Adakah Anda Seorang Penyimpan Khazanah Digital? Apa Itu ‘Digital Hoarding’?

February 24, 2025
Gaya Hidup

Lina Rosli

Pernahkah anda berasa sukar untuk memadam gambar dan video lama yang dirakam dan disimpan di dalam telefon pintar – ataupun fail kerja yang sudah bertahun-tahun dalam komputer riba?

Jika ya, anda mungkin mengalami digital hoardingsatu tabiat menyimpan terlalu banyak fail digital tanpa pernah membuangnya. Dengan storan yang semakin besar dan perkhidmatan storan awanan yang mudah diakses, kita jadi semakin selesa menyimpan semua benda – walaupun sebenarnya ia tidak lagi diperlukan.

Untuk pengetahuan anda, sebelum adanya penyimpan khazanah digital (digital hoarder), penyimpan khazanah biasa ini telahpun wujud terlebih dahulu. Ia berlaku dalam bentuk fizikal, seperti menyimpan surat khabar lama, pakaian rosak atau perabot usang.

Dalam dunia moden, wujud pula digital hoarding yang mana seseorang menyimpan terlalu banyak fail, gambar atau emel tanpa pernah menghapusnya, menyebabkan storan peranti menjadi penuh dan sukar untuk mencari maklumat penting.

Apakah Perbezaan Antara Menyimpan Khazanah Dan Mengumpul Koleksi?

Perbezaan utama antara menyimpan khazanah dan mengumpul koleksi terletak pada aspek organisasi dan kesannya terhadap kehidupan seharian.

  • Mengumpul koleksi dilakukan secara terancang dan terpilih. Pengumpul biasanya menyimpan item tertentu seperti setem, syiling atau buku komik dan menyusunnya dengan kemas agar mudah diakses serta dinikmati. Aktiviti ini tidak mengganggu kehidupan harian.
  • Menyimpan khazanah pula melibatkan pengumpulan barang secara berlebihan tanpa organisasi yang jelas. Individu yang mengalami masalah hoarding cenderung menyimpan pelbagai barang, termasuk yang tidak bernilai hingga memenuhi ruang dan sukar digunakan. Keadaan ini boleh menjejaskan kehidupan harian serta menimbulkan tekanan.

Secara ringkasnya, mengumpul koleksi adalah hobi, manakala menyimpan khazanah boleh menjadi satu gangguan yang memerlukan perhatian dan rawatan.

Mengapa Indivud Sukar Padam Fail Digital?

Berbeza dengan menyimpan khazanah fizikal (physical hoarding) yang melibatkan pengumpulan barangan secara fizikal, menyimpan khazanah digital berlaku secara senyap. Tiada ruang fizikal yang terjejas, tetapi kesannya tetap ada. Antara sebab utama kita sukar untuk padam fail digital adalah:

  • Takut hilang sesuatu yang berguna – Individu ini selalu berfikir terdapat keperluan untuk fail digital ini pada masa akan datang – walaupun hakikatnya fail itu mungkin tidak akan dibuka lagi.
  • Kenangan emosi – Gambar, video atau mesej lama sering dikaitkan dengan memori yang sukar dilepaskan.
  • Storan peranti semakin besar, sehingga tiada keperluan untuk membuang fail – Dengan adanya storan yang murah dan perkhidmatan storan awanan, ramai yang fikir tiada keperluan untuk mengemas kini atau membuang fail lama.
  • Sukar buat keputusan – Pilihan untuk menyimpan atau membuang sesuatu boleh jadi rumit, menyebabkan kita akhirnya membiarkan semuanya terkumpul tanpa sedar.

Kesan Menyimpan Khazanah Digital

Walaupun nampak seperti isu kecil, menyimpan khazanah digital sebenarnya boleh memberi kesan kepada kehidupan harian dan juga prestasi peranti kita. Antaranya:

  • Peranti semakin perlahan – Semakin banyak fail yang disimpan, semakin penuh storan dan ini boleh menyebabkan telefon atau komputer menjadi lambat.
  • Sukar mencari fail penting – Dengan terlalu banyak fail yang tidak tersusun, mencari dokumen yang diperlukan boleh jadi satu cabaran.
  • Risiko keselamatan – Aspek keselamatan juga terjejas kerana banyak data peribadi yang disimpan – boleh menyebabkan risiko kebocoran maklumat atau serangan siber.
  • Tekanan mental – Seperti kekacauan fizikal di rumah, storan digital yang berselerak juga boleh memberi rasa serabut dan tekanan secara tidak sedar.

Cara Menguruskan Fail Digital Dengan Lebih Baik

Bagi mengelakkan penyimpanan khazanah digital daripada menjadi masalah yang lebih besar, berikut adalah beberapa langkah yang boleh diamalkan:

  • Gunakan sistem penyusunan yang jelas – Pastikan setiap fail berada dalam kategori yang betul supaya mudah dicari.
  • Amalkan ‘digital decluttering’ secara berkala – Tetapkan satu hari setiap bulan untuk menyemak dan membuang fail yang tidak lagi diperlukan.
  • Hadkan penggunaan storan awanan – Elakkan menjadikan tabiat untuk menyimpan semuanya di awanan – sebaliknya tapis dan hanya simpan fail yang benar-benar penting.
  • Padam gambar atau dokumen yang bertindih – Tidak perlu simpan 20 versi gambar yang sama, pilih yang terbaik dan padam selebihnya.
  • Gunakan aplikasi pengurusan fail – Banyak aplikasi yang boleh membantu mengesan fail tidak berguna dan membebaskan ruang storan.

Jadi, adakah anda juga seorang ‘digital hoarder’? Jika ya, mungkin sudah tiba masanya untuk mula mengemas storan digital anda.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd