Karpet Rumah Sudah Lama? Ini 5 Tanda Mengapa Anda Perlu Menukar Karpet Baharu

January 31, 2025
Tips

Lina Rosli

Karpet yang gebu dan bersih boleh memberikan keselesaan dan kehangatan kepada ruang rumah. Dan jika ia sudah lama tidak ditukar, semestinya ia akan mengalami kehausan yang membuatkannya kelihatan kusam dan tidak selesa untuk digunakan.

Jika anda tertanya-tanya bila masa yang sesuai untuk menukar karpet, berikut adalah lima tanda yang menunjukkan sudah tiba masanya untuk mendapatkan yang baru.

#1 Usia Karpet Melebihi 10 Tahun

Secara purata, karpet boleh bertahan antara 5 hingga 15 tahun bergantung pada kualiti bahan dan penjagaan yang diberikan. Jika karpet anda sudah melebihi satu dekad dan menunjukkan tanda-tanda kehausan, mungkin sudah tiba masa untuk mempertimbangkan penggantian.

Karpet yang tahan lama biasanya diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi seperti nilon, bulu asli atau polipropilena. Karpet nilon terkenal dengan ketahanannya terhadap tekanan, kotoran dan kelembapan, menjadikannya pilihan terbaik untuk kawasan bertrafik tinggi seperti ruang tamu dan pejabat. Ia juga mudah dibersihkan serta mengekalkan bentuk asalnya dalam jangka masa yang panjang.

Selain bahan, ketahanan karpet juga bergantung kepada teknik tenunannya. Karpet berbulu gelung (loop pile) seperti karpet Berber sangat tahan lasak kerana seratnya tidak mudah terurai atau terhimpit. Karpet tenunan tangan (hand-tufted atau hand-knotted) juga lebih tahan lama berbanding karpet yang dihasilkan secara mesin.

#2 Serat Karpet Sudah Haus Atau Terkoyak

Serat karpet yang semakin fray atau terkoyak boleh menyebabkan karpet kelihatan lusuh. Walaupun tampalan boleh menjadi penyelesaian sementara, jika kerosakan semakin ketara, penggantian adalah pilihan terbaik.

Untuk pengetahuan anda, serat karpet boleh rosak disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk kotoran, kelembapan dan tekanan berlebihan. Habuk dan serpihan kecil yang terkumpul di dalam karpet bertindak seperti bahan kasar yang boleh menghakis serat dari dalam, menyebabkan kehausan lebih cepat.

Kelembapan yang berlebihan, sama ada akibat tumpahan cecair atau kelembapan udara yang tinggi, juga boleh menyebabkan pertumbuhan kulat dan bakteria, yang bukan sahaja merosakkan serat tetapi juga menimbulkan bau yang kurang menyenangkan.

Harus diingatkan juga, penggunaan bahan pencuci yang terlalu kuat atau tidak sesuai serta membiarkan karpet terdedah kepada sinaran matahari secara langsung juga boleh mengalami pudar warna dan kelemahan pada serat akibat degradasi UV.

#3 Menyebabkan Alergi Semakin Teruk

Jika anda atau ahli keluarga mengalami alahan yang semakin kerap, mungkin karpet menjadi penyebabnya. Habuk, debu, dan alergen lain boleh terkumpul dalam serat karpet dari masa ke masa, dan walaupun pembersihan berkala dapat membantu, karpet lama sukar untuk benar-benar bersih.

#4 Bau Tidak Hilang Walaupun Sudah Dicuci

Karpet yang telah menyerap kelembapan atau bahan tumpahan tertentu boleh menyebabkan bau yang tidak menyenangkan. Jika bau masih kekal walaupun selepas beberapa kali dicuci, kemungkinan besar bau tersebut sudah meresap jauh ke dalam serat karpet dan padding di bawahnya.

Sisa makanan, kotoran dan minyak yang tertinggal di dalam serat karpet juga boleh menjadi punca bau yang kurang menyenangkan, terutamanya jika dibiarkan terlalu lama tanpa dibersihkan. Bukan itu sahaja, penggunaan bahan pencuci yang tidak dibilas dengan baik selepas mencuci karpet juga boleh menyebabkan sisa kimia tertinggal, yang lama-kelamaan menghasilkan bau yang tidak enak.

Oleh itu, penting untuk membersihkan karpet secara berkala dan memastikan ia dikeringkan sepenuhnya untuk mengelakkan bau yang tidak diingini.

#5 Noda Dan Kotoran Tidak Boleh Dihilangkan

Walaupun ada cara untuk menghilangkan kotoran pada karpet, lama-kelamaan noda yang terkumpul akan menjadi sukar untuk dibersihkan sepenuhnya. Jika karpet anda dipenuhi dengan kesan tumpahan yang sukar dihapuskan, mungkin sudah tiba masanya untuk menggantikannya.

Cara Memanjangkan Hayat Karpet

Sebelum anda menukar kepada karpet baru, adalah penting untuk mengetahui cara menjaga karpet agar tahan lebih lama. Berikut beberapa tip berguna:

  • Elakkan memakai kasut di atas karpet untuk mengurangkan kotoran dan habuk.
  • Lakukan pembersihan mendalam sekurang-kurangnya sekali setahun.
  • Gunakan vakum secara berkala untuk membuang habuk dan kotoran kecil.
  • Bersihkan tumpahan segera untuk mengelakkan kotoran kekal.
  • Gunakan lapisan padding berkualiti tinggi untuk memberikan perlindungan tambahan.
  • Letakkan karpet kecil di kawasan bertrafik tinggi bagi mengurangkan kehausan.

Menukar karpet bukan sekadar soal estetika, tetapi juga soal keselesaan dan kebersihan rumah anda. Jika anda mendapati mana-mana tanda di atas pada karpet anda, mungkin sudah tiba masanya untuk menaik taraf ke karpet baru yang lebih selesa dan tahan lama.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd