Mengapa Langit Biru Waktu Pagi Dan Berubah Jingga Pada Waktu Senja?

February 19, 2025
fakta menarik

Lina Rosli

Pernahkah anda perasan langit pagi nampak ‘cool’ pada waktu pagi – hadir dengan warna biru yang tenang, tetapi menganjak ke senja warna langit bertukar menjadi jingga dan merah, memberikan kesan persekitaran yang lebih hangat – seperti mempunyai filter semula jadi yang berubah sendiri.

Untuk pengetahuan anda, fenomena ini sebenarnya berlaku disebabkan oleh cara cahaya matahari berinteraksi dengan atmosfera bumi. Proses ini dikenali sebagai hamburan Rayleigh – di mana panjang gelombang cahaya menentukan warna yang kita lihat di langit.

Mengapa Langit Nampak Biru Pada Waktu Siang?

Secara umumnya, cahaya matahari terdiri daripada spektrum warna yang berbeza – dari merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo hingga ungu. Setiap warna ni ada panjang gelombang tersendiri.

Dan apabila cahaya matahari memasuki atmosfera bumi, ia akan bertembung dengan molekul udara dan zarah-zarah kecil. Pada ketika itu, warna dengan gelombang lebih pendek, seperti biru dan ungu, lebih mudah tersebar ke seluruh arah – disebabkan itu juga langit nampak biru pada waktu siang.

Pada dasarnya, jika dibandingkan dengan cahaya biru, cahaya ungu sebenarnya lebih banyak tersebar. Akan tetapi mata manusia lebih sensitif kepada warna biru, jadinya, warna inilah yang kita nampak paling jelas berbanding dengan warna lain.

Apa Yang Membuatkan Panjang Gelombang Cahaya Berbeza – Mengikut Waktu?

Pada waktu senja, matahari akan berada dekat dengan ufuk, dan cahaya matahari perlu melalui lapisan atmosfera yang lebih tebal sebelum sampai ke mata kita.

Dalam perjalanan yang lebih panjang ini, cahaya dengan panjang gelombang lebih pendek (biru dan ungu) tersebar sepenuhnya, meninggalkan cahaya dengan panjang gelombang lebih panjang seperti merah dan jingga untuk sampai ke penglihatan manusia. Ini menyebabkan langit di ufuk barat kelihatan jingga atau merah ketika matahari terbenam.

Fenomena ini juga dapat diperhatikan pada waktu matahari terbit, di mana langit di ufuk timur memaparkan warna-warna hangat yang serupa.

Fenomena Alam yang Menakjubkan

Perubahan warna langit ni bukan sekadar cantik untuk dilihat, tapi juga membuktikan betapa uniknya cara cahaya berinteraksi dengan atmosfera. Jadi, selepas ini, jika anda lihat matahari terbenam, anda boleh mengetahui mengapa langit berubah warna dan apakah faktor yang membezakan warna langit pada waktu siang dan senja.

(Sumber: NASA Space Place)

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd