Influenza Lebih Bahaya Daripada Selesema Biasa

February 28, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

Seringkali individu mengalami masalah kesihatan yang melibatkan selesema, demam dan juga batuk, ramai yang menganggap ia sesuatu perkara yang biasa.

Namun, kes terbaru melibatkan pelakon Taiwan Barbie Hsu dan pelakon China Liang Youcheng membuktikan sebaliknya. Influenza bukan sekadar selesema biasa, tetapi boleh membawa komplikasi serius, bahkan meragut nyawa.

Menurut Profesor Dr. James Koh Kwee Choy, Profesor Perubatan Dalaman & Penyakit Berjangkit di Universiti IMU, masih ramai yang tidak menyedari bahawa influenza bukan hanya menyerang mereka yang berisiko tinggi tetapi juga individu yang sihat.

Virus influenza boleh menjejaskan sistem pernafasan dengan cepat, menyebabkan komplikasi seperti pneumonia dan radang paru-paru yang serius. Kes-kes berprofil tinggi seperti Barbie Hsu dan Liang Youcheng menjadi peringatan bahawa influenza bukan sekadar selesema biasa yang boleh dipandang ringan.

Influenza Perlu Dirawat Sebelum Terlambat

Influenza biasanya bermula dengan demam panas yang mengejut. Dalam masa 24 hingga 48 jam, pesakit akan mengalami sakit badan, sakit tekak, dan dalam kes tertentu, sesak nafas. Jika demam berlanjutan lebih dari tiga hari atau muncul gejala seperti gelisah, keliru, atau muntah-muntah yang teruk, ia mungkin tanda komplikasi yang memerlukan rawatan segera.

Bagi kanak-kanak, tanda-tanda influenza boleh lebih membimbangkan. Kanak-kanak boleh menjadi lesu, sukar bernafas, atau mengalami dehidrasi dengan cepat. Ibu bapa perlu lebih peka terhadap perubahan mendadak dalam tingkah laku anak mereka. Nafas berbunyi atau kesukaran bernafas adalah tanda bahaya yang tidak boleh diabaikan.

Siapa yang Berisiko Tinggi?

Keadaan tidak boleh dibiarkan menjadi parah sebelum mendapatkan rawatan. Golongan yang berisiko tinggi termasuk:

  • wanita hamil
  • kanak-kanak bawah lima tahun
  • warga emas
  • penghidap penyakit kronik seperti diabetes, asma serta penyakit jantung

Merokok atau penggunaan vape juga boleh meningkatkan risiko komplikasi kerana boleh menjejaskan kesihatan paru-paru, menjadikan tubuh lebih mudah terdedah kepada jangkitan virus ini.

Selain itu, ada individu yang tidak menyedari mereka mempunyai masalah kesihatan yang boleh meningkatkan risiko komplikasi influenza. Individu yang kelihatan sihat juga boleh mengalami kesan serius seperti pneumonia jika dijangkiti virus influenza. Oleh itu, lebih baik mengambil langkah berjaga-jaga sebelum terlambat.

Lindungi Diri Daripada Influenza Dengan Vaksinasi

Walaupun ramai yang sedar akan bahaya influenza, kadar vaksinasi tahunan masih rendah. Malaysia tidak mempunyai musim influenza yang tetap, jadi virus ini boleh menyerang pada bila-bila masa.

Vaksin influenza telah terbukti berkesan sejak tahun 1945 dan mampu mengurangkan risiko komplikasi serius seperti pneumoniapenyebab utama kematian di Malaysia pada tahun 2023.

Buat pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun, pneumonia telah mengatasi penyakit jantung koronari sebagai penyebab utama kematian di Malaysia.

Profesor Koh mengibaratkan vaksin seperti latihan seni mempertahankan diri. Sesiapa sahaja boleh diserang, tetapi mereka yang bersedia (divaksin) mempunyai peluang lebih tinggi untuk melawan jangkitan berbanding mereka yang tidak.

Vaksin ini membantu sistem imun membina perlindungan terhadap virus influenza dalam tempoh kira-kira dua minggu, jadi menunggu sehingga wabak melanda baru mahu mendapatkan vaksin bukanlah langkah yang bijak.

Bukan itu sahaja, Profesor Koh mencadangkan agar semua individu berusia enam bulan ke atas mendapatkan vaksinasi. Namun, pendekatan yang lebih berfokus adalah dengan memastikan mereka yang berisiko tinggi mendapat perlindungan, iaitu:

  • kanak-kanak bawah dua tahun
  • warga emas berumur 65 tahun ke atas
  • wanita hamil
  • orang dewasa dengan penyakit kronik seperti diabetes, asma, penyakit jantung, penyakit buah pinggang
  • obesiti
  • individu yang mempunyai sistem imun lemah, termasuk pekerja kesihatan dan penjaga golongan berisiko.

Influenza Lebih Bahaya Daripada Selesema Biasa

Influenza bukanlah sekadar selesema biasa yang boleh sembuh sendiri tanpa risiko. Ia boleh menyebabkan komplikasi serius yang berbahaya, terutamanya kepada golongan berisiko tinggi. Vaksinasi tahunan adalah langkah paling berkesan untuk melindungi diri daripada virus ini dan mengurangkan kadar komplikasi yang boleh membawa maut.

Influenza tidak boleh dibiarkan menyerang tanpa persediaan. Langkah terbaik adalah melindungi diri dan orang tersayang dengan mendapatkan vaksin seawal mungkin.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd