LEGOLAND Malaysia Cipta Sejarah Dengan Ular LEGO Terpanjang Di Dunia

February 18, 2025
fakta menarik

Lina Rosli

LEGOLAND Malaysia Resort baru-baru ini menampilkan binaan ular LEGO terpanjang di dunia – bagi meraikan penutup kepada sambutan Tahun Baharu Cina.

Menerusi binaan ular LEGO ini, destinasi pelancongan popular ini telah menerima pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book of Records, sekaligus memecahkan rekod mereka sendiri yang dicapai pada tahun 2013.

Dengan panjang mencecah 338 meter, ular LEGO ini merupakan hasil usaha bersama yang melibatkan komuniti. Rekaannya diilhamkan oleh pasukan Merlin Magic Making (MMM) dan direalisasikan di LEGOLAND Malaysia.

Proses pembinaan bermula dengan elemen utama seperti batang pokok yang kukuh, kepala ular yang terperinci, serta segmen awal badan ular. Pasukan Model Builders dari MMM bersama Master Model Builder pertama LEGOLAND Malaysia bertanggungjawab membina asasnya sebelum lebih 5,000 peminat LEGO dari pelbagai peringkat umur menyumbang dalam membentuk struktur penuh ular ini sepanjang sebulan.

Dibina menggunakan lebih 1 juta kepingan LEGO dalam pelbagai bentuk, saiz, dan warna, ular ini kini melingkari kawasan ‘The Beginning’ di taman tema tersebut, mencipta suasana sambutan yang meriah bagi pengunjung.

Bagi mereka yang ingin melihat sendiri keajaiban ular LEGO terpanjang di dunia ini, pastikan anda berkunjung ke LEGOLAND Malaysia sebelum 4 Mac. Selain itu, sambutan Tahun Baharu Cina di taman tema ini masih berlangsung sehingga 23 Februari dengan pelbagai persembahan secara langsung, cabaran Ninja yang mengujakan, serta aktiviti interaktif LEGO yang menyeronokkan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd