengawal keradangan dan menghalang kerosakan sendi. Terapi lanjutan seperti DMARDs biologi menawarkan hasil yang lebih baik untuk pesakit yang tidak bertindak balas kepada rawatan awal.

Harus diingatkan bahawa Artritis reumatoid adalah penyakit yang serius, namun ia boleh diurus dengan rawatan yang tepat. Usaha meningkatkan kesedaran adalah penting untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia memahami penyakit ini dan mendapatkan rawatan awal.

Jika anda atau orang tersayang mengalami gejala yang mencurigakan, jangan berlengah untuk mendapatkan nasihat pakar.

Di Sunway Medical Centre, terdapat pakar seperti Dr. Cheah Chee Ken yang sentiasa bersedia untuk membantu anda memahami dan menguruskan RA dengan lebih baik. Kesihatan adalah aset paling berharga, dan penjagaan awal adalah langkah pertama ke arah kehidupan yang lebih baik.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd