Mengapa Anda Perlu Kekal Aktif Seiring Usia?
Lina Rosli
Secara umumnya, penuaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Akan tetapi sebenarnya cara kita menghadapinya boleh membuatkan perbezaan yang besar. Dengan mengekalkan gaya hidup aktif, kita boleh memperlahankan kesannya dan menikmati kehidupan yang lebih berkualiti walaupun usia meningkat.
Di dalam sesetengah situasi, apabila kita akan bertanya tentang tahap kesihatan seseorang individu terutamanya warga yang lebih berusia, kerap kali jawapan yang diberikan bernada pasrah, seperti “Sudah tua, mahu buat apa lagi?”
Ini mencerminkan sikap pasif, di mana ramai beranggapan mereka tidak dapat menghalang kemerosotan fizikal akibat peningkatan usia.

Usia Dan Kesihatan Otot
Sebahagian besar individu mencapai kemuncak jisim otot antara usia 25 hingga 35 tahun. Namun, selepas tempoh ini, jisim otot mula berkurang secara beransur-ansur. Menjelang usia 80 tahun, seseorang mungkin telah kehilangan sehingga 80% daripada jisim ototnya.
Walaupun ia adalah proses semula jadi, terdapat pelbagai cara untuk memperlahankannya dengan mengekalkan gaya hidup aktif.
Mulakan dengan Langkah Mudah
Tiada jumlah aktiviti yang tepat untuk semua orang kerana tahap kecergasan dan kesihatan setiap individu berbeza. Bagi mereka yang biasa bersenam, aktiviti tahap sederhana seperti berjalan laju atau berenang mungkin sesuai. Namun, bagi yang kurang aktif, memulakan dengan berjalan di dalam rumah, menaiki tangga atau melakukan tugas ringan boleh membantu mengekalkan pergerakan.

Satu cara mudah untuk mengukur tahap aktiviti ialah:
- Aktiviti ringan: Masih boleh berbual atau menyanyi ketika bersenam.
- Aktiviti sederhana: Boleh bercakap tetapi tidak dapat menyanyi.
- Aktiviti berat: Hanya boleh menyebut beberapa perkataan dalam satu masa.
Disarankan untuk melakukan aktiviti sederhana sekurang-kurangnya 150 minit seminggu. Jika tempoh ini dirasakan terlalu panjang, ia boleh dibahagikan kepada sesi yang lebih pendek dan secara beransur-ansur ditingkatkan.
Lakukan Aktiviti Bermakna untuk Kesihatan Otot
Aktiviti ringan sepanjang hari adalah permulaan yang baik, tetapi untuk manfaat yang lebih besar, peningkatan intensiti atau tempoh latihan secara beransur-ansur amat digalakkan. Latihan rintangan seperti angkat berat ringan atau latihan menggunakan berat badan sendiri juga membantu dalam membina dan mengekalkan kekuatan otot.
Kajian menunjukkan bahawa warga emas yang kerap bersenam memperoleh manfaat ketara seperti peningkatan kekuatan genggaman, kelajuan berjalan, fleksibiliti sendi serta keupayaan untuk bangun dari kerusi dengan lebih mudah.

Selain itu, senaman membantu mengekalkan keseimbangan, sekaligus mengurangkan risiko terjatuh dan kecederaan.
Untuk hasil yang lebih optimum, warga emas boleh mendapatkan panduan daripada jurulatih kecergasan, ahli fisio atau menyertai kumpulan senaman. Alternatif lain adalah dengan cara mengikuti rutin senaman secara atas talian yang mudah dan sesuai dengan tahap kecergasan masing-masing.
Menikmati Gaya Hidup Aktif
Komitmen kepada gaya hidup aktif bukan sahaja memperlahankan kehilangan otot tetapi juga memberi kesan positif terhadap mobiliti, keseimbangan dan fleksibiliti.
Dalam jangka panjang, ia membantu meningkatkan kebebasan bergerak, membolehkan warga emas menjalani kehidupan dengan lebih selesa, bertenaga dan bebas daripada risiko kecederaan yang tinggi.
Lebih daripada itu, aktiviti fizikal secara berkala juga menyumbang kepada kesejahteraan mental. Individu yang aktif cenderung untuk berasa lebih bertenaga, kurang tekanan dan mempunyai tahap kebimbangan atau kemurungan yang lebih rendah.