Volvo Car Malaysia Capai Rekod Baharu Jualan EV Pada 2024 – Bakal Memperkenalkan Volvo EX90 Pada Tahun Ini
Lina Rosli
Volvo Car Malaysia menutup tahun 2024 dengan kejayaan besar dalam segmen kenderaan elektrik (BEV), di mana model BEV menyumbang 30% daripada jumlah jualan runcit di Malaysia. Dan pencapaian ini memperlihatkan peningkatan sebanyak 18% berbanding tahun sebelumnya.
Sementara di peringkat global, Volvo Cars mencatatkan jualan tertinggi dengan 763,389 unit, meningkat 8% berbanding 2023. Model BEV dan plug-in hybrid (PHEV) masing-masing terjual sebanyak 175,194 unit dan 177,593 unit, dengan kenderaan elektrifikasi merangkumi 46% daripada keseluruhan jualan Volvo Cars pada 2024.

Sebagai perintis elektrifikasi, Volvo Car Malaysia telah menawarkan hanya model BEV dan hibrid sejak 2020. Dan pada tahun 2024, syarikat ini menjual 1,953 unit, dengan model mild-hybrid electric vehicle (MHEV) mencatatkan kurang daripada satu perlima daripada jumlah jualan – penurunan ketara berbanding satu pertiga pada tahun sebelumnya.
Menurut Volvo Car Malaysia, industri untuk kenderaan elektrik dilihat semakin kompetitif. Oleh yang demikian mereka komited untuk terus memacu visi mobiliti yang selamat dan lestari – yang mana ini boleh dilihat sewaktu pelancaran model Volvo EX30 yang mana unit import pertama habis terjual sebelum produksi tempatan bermula.

Bergerak ke hadapan, Volvo Car Malaysia merancang untuk memperkenalkan model SUV elektrik dengan kapasiti yang lebih besar iaitu kereta dengan bilangan tujuh tempat duduk, Volvo EX90. Volvo EX90 bakal menjadi SUV elektrik terbesar Volvo, dilengkapi teknologi keselamatan canggih seperti lidar dan pemantauan pemandu serta penumpang.
Selain daripada model SUV elektrik ini, para peminat EV turut boleh menjangkakan 4 lagi model lain yang juga bakal diperkenalkan oleh Volvo Car Malaysia pada tahun ini – dan ini mungkin akan menampilkan barisan EV dari pelbagai segmen kenderaan.
Akhir sekali, Volvo turut akan memperkenalkan antara muka pengguna baharu untuk model kereta dengan sistem operasi Android yang lama (seawal model 2020) yang mana ini bagi menyelaraskan pengalaman pengguna dengan generasi EV terkini mereka.