Eco-Shop Menyediakan Tong Kitar Semula Bateri Lama Bermula 1 Mac 2025 Di Semua Cawangan Seluruh Malaysia
Lina Rosli
Tahukah anda bahawa bateri terpakai boleh dikitar semula? Ramai yang tidak menyedari bahawa bahan berbahaya seperti plumbum, merkuri dan kadmium dalam bateri boleh mencemari tanah serta sumber air jika dibuang secara tidak bertanggungjawab.
Menyedari kepentingan ini, Eco-Shop memperkenalkan Eco Power Programme atau turut dikenali sebagai Program Kuasa Eco – merupakan satu inisiatif komprehensif untuk memudahkan rakyat Malaysia mengitar semula bateri terpakai dengan lebih mudah dan selamat.

Mengapa Kitar Semula Bateri Penting?
Bateri adalah sebahagian daripada kehidupan harian – boleh dikatakan hampir kebanyakan peralatan di dalam rumah dan juga pejabat anda menggunakan bateri. Ini termasuk alat kawalan jauh, jam tangan, mainan atau peranti elektronik kecil.
Untuk bateri, semestinya ia perlu diuruskan dengan baik. Lebih-lebih lagi jika ia sudah tidak digunakan lagi. Ini kerana pembuangan bateri secara sembarangan boleh membawa kesan buruk kepada alam sekitar.
Bahan toksik dalam bateri boleh meresap ke dalam tanah dan air bawah tanah, seterusnya memberi kesan kepada ekosistem dan kesihatan manusia.
Oleh itu, dengan mengitar semula, kita bukan sahaja dapat mengurangkan pencemaran tetapi juga membantu dalam pemulihan sumber berharga seperti zink dan nikel untuk kegunaan masa depan.

Eco-Shop Melangkah Ke Hadapan Dengan Eco-Power Programme
Sebagai jenama runcit ultra-mampu milik yang terkemuka di Malaysia, Eco-Shop komited dalam usaha kelestarian alam sekitar. Bermula 1 Mac 2025, Eco Power Programme akan menyediakan tong kitar semula khas untuk bateri di semua cawangan Eco-Shop di seluruh negara. Ini membolehkan pelanggan membuang bateri terpakai mereka dengan mudah dan bertanggungjawab.
Selain itu, bagi pelanggan di Lembah Klang, Eco-Shop turut menyediakan pusat kitar semula utama di lokasi berikut:
- Eco-plus @ Nu Sentral
- Eco-plus @ IOI City Mall
- Eco-plus @ Berjaya Times Square

Eco Power Programme hanyalah langkah pertama dalam perjalanan ke arah kelestarian yang lebih besar. Eco-Shop percaya bahawa dengan memberi kemudahan kepada pengguna, lebih ramai yang akan terlibat dalam usaha kitar semula dan menjaga alam sekitar.