Pengalaman Memandu Proton S70 Flagship X – Pulang Ke Kampung Bagi Menyambut Ketibaan Ramadan
Lina Rosli
Bulan Ramadan sentiasa membawa makna yang mendalam, terutama bagi mereka yang merancang untuk pulang ke kampung halaman.
Selain dapat meluangkan masa bersama keluarga, perjalanan itu sendiri sering kali menjadi satu pengalaman yang berharga – lebih-lebih lagi jika ditemani oleh sebuah kereta yang selesa dan berteknologi tinggi.

Kali ini, saya berpeluang untuk memandu Proton S70 Flagship X dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat, Johor, dengan singgah sebentar di Muar untuk bersarapan.
Perjalanan pergi berlangsung lancar dengan kebanyakan masa dihabiskan di lebuh raya, tetapi cabaran sebenar bermula apabila memasuki Johor, di mana trafik semakin padat.
Permulaan Perjalanan Dari Kuala Lumpur ke Muar
Saya memulakan perjalanan sekitar jam 6.30 pagi, bertolak dari Kuala Lumpur dengan harapan dapat mengelak kesesakan dan tiba di Muar sebelum matahari naik sepenuhnya. Duduk di dalam Proton S70 Flagship X buat pertama kali untuk perjalanan jauh ini memberi satu rasa yakin kerana kabinnya cukup luas dan selesa.


Keluar sahaja dari Kuala Lumpur dan memasuki Lebuhraya PLUS, saya mengekalkan kelajuan sekitar 120km/h. Pada kelajuan ini, pemanduan terasa lancar dan berkuasa – sekaligus membolehkan saya memotong kenderaan lain dengan mudah apabila diperlukan.
Untuk pengetahuan anda, Proton S70 Flagship X ini mempunyai enjin 1.5L turbocharged (1.5T) yang menawarkan keseimbangan antara kuasa dan kecekapan bahan api – ciri yang sangat sesuai untuk perjalanan jauh di lebuh raya.

Bukan itu sahaja, enjin ini memberikan pecutan yang lancar dan cukup responsif – lebih-lebih lagi apabila dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan, peralihan gear terasa halus dan membantu memastikan penggunaan bahan api yang lebih efisien.
Sepanjang pemanduan di lebuh raya dengan kelajuan sekitar 120km/h, enjin ini menunjukkan prestasi yang mantap tanpa sebarang rasa keterlaluan pada putaran enjin.

Sistem Adaptive Cruise Control (ACC) pada Proton S70 Flagship X ini benar-benar memberikan kemudahan tambahan, terutama ketika memandu di lebuh raya yang panjang dan lurus. Dengan ACC diaktifkan, kereta dapat menyesuaikan kelajuan secara automatik mengikut kenderaan di hadapan, mengurangkan keletihan ketika perjalanan jauh.
Sepanjang pemanduan dari Kuala Lumpur ke Muar, ACC membantu mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan. Apabila terdapat kenderaan yang memperlahankan kelajuan, sistem ini secara automatik mengurangkan kelajuan tanpa perlu menekan brek secara manual, dan apabila laluan kembali kosong, kelajuan akan meningkat kembali mengikut tetapan asal.

Ketika memasuki Johor, trafik menjadi lebih sesak dan saya memandu di kelajuan sekitar 60km/h. Apabila di jalan kampung, saya mematikan fungsi ACC – dan meneruskan pemanduan seperti biasa. Selain ACC, sempat juga saya menggunakan Lane Keep Assist (LKA) dan Forward Collision Warning (FCW) untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih selamat dan stabil.
Secara keseluruhan, ciri ini benar-benar berguna terutama untuk perjalanan jauh, memudahkan pemandu mengekalkan fokus tanpa perlu kerap menekan pedal brek dan pemecut.

Perjalanan Ke Batu Pahat – Selepas Sarapan Di Muar
Selepas meninggalkan Muar, saya memasuki jalan menuju ke Batu Pahat. Di sinilah cabaran sebenar bermula kerana semakin banyak kenderaan di jalan raya.
Walaupun perjalanan menjadi lebih perlahan, pemanduan masih lagi berada di tahap optimum. Ini kerana, untuk saiz keluarga yang tidak terlalu ramai, Proton S70 Flagship X ini cukup selesa untuk perjalanan jauh.
Ini kerana, ruang antara kaki ke tempat duduknya luas, selain turut hadir dengan port pengecasan yang ideal untuk semua orang menggunakannya. Satu port terdapat di bahagian depan – berdekatan dengan kerusi penumpan sebelah pemandu. Dan dua lagi port pengecasan terletak di bahagian belakang. Apa yang menarik, Proton menyediakan pilihan port USB biasa dan juga USB-C, yang mana ia sesuai untuk kegunaan masa kini.

Apabila bergerak di pada waktu siang, sudah tentu cuaca pada ketika itu lebih panas berbanding malam. Dan untuk Proton S70 Flagship X ini, sistem penghawa dinginnya berfungsi dengan baik untuk memastikan suhu dalam kabin kekal selesa.
Dan jika anda ingin menikmati udara segar di kampung, Proton S70 Flagship X ini turut dilengkapi dengan sunroof yang boleh dibuka, menambahkan lagi keselesaan dan pengalaman pemanduan yang lebih santai.


Akhirnya, saya tiba di Batu Pahat sekitar jam 10.00 pagi, dengan perjalanan keseluruhan mengambil masa hampir 4 jam termasuk rehat di Muar.
Perjalanan Pulang Ke Kuala Lumpur – Kesabaran Diuji Apabila Trafik Menghala
Selepas beberapa hari di kampung, saya bersedia untuk pulang ke Kuala Lumpur. Saya bertolak sekitar jam 9.00 malam selepas berbuka puasa bersama keluarga – dengan harapan untuk tiba di ibu kota sebelum pukul 12.00 tengah malam.
Namun, harapan tinggal harapan – trafik di lebuhraya sudah mula sesak, terutama selepas masuk ke Lebuhraya PLUS dari Plaza Tol Pagoh.
Dengan begitu banyak kenderaan di jalan raya, saya terpaksa memperlahankan kelajuan kepada sekitar 40 hingga 60km/h dalam beberapa keadaan. Ini membuatkan saya lebih menghargai sistem ADAS (Advanced Driver Assistance System) yang hadir dalam Proton S70 Flagship X.


Cuma satu perkara yang mungkin saya kurang gemar adalah ketiadaan Apple CarPlay ataupun Android Auto yang disediakan secara terbina pada sistem inforia HiPro OS Proton S70 Flagship X.
Ini kerana, ia agak sukar untuk saya terus menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze ataupun Google Maps. Saya perlu melihatnya di skrin telefon sekiranya saya tidak memasangkannya menerusi ciri Smartphone Connectivity.

Untuk pengetahuan anda, untuk kereta ini ia tidak menyertakan Apple CarPlay ataupun Android Auto, namun pengguna masih boleh memadankannya secara mirroring dengan telefon pintar.
Dan dari segi paparan skrin, saiznya cukup besar kerana Proton menampilkan skrin boleh sentuh sebesar 12.7 inci dan paparan warna untuk skrin ini juga agak jelas.

Dari segi audio pula, proses pemasangan muzik adalah mudah. Selepas pertama kali saya hubungkannya menggunakan bluetooth, saya boleh terus memainkan muzik yang saya inginkan. Sistem audionya juga berkualiti tinggi memastikan pengalaman yang lebih menghiburkan walaupun berada dalam trafik yang tidak bergerak.
Proton S70 Flagship X – Pilihan Ideal Untuk Perjalanan Jauh
Selepas pengalaman ini, saya boleh katakan bahawa Proton S70 Flagship X adalah sebuah sedan yang sangat sesuai untuk perjalanan jauh.
Dengan keselesaan kabin, teknologi bantuan pemanduan, dan penjimatan bahan api yang baik, ia benar-benar memberikan pengalaman pemanduan yang lebih santai, terutama dalam keadaan trafik yang mencabar.
Untuk pengetahuan anda, jarak perjalanan keseluruhan dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat dan kembali semula ke ibu kota ini mencatatkan lebih kurang 500 kilometer. Dan untuk perjalanan ini, Proton S70 Flagship X hanya memerlukan sekali isian bahan api sahaja – untuk mendapatkan jarak kilometer sekitar 550km.


Bercakap mengenai kelebihan lain yang saya rasai sepanjang perjalanan termasuk:
- Kuasa enjin yang mencukupi untuk pemanduan lebuh raya
- Suspensi yang selesa, sesuai untuk perjalanan jauh
- Sistem ADAS yang membantu mengurangkan keletihan dalam kesesakan
- Penjimatan bahan api yang baik walaupun menggunakan enjin turbo

Dengan harga yang lebih kompetitif berbanding sedan segmen C dari jenama lain, Proton S70 Flagship X (RM97,779 termasuk insurans) adalah pilihan yang sangat berbaloi untuk mereka yang mahukan sedan bergaya, selesa dan dilengkapi teknologi moden.
Jika anda sedang mencari kereta untuk perjalanan jauh yang selesa dan praktikal, model ini sememangnya wajar dipertimbangkan.