LEGOLAND Malaysia Diiktiraf Sebagai Pusat Tarikan Mesra Autisme Pertama Di Malaysia

February 27, 2025
Hotel & Pelancongan

Lina Rosli

LEGOLAND Malaysia Resort kini diiktiraf sebagai Pusat Austisme Bertauliah atau Certified Autism Center (CAC) pertama di Malaysia – menjadikannya taman tema yang lebih inklusif untuk semua.

Pengiktirafan ini diberikan oleh International Board of Credentialing and Continuing Education Standards (IBCCES) kepada destinasi yang melengkapkan latihan khas berkaitan kesedaran autisme dan keperluan deria bagi staf mereka.

Dengan bilangan 1 daripada 100 kanak-kanak di seluruh dunia berada dalam spektrum autisme, ramai ibu bapa menghadapi cabaran mencari lokasi yang sesuai untuk anak-anak mereka.

Menerusi pensijilan ini, LEGOLAND Malaysia memperkenalkan:

  • Panduan sensori di laman web– Maklumat lengkap tentang tahap bunyi, pencahayaan dan elemen deria di setiap tarikan supaya keluarga boleh merancang lawatan dengan lebih baik.
  • Papan panduan sensori di taman tema – Memberi maklumat segera kepada pengunjung sebelum menaiki permainan atau menyertai aktiviti.
  • Latihan khas untuk kakitangan – Staf LEGOLAND kini lebih bersedia dalam membantu pengunjung dengan keperluan khas.

Sejak dibuka pada 15 September 2012, LEGOLAND Malaysia telah menjadi destinasi utama dengan lebih 40 tarikan di atas kawasan seluas 73 ekar di Johor.

Dengan inisiatif baharu ini, taman tema tersebut semakin bersedia untuk menerima lebih ramai pengunjung dengan keperluan pelbagai, menjadikannya lokasi percutian mesra semua.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd