Pusat Perubatan Sunway Bandar Sunway Catat Empat Rekod Untuk Pembedahan Robotik Dalam Malaysia Book Of Records
Lina Rosli
Pusat Perubatan Sunway atau Sunway Medical Centre (SMC) yang terletak di Bandar Sunway baru sahaja mencatat sejarah dalam dunia perubatan Malaysia dengan melakar empat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan keunggulan hospital ini dalam inovasi perubatan, malah turut mengukuhkan posisinya sebagai peneraju dalam pembedahan robotik dan penjagaan pesakit.

SMC diiktiraf sebagai Hospital Pertama yang Melakukan Pembedahan Penggantian Pinggul Keseluruhan dengan Bantuan Robotik, selain memegang rekod Pembedahan Penggantian Pinggul dan Lutut dengan Bantuan Robotik Terbanyak.
Bukan itu sahaja, pakar bedah SMC turut mencatat dua lagi rekod individu dalam kategori korporat – Pakar Bedah Pertama yang Melakukan Pembedahan Penggantian Pinggul Keseluruhan dengan Bantuan Robotik serta Pembedahan Penggantian Pinggul dan Lutut dengan Bantuan Robotik Terbanyak.

Mengapa Pembedahan Robotik Jadi Pilihan?
Dalam dunia perubatan moden, penggunaan teknologi robotik dalam pembedahan semakin mendapat perhatian. Pembedahan dengan bantuan robot menawarkan ketepatan lebih tinggi, pemulihan lebih cepat serta risiko komplikasi yang lebih rendah berbanding kaedah konvensional. Setakat ini, Pusat Pembedahan Robotik dan Pembedahan Minimal Invasif (MIS) SMC telah berjaya melakukan lebih daripada 3,000 pembedahan robotik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Dr. Seow Vei Ken, teknologi robotik telah mengubah landskap dunia pembedahan. Dengan ketepatan yang lebih tinggi dan kesan invasif yang minimum, pesakit kini boleh menikmati tempoh pemulihan yang lebih pantas dengan hasil yang lebih baik.

Masa Depan Pembedahan dan Keperluan Pesakit Malaysia
Malaysia kini berhadapan dengan perubahan demografi yang mana jumlah warga emas dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2044.
Dengan peningkatan usia, masalah mobiliti dan kemerosotan fungsi sendi menjadi antara isu utama yang memerlukan penyelesaian perubatan yang lebih canggih. Permintaan terhadap pembedahan pinggul dan lutut dijangka meningkat, menjadikan pembedahan robotik sebagai pilihan yang lebih baik untuk masa depan.
Dengan kapasiti hospital yang semakin berkembang – dijangka mencecah 1,100 katil selepas pembinaan Menara F selesai pada suku keempat 2025, SMC bersedia untuk terus menerajui inovasi dalam bidang perubatan, menawarkan rawatan yang lebih baik dan lebih canggih kepada rakyat Malaysia.
Adakah teknologi pembedahan robotik bakal menjadi standard dalam penjagaan kesihatan di Malaysia? Dengan kejayaan seperti ini, nampaknya masa depan perubatan dilihat akan semakin berkembang dan bakal membentuk ekosistem yang lebih baik untuk rakyat di Malaysia.