TikTok Jadi Sumber Inspirasi Percutian Gen Z Di Malaysia – Destinasi Pantai Dan Bandar Tetap Jadi Pilihan

February 21, 2025
Hotel & Pelancongan

Lina Rosli

Dalam era digital yang semakin berkembang, cara generasi muda merancang percutian dilihat berubah selari dengan zaman – yang mana boleh dikatakan mempunyai perbezaan yang ketara dengan generasi sebelum ini.

Bagi Gen Z Malaysia, platform media sosial bukan sekadar tempat untuk hiburan, tetapi juga sumber utama inspirasi perjalanan. Berdasarkan tinjauan terkini oleh Agoda, TikTok muncul sebagai pilihan utama golongan ini dalam mencari destinasi percutian.

Menurut kajian tersebut, hampir satu pertiga (30%) pelancong Gen Z Malaysia menjadikan TikTok sebagai platform utama untuk mendapatkan idea percutian. Ini menunjukkan bahawa video pendek yang menampilkan keindahan lokasi, ulasan pengalaman dan cadangan perjalanan memberikan impak besar dalam mempengaruhi keputusan mereka.

Di tempat kedua, aplikasi percutian seperti Agoda mencatatkan 15% penggunaan oleh Gen Z, manakala cadangan daripada rakan atau keluarga pula menyumbang 14% dalam menentukan destinasi mereka. Sebaliknya, generasi Boomer (berumur 44-59) lebih bergantung pada carian Google, dengan 23% menggunakannya sebagai sumber inspirasi utama mereka.

Tinjauan ini juga menunjukkan bahawa 34% daripada pelancong Gen Z Malaysia lebih suka bercuti bersama pasangan, manakala 24% lebih gemar bercuti bersama keluarga, dan 19% pula bercuti berkumpulan bersama rakan-rakan.

Dari segi pilihan perjalanan, destinasi pantai dan pulau menduduki tempat teratas dengan 30% undian, menjadikan lokasi seperti Pulau Perhentian, Langkawi dan Redang antara yang paling dicari.

Bagi mereka yang lebih menggemari suasana bandar, 21% memilih untuk meneroka kota-kota sibuk seperti Kuala Lumpur, George Town dan Johor Bahru. Menariknya, destinasi bersejarah dan tapak budaya serta lokasi beriklim sejuk turut menarik perhatian, masing-masing memperoleh 11% daripada pilihan pelancong Gen Z.

Perubahan trend ini juga menunjukkan betapa teknologi memainkan peranan besar dalam pengalaman melancong golongan muda.

Jadi, adakah TikTok juga menjadi inspirasi utama anda dalam merancang percutian? Atau anda lebih suka mendengar cadangan rakan-rakan sebelum membuat keputusan? Apa pun pilihan anda, yang pasti percutian impian kini lebih mudah untuk dirancang dengan teknologi di hujung jari.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd