e-kafé Oleh emart24 Kini Mula Menerima Pensijilan Halal JAKIM
Lina Rosli
e-kafé, jenama kafe untuk emart24 kini secara rasmi memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk dua cawangannya di Southville dan Vista Alam.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen emart24 dalam memastikan pengalaman makanan yang lebih selamat dan diyakini oleh pengguna Muslim di negara ini.
Untuk pengetahuan anda, emart24 mula bertapak di Malaysia sejak Jun 2021 dan kini telah berkembang pesat dengan telah membuka 84 buah outlet di sekitar Lembah Klang, Pantai Timur dan beberapa di negeri lain.
Dan menjelang Disember 2025, emart24 menyasarkan pembukaan sebanyak 150 cawangan di seluruh Malaysia.

Dalam usaha memperluaskan pensijilan halal ke seluruh rangkaian e-kafé, emart24 menyasarkan untuk mendapatkan sijil halal bagi 5 cawangan setiap bulan. Dengan pelan yang teratur, syarikat ini optimis bahawa semua cawangannya akan memperoleh pensijilan halal sepenuhnya menjelang tahun depan.



Pensijilan halal oleh JAKIM bukan sahaja memberi jaminan kepada pelanggan beragama Islam, tetapi juga membuka peluang yang lebih luas untuk menarik lebih ramai pelanggan yang mementingkan aspek kebersihan dan pematuhan kepada piawaian makanan yang ketat.
Seiring dengan perkembangan ini, emart24 terus memperkenalkan pelbagai inovasi dalam produk makanan dan minuman mereka bagi memenuhi citarasa pelanggan yang pelbagai. Dengan adanya pensijilan halal, pelanggan kini boleh menikmati hidangan dengan lebih yakin tanpa sebarang keraguan.