Kesan Jatuh Dalam Kalangan Warga Emas – Mengapa Ia Tidak Boleh Diabaikan?
Lina Rosli
Jatuh dalam kalangan warga emas bukan perkara kecil. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 684,000 kematian akibat jatuh berlaku setiap tahun di seluruh dunia. Malah, ia menjadi punca kedua utama kematian akibat kecederaan tidak sengaja selepas kemalangan jalan raya.
Lebih membimbangkan, warga emas berusia 60 tahun ke atas mencatat jumlah tertinggi dalam kes kematian akibat jatuh. Ini menunjukkan betapa pentingnya kesedaran dan langkah pencegahan untuk mengelakkan insiden ini daripada berlaku.

Mengapa Warga Emas Mudah Jatuh?
Apabila usia semakin meningkat, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada peningkatan risiko jatuh. Menurut Dr Edward Chong Kah Chun, Perunding Geriatrik di Pusat Perubatan Sunway, antara punca mengapa warga emas mudah jatuh termasuklah:
- kelemahan otot
- kehilangan deria
- Penyakit seperti demensia, artritis dan diabetes boleh menyebabkan keseimbangan badan terganggu.
Selain itu, faktor persekitaran juga memainkan peranan besar seperti lantai licin, pencahayaan yang kurang baik, dan permukaan yang tidak rata di rumah atau tempat awam boleh meningkatkan risiko jatuh dengan ketara.
Bukan itu sahaja, ubat-ubatan seperti antihipertensi (untuk tekanan darah tinggi) boleh menyebabkan pening atau ketidakseimbangan, sekaligus menjadikan warga emas lebih terdedah kepada risiko jatuh.
Kesan Jatuh – Bukan Sekadar Kecederaan Fizikal
Jatuh boleh memberi kesan serta-merta dan jangka panjang, daripada kecederaan kecil hinggalah komplikasi yang berbahaya. Kecederaan fizikal seperti patah tulang atau trauma kepala sering memerlukan rawatan perubatan segera. Namun begitu, ia bukan sahaja memberi kesan kepada kerosakan fizikal sahaja, bahkan menjejaskan emosi dan psikologi.

Ramai warga emas yang mengalami insiden ini akan mengalami ketakutan untuk bergerak (fear of falling – FOF) selepas jatuh – dan perkara secara tidak langsung menyebabkan mereka menjadi kurang aktif. Akibatnya, otot menjadi semakin lemah dan keseimbangan badan semakin berkurangan, menjadikan mereka lebih berisiko untuk jatuh lagi.
Dalam sesetengah kes, warga emas yang mengalami kecederaan serius mungkin kehilangan keupayaan untuk berdikari, menyebabkan mereka perlu berpindah ke pusat penjagaan, sekali gus menambah tekanan emosi dan kewangan kepada mereka dan ahli keluarga.
Cara Mencegah Jatuh – Dalam Kalangan Warga Emas
Mencegah lebih baik daripada merawat. Berikut adalah beberapa langkah penting untuk mengurangkan risiko jatuh dalam kalangan warga emas:
- Periksa Ubat Secara Berkala – Sesetengah ubat boleh menyebabkan pening atau ketidakseimbangan. Berbincanglah dengan doktor untuk memastikan ubat yang diambil selamat dan sesuai.
- Pastikan Persekitaran Selamat
- Pasang pencahayaan yang cukup di rumah.
- Alihkan permaidani atau objek yang boleh menyebabkan tersadung.
- Pasang palang pegang di bilik mandi dan tangga.
- Pakai Kasut yang Sesuai – Pastikan warga emas memakai jenis kasut yang bersesuaian dan semestinya perlu mencari kasut dengan tapak yang luas dan tidak licin – tidak digalakkan menggunakan selipar atau kasut bertumit tinggi.
- Lakukan Senaman Keseimbangan dan Kekuatan – Senaman seperti Tai Chi, Qigong, yoga atau latihan duduk-berdiri dapat membantu menguatkan otot dan meningkatkan keseimbangan.
- Amalkan Pemakanan Berprotein Tinggi – Diet yang kaya dengan protein dan serat membantu mengekalkan kekuatan otot, sekaligus mengurangkan risiko jatuh.

Keselamatan warga emas adalah tanggungjawab bersama. Dengan memahami punca, kesan, dan langkah pencegahan yang boleh diambil, kita dapat membantu mengurangkan kejadian jatuh dan meningkatkan kualiti hidup mereka.
Di Pusat Perubatan Sunway, terdapat “Program Perkhidmatan Sokongan Kepatahan” khas untuk mereka berusia 55 tahun ke atas bagi mengelakkan kecederaan akibat jatuh. Dengan sokongan pakar dalam pelbagai bidang, warga emas boleh mendapatkan rawatan dan bimbingan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan yang lebih selamat dan sihat.