Apa Beza Mi Sup, Mi Soto, Mi Celup, Mi Kolo, Mi Champa Dan Mi Tarik?
Lina Rosli
Kalau sebut mengenai mi, pasti ramai dalam kalangan anda yang akan membayangkan variasi jenis mi – ada yang berkuah dan ada juga yang bergoreng.
Dan untuk mi yang berkuah, antara jenis-jenis mi yang bermain di fikiran termasuklah mi sup, mi soto, mi celup, mi tarik, mi kolo dan mi champa. Tapi, tahukah anda bahawa setiap hidangan ini sebenarnya mempunyai karakter tersendiri yang buatkan dia istimewa?
Secara umumnya, untuk kesemua mi ini hadir dengan cara memasak yang berbeza. Malah, bahan yang digunakan juga adalah berbeza. Hasilnya, ia memberikan rasa yang unik – bertepatan dengan citarasa rakyat tempatan.

Oleh sebab itu, anda boleh lihat yang mana penawaran jenis mi berkuah ini mungkin ada di sesetengah kawasan, dan mungkin tiada di negeri berkenaan.
Sebagai contoh, untuk mi soto, anda mungkin akan banyak lihat di kawasan selatan Malaysia. Manakala, mi celup atau mi champa pula ditawarkan di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu. Dan di Sarawak pula, penduduk di sana menikmati hidangan mi kolo – atau turut dipanggil mi kolok.
Apa Beza Mi Sup, Mi Soto, Mi Celup, Mi Tarik, Mi Kolo Dan Mi Champa?
Berikut adalah beberapa perbezaan utama yang boleh anda lihat pada keenam-enam jenis mi dengan hidangan kuah ini:
#1 Mi Sup
Mi sup memang ada mi berkuah yang klasik. Ia dihidangkan dengan kuah sup yang ringan dan berasaskan air rebusan ayam atau daging. Kuahnya tidak pekat, tetapi mempunyai rasa yang cukup kaya.
Biasanya, mi ni disertakan dengan bahan-bahan seperti ayam, daging, sayur, dan tak lupa rempah-rempah ringan seperti halia dan bawang putih. Mi sup ni jadi pilihan bila nak sesuatu yang mudah dan menyegarkan.

Untuk pengetahuan anda juga, terdapat pelbagai variasi mi sup bergantung kepada tempat dan resipi, seperti mi sup utara yang lebih pedas, mi sup siam dengan pengaruh Thai, dan mi sup tulang yang lebih pekat dengan rebusan tulang lembu atau kambing.
#2 Mi Soto
Mi soto pula lebih berempah dan kuahnya lebih pekat berbanding mi sup. Biasanya, kuahnya dibuat dari ayam atau daging yang dimasak dengan rempah macam kunyit, serai dan daun salam.
Melengkapkan rasa mi soto adalah penambahan bahan lain seperti begedil, tauge, kacang tanah, suhun goreng dan potongan daging ayam atau lembu. Jika di Johor, mi soto ni biasanya dinikmati bersama sambal kicap. Dan selain mi, mereka turut menggunakan nasi impit sebagai pelengkap hidangan.

#3 Mi Celup
Secara umumnya, mi celup kelihatan hampir sama dengan mi sup. Idea asal untuk mi ini adalah konsep mi yang dicelup di dalam kuah yang panas. Dan apa yang membezakan dengan pilihan mi lain adalah anda boleh menghidangkan mi celup sama ada menggunakan kuah sup, kari atau lain-lain kuah yang panas.
Untuk pengetahuan anda, variasi mi celup yang paling popular adalah mi celup ala Thai. Kuahnya ada rasa yang lebih kompleks – gabungan pedas, masam dan sedikit manis, biasanya berasaskan sup daging atau ayam yang kaya dengan rempah seperti kulit kayu manis, bunga lawang dan serai.

Yang menarik, mi celup sering dihidangkan dengan hirisan daging, bebola, taugeh dan daun ketumbar, serta ditambah dengan cili jeruk atau sambal untuk yang sukakan rasa lebih pedas. Untuk mi cMi elup, ia biasanya popular di kawasan sempadan seperti Kelantan dan Perlis.
#4 Mi Kolo
Mi Kolo pula berasal dari Sarawak dan mempunyai identiti tersendiri yang berbeza daripada mi lain. Tidak seperti mi sup atau mi soto yang berkuah, mi kolo lebih kepada mi kering yang dicampur dengan sedikit minyak dan kicap untuk memberikan rasa yang kaya. Mi yang digunakan selalunya mi kuning yang kenyal tetapi tidak mengandungi bahan pengawet seperti mi kuning biasa.
Keunikan mi kolo terletak pada cara penyediaannya yang ringkas. Mi yang telah direbus akan digaul dengan minyak bawang putih, kicap cair, dan kadangkala sedikit kicap manis sebelum dihidangkan bersama hirisan daging atau ayam panggang. Hidangan ini turut dilengkapi dengan sup kosong di sebelah sebagai pelengkap rasa.

Berbanding dengan mi wantan yang sering disamakan dengannya, mi kolok tidak menggunakan kicap pekat dan lebih ringan dari segi rasa. Tekstur mi yang lembut tetapi tidak terlalu berminyak menjadikannya pilihan utama untuk sarapan atau makan tengah hari bagi penduduk Sarawak.
#5 Mi Tarik
Mi tarik merupakan hidangan Cina Muslim yang berasal dari China – khususnya dari wilayah seperti Lanzhou, dan dikenali kerana cara pembuatannya yang unik. Berbanding dengan mi biasa yang dipotong atau dibentuk menggunakan mesin, mi tarik dibuat dengan tangan melalui teknik menarik dan meregangkan doh hingga membentuk mi yang panjang dan kenyal.

Dari segi rasa, mi tarik selalunya dihidangkan dengan kuah sup yang kaya dengan perisa daging, terutama daging lembu. Kuahnya biasanya diperbuat daripada rebusan tulang bersama rempah seperti bunga lawang, kayu manis dan lada Sichuan, yang memberikan rasa yang mendalam. Hidangan ini juga sering ditambah dengan daging lembu yang dihiris nipis, sayur-sayuran hijau seperti daun bawang dan ketumbar, serta cili minyak untuk mereka yang sukakan kepedasan.
#6 Mi Champa
Dan, terakhir mi champa! Mi champa berasal dari Dungun, Terengganu, dan hidangan ni memang ada keistimewaannya sendiri. Berbeza dengan mi sup atau mi celup, mi champa menggunakan kuah sup yang kaya dengan rasa daging lembu kerana dibuat menggunakan hasil rebusan daging dan tulang.
Kuah Champa dilengkapi dengan bawang, lengkuas, kulit kayu manis, bunga lawang serta tambahan sotong kering yang memberikan rasa umami mendalam. Untuk melengkapkan rasa, mi champa juga menggunakan sos ikan, daun ketumbar, dan lada sulah atau lada hitam.

Biasanya, mi champa disajikan dengan bebola daging atau hirisan daging lembu yang empuk, menjadikannya pilihan yang cukup memuaskan bagi penggemar mi sup yang berperisa penuh.
Jadi, antara semua ni, mana satu yang jadi kegemaran anda? Mi sup dengan rasa ringan, mi soto yang berempah, mi celup yang variasi atau mi champa dengan sup bebola ikan yang unik? Apa pun pilihan anda, semua ni memang sedap dan wajib cuba,